Khamis, 14 Julai 2011

Tugasan Photo Talk Dapat Pujian

Ini adalah tugasan pensyarah saya , En.Ghazally bin Spahat (UTHM) di bawah tajuk Photo Talk. Tugasan ini mendapat pujian beliau walaupun hasil penulisan saya ini tidak mencapai standard terbaik saya. Sebenarnya malu juga untuk saya kongsikan tugasan saya ini kerana saya tahu ianya tidak sebaik mana. Pensyarah saya itu memuji tugasan ini dengan menyatakan bahawa penulisan saya mempunyai bahasa yang kuat. Berbunga-bungalah kot, so sekarang anda pula yang perlu mengadili tugasan saya ini, boleh kan?
Dari kiri : Azrul, Umar(belakang), Amirul, Zakir, Aisyah, Fatin, Haliza


Apa yang memotivasikan seorang guru apabila menjejakkan kaki ke sekolah seawal pagi tatkala burung mula berterbangan sambil mendendangkan siulan? Jika soalan itu yang ditanyakan kepada saya, maka jawapan yang saya akan berikan tentulah terletak pada wajah mulus anak-anak murid di bilik darjah yang nyata menyinarkan cahaya pengharapan untuk mendapatkan sebanyak mana ilmu pengetahuan daripada seorang insan yang mungkin bergelar cikgu, teacher, ustaz mahu pun ustazah.

Setiap kali memandang wajah mulus mereka yang tekun menyiapkan kerja sekolah, hati jadi riang mekar berbunga. Ini kerana bukan sahaja bangga diri dapat menyampaikan cahaya ilmu, malah sedikit sebanyak apa yang disampaikan atau yang diajar dapat membentuk keperibadian murid-murid tersebut. Namun apabila memikirkan seorang guru juga dapat menyumbangkan kepada pembentukan keperibadian yang negatif, hati menjadi gusar.Semoga saya bukan dikalangan golongan guru yang sebegitu walaupun tahu diri bukanlah sesabar mana dalam melayan karenah murid yang berbagai. Hakikatnya saya bangga dan berbesar hati dapat berbakti kepada Negara, bangsa dan agama sebagai seorang pendidik.
Bercakap tentang murid, kita tidak dapat lari dari kenyataan di mana setiap murid adalah berbeza. Walaupun mereka di peringkat umur yang sama, namun mereka adalah individu-individu yang punya ketidaksamaan dalam aspek perkembangan sama ada secara fizikal, mental, emosi mahupun sosial.
“Variasi atau ketidaksamaan individu daripada norma kumpulan, sama ada sifat-sifat kognitif, emosi, fizikal, moral, tingkahlaku, social, bakat dan lain-lain aspek yang mungkin terdapat di kalangan individu dalam sesuatu kumpulan”
                                                             Dictionary of Psychology (1973)

Murid-murid ini hanya kerana mereka mempunyai umur yang sama, ini tidak bermakna mereka adalah sama dalam aspek afektif. Sikap, keinginan, semangat, ketekunan, perasaan dan minat mereka adalah amat berbeza antara satu sama lain dan mungkin juga jika berada dalam keadaan situasi yang sama.
 Murid saya, Nurul Aqilah dan sepupunya, murid Tahun 3 Aman, mempunyai sikap positif, aktif, dan agresif nyata cemerlang dalam pelajaran. Begitu juga dengan Umar yang sentiasa bermotivasi tinggi, punya ketekunan dan memiliki kerajinan. Azrul yang kecil dan comel juga seorang yang tekun dalam mengusahakan setiap kerjanya amat berpotensi untuk bersaing dengan Umar bagi merebut tempat pertama dalam peperiksaan.
Ada juga di antara mereka yang bersikap negatif seperti tidak mempunyai minat belajar serta perasaan rendah diri menghalang mereka untuk  melangkah lebih cemerlang. Al Jabir secara contohnya. Prestasinya semakin menurun semenjak bapanya meninggal dunia pada tahun lepas dan terpaksa pula berjauhan dengan ibunya yang terpaksa pulang ke Sabah untuk menguruskan pengebumian ayahnya. Ibunya masih berada di sana sehinggalah ke hari ini. Al Jabir kini dijaga oleh kakaknya sementara menunggu ibunya kembali ke sini. Sepanjang persekolahan pada tahun ini Al Jabir banyak hari tidak menghadirkan diri. Saya telah cuba menarik perhatiannya dengan banyak melibatkan dia dalam sesi pengajaran dan menjadi ketua dalam apa jua aktiviti agar Al Jabir tidak merasa dirinya tersisih. Zuhayra seorang yang mulut murai walaupun mempunyai tubuh kecil molek. Sering bercakap dengan rakan yang lain semasa menulis latihan menyebabkan selalu sahaja tidak dapat menyiapkan kerja mengikut masa yang diperuntukkan. Ketika guru memberikan penerangan, si kecil ini juga acap kali mencelah membuatkan hati kadang-kala naik marah. Tabiatnya bagai sudah tidak dapat diubah walaupun sering ditegur malah telah diberikan amaran. Ramai guru yang mengajar kelasnya merungut tantang perangainya itu.
Dalam pengajaran saya, saya banyak menggunakan strategi berpusatkan murid di mana saya kerap melibatkan murid.Contohnya mengadakan kuiz pada setiap minggu secara berkumpulan. Dengan cara ini saya dapat melihat cara mereka berkomunikasi sesama mereka. Saya gembira apabila mereka begitu teruja untuk membantu kumpulan masing-masing dalam mendapatkan markah kemenangan. 38 daripada 38 murid 3 Aman itu akan bergerak menyokong rakan masing-masing. Terbayang kegembiraan dan sahutan kemenangan bagi kumpulan yang Berjaya dan terlihat kekecewaan kepada mereka yang kalah seterusnya akan menyalahkan rakan mereka yang telah membuat silap. Pada saya itu semua rencah dalam setiap kuiz yang saya laksanakan. Namun pada akhir pengajaran, murid-murid kembali berhubung baik serta bergaul mesra dengan rakan mereka. Di sini saya dapat belajar untuk memaafkan seseorang dan melupakan kesalahan orang lain dengan mudah. Sememangnya terlalu mudah hidup sebagai seorang kanak-kanak.
Murid sebagai seorang kanak-kanak suka melihat, suka bergerak dan suka bertanya terhadap sebarang  perkara yang mereka dampingi. Semasa guru bercakap memberikan penerangan, ada antara mereka akan sibuk bertanya malah ada yang juga sibuk ingin berceritakan tentang pengalaman mereka yang berkaitan dengan apa yang diterangkan oleh guru. Walaupun reaksi spontan mereka itu menganggu penyampaian guru, seorang guru yang baik akan memberikan respon apa yang ingin disampaikan oleh murid tersebut sebelum menyambung semula penerangannya. Dalam menarik minat murid untuk belajar, guru perlu mengadakan set induksi yang berupakan satu kelainan bagi menyediakan mereka untuk menerima isi pembelajaran selanjutnya.
Ketika kelas Pendidikan Jasmani, saya seronok untuk membawa murid-murid bersukan. Ketika di luar kelas, saya dapat menjalin hubungan yang nyata lebih sihat dan santai  bersama-sama dengan mereka. Ketika inilah saya dapat memerhati kebolehan individu-individu yang berlainan jantina, rupa dan saiz badan serta kemahiran jasmaninya. Murid yang mempunyai saiz yang agak besar dan ‘montel’ didapati mempunyai daya kekuatan otot yang kuat, maka tidak hairanlah jika mereka biasanya terpilih sebagai atlet lontar peluru ataupun atlet merejam lembing. Bagi mereka yang bertubuh sedikit kecil berbanding kawan-kawan seusia, mereka kelihatan lebih pantas dan lincah dalam melakukan aktiviti. Apabila mereka semua bermain bersama, mereka terdorong untuk menguasai kecekapan diri dengan menggerakkan usaha mereka untuk mencuba secara rela.
Apa jua perbezaan murid-murid ini, cubalah untuk memberikan motivasi secara ekstrinsik dengan tujuan menggerakkan murid untuk melakukan sesuatu yang akan membawa kebaikan dalam diri mereka. Mereka perlu dirangsang dalam bentuk memberikan pujian, insentif, hadiah serta gred/markah mengikut kesesuaian aktiviti dan situasi. Jangan pula lupa untuk memberikan denda atau hukuman bagi mereka yang gagal agar mereka dapat mengingati kesalahan dan kesilapan yang telah dibuat seterusnya akan mengelakkan mereka daripada melakukan kesilapan itu semula.

Dalam merancang strategi pengajaran, seorang guru perlulah  memahami segala aspek perbezaan setiap daripada muridnya bagi mengatasi masalah pembelajaran. Namun adalah amat sukar untuk guru merancang satu pembelajaran yang begitu sesuai mengikut perbezaan murid-muridnya apatah lagi jika satu kelas mempunyai 40 atau lebih murid. Malah dengan sistem pendidikan sekarang yang agak kelam-kabut(mengikut pemerhatian saya)yang baru sahaja melaksanakan KSSR/KSSM dan juga PBS dan memansuhkan PPSMI (pembelajaran Sains dan Matematik dalam English). Mungkin juga kerana sistem ini masih dalam proses pembaikan. Guru-guru di sekolah begitu sibuk dengan menyiapkan fail-fail yang berkenaan sehinggakan terpaksa mengabaikan sesi pengajaran dan pembelajaran. Mungkin dengan sedikit pergorbanan guru, maka dapat memberikan yang terbaik kepada mereka.
Guru dan murid berkait rapat . Bahkan guru diibaratkan sebagai ibu bapa kedua bagi kanak-kanak di bangku persekolahan kerana banyak masa dihabiskan di sekolah. Malah mereka lebih mendengar serta dapat menerima setiap patah perkataan yang terkeluar daripada seorang guru berbanding dengan ibu bapa masing-masing. Jika anda seorang guru, jadilah guru yang memberikan inspirasi kepada muridnya. Bahkan juga sebagai idol dalam hidup kanak-kanak ini dan akhirnya anda akan merasa puas dengan setiap kejayaan yang dicipta oleh anak-anak ini.

1 ulasan: