Selasa, 28 Februari 2012

Pengenalan Ilmu Ketamadunan (Tamadun Islam dan Asia)

Perkongsian Ilmu Tamadun Islam dan Tamadun Asia.


BAB 1

PENGENALAN ILMU KETAMADUNAN
Oleh
Azizan Baharuddin, Zaid Ahmad, Rosnah Sadri,
Mohd Zuhdi Marsuki, Wan Jasimah, Mohd Razi.


1.1    KEPENTINGAN TAJUK
  • Keperluan mengkaji/memahami ilmu dan isu-isu ketamadunan hari ini, dalam konteks Malaysia dan konteks global
  • Hubungkait dengan idea pembinaan Negara Malaysia
  • Bidang ini sebagai wahana pewacanaan isu-isu seperti kepelbagaian budaya, jihad, hegemoni barat dan lain-lain
  • Idea ”clash of civilisation”, peri pentingnya dialog, cabaran globalisasi dan pembinaan serta pemerkasaan jatidiri bangsa.

Terdapat beberapa persoalan yang selalu berbangkit dalam polemik tentang tamadun dan ketamadunan. Antaranya, termasuklah persoalan yang sangat asas, misalnya, apakah tamadun? Apakah yang menjadi landasan dalam memahami pengertian dan konsep tamadun? Apakah ukuran, nilai atau penanda aras bagi menentukan tahap pencapaian ketamadunan bagi sesuatu tamadun? Atau, persoalan yang lebih umum sifatnya, seperti, apakah yang menjadi rujukan bagi menentukan suatu bangsa atau sesuatu masyarakat itu bertamadun atau sebaliknya?

Persoalan-persoalan ini sebenarnya bukanlah perkara baru. Ianya sudah sekian lama menjadi polemik dalam dunia pemikiran ketamadunan dan peradaban manusia. Debat mengenainya boleh ditelusuri seawal zaman Greek lagi apabila Plato mengemukakan konsep polis dalam karyanya The Republic yang merujuk kepada bentuk dan jenis masyarakat yang mencapai tahap kemajuan dan juga kewujudan institusi-institusi budaya, politik dan kemasyarakatan dalam rangka jalinan hubungan sosialnya. Di kalangan pemikir Islam, al-Farabi misalnya mengemukakan konsep al-madinah al-fadilah, manakala Ibn Khaldun mengemukakan umran badawi dan umran hadhari. Kesemua ini adalah bagi menjawab persoalan-persoalan yang berkisar di sekitar peradaban dan ketamadunan. Tujuannya tiada lain kecuali untuk memperjelaskan konsep dan makna peradaban dan ketamadunan itu dan seterusnya mengemukakan kerangka konseptualnya tentang apakah bentuk dan rupa peradaban dan tamadun yang diimpikan oleh manusia.  

Ruang lingkup perbahasan tamadun dan ketamadunan sememangnya cukup luas, seluas ruang lingkup kehidupan manusia itu. Bagi menjelaskan subjek yang luas ini, kita memerlukan suatu pendekatan yang dapat memandu memberi kefahaman yang lebih jelas tentang segi-segi penting dan elemen-elemen asas dalam proses pembinaan tamadun.

Bagi tujuan ini, pendekatan yang lebih wajar adalah memulakannya dengan mengenengahkan suatu gambaran umum tentang istilah-istilah yang lazim digunakan dalam perbincangan dan wacana ketamadunan. Penjelasan ini amat perlu kerana kegagalan memahami konsep-konsep atau istilah-istilah itu akan menyebabkan tersimpangnya pemahaman dan tersasarnya pandangan tentang tamadun dan ilmu ketamadunan itu. Ini secara langsung akan membolehkan seseorang mendapatkan intipati daripada konsep-konsep itu dan seterusnya membina pandangan dunia (world view) serta kerangka rujukan (frame of reference) apabila membicarakan isu-isu ketamadunan dan peradaban secara khusus.

Kerangka rujukan ini penting kerana pengajian ketamadunan itu perlu di bina di atas asas epistemologi yang jelas dan bertitik tolak daripada premis yang disesuaikan dengan acuan pandangan dunia yang tertentu bersandarkan latar budaya, ideologi dan agama di mana ianya dibina. Matlamat daripada pembinaan dan kefahaman tentang pandangan dunia ini tidak lain daripada untuk menjanakan upaya intelektual bagi membolehkan ukuran bertamadun dan tidak bertamadunnya sesuatu masyarakat atau bangsa atau komuniti itu dibuat.  

Ringkasnya, untuk terlibat dengan perbahasan tentang tamadun dan ketamadunan, seorang itu perlu memahami dan  mengenal pasti apakah kriteria dan asas rujukan bagi menentukan tahap dan pencapaian sesuatu tamadun berdasarkan teori-teori ketamadunan yang dikemukakan samada klasik, moden maupun kontemporari. Pada masa yang sama ia juga mampu mengenal pasti dan dengan pengetahuan itu berupaya menggunakan acuan dan sistem nilai sendiri dalam menilai apa jua bentuk budaya dan peradaban yang datang dari luar.


1.2    PENGAJIAN KETAMADUNAN (CIVILISATIONAL STUDIES) DAN SEJARAH TAMADUN (HISTORY OF CIVILIZATION)

"History is for human self-knowledge ... the only clue to what man can do is what man has done. The value of history, then, is that it teaches us what man has done and thus what man is." Robin G. Collingwood (1946)

Sering berlaku khilaf dalam pemahaman antara pengajian ketamadunan dan sejarah tamadun. Ekoran daripada keadaan ini menuntut dijelaskan perbezaan dan pertalian atau hubung kait antara pengajian ketamadunan dengan sejarah tamadun? Penjelasan ini lebih-lebih lagi diperlukan kerana kajian ketamadunan harus dibina di atas asas epistemologi yang betul dan mengikut acuan dan berasaskan prinsip dan fundamental tertentu. Ini perlu bagi mengelakkan kecelaruan antara membincangkan tamadun sebagai suatu konsep dan tamadun sebagai suatu realiti sosial dalam sejarah manusia.

Sebagai satu bidang ilmu dan pengetahuan, pengajian ketamadunan membicarakan teori, konsep-konsep asas, ciri serta sifat tamadun secara konseptual, teoretikal dan abstrak, manakala sejarah tamadun pula merujuk kepada pengalaman yang dilalui oleh sesuatu tamadun daripada segi pencapaian, jatuh bangun, kemajuan dan kemundurannya atau ringkasnya kajian mengenai masa lampau. Secara amnya pengajian ketamadunan tidaklah begitu terikat kepada batasan masa/zaman manakala sejarah tamadun lazimnya dibatasi oleh faktor masa.

Namun demikian perspektif ini tidak bertujuan mengasingkan pengajian sejarah tamadun dengan pengajian atau kajian ketamadunan. Ini kerana antara kedua-duanya tidak boleh malah tidak mungkin dapat dipisahkan. Tanpa sejarah, kajian ketamadunan akan menjadi sesuatu subjek yang hampa, usang dan kosong seperti halnya dengan bakul yang tiada berisi. Oleh itu sejarah mesti selamanya menjadi komponen asas dalam kajian ketamadunan kerana melalui sejarahlah ilmu dan teori ketamadunan dibentuk, dibina dan dikembangkan. Di samping sejarah, komponen-komponen dan disiplin-disiplin pengetahuan yang lain juga menjadi komponen pentingnya termasuk agama, falsafah, kajian bandar, sosiologi, antropologi, kebudayaan, sains dan teknologi, seni dan kesusasteraan. Bahkan semua disiplin ilmu yang menghuraikan tentang manusia dan kehidupan serta persekitarannya adalah termasuk di bawah ruanglingkup disiplin yang memperkukuhkan bidang kajian ketamadunan. Ertinya pengajian ketamadunan adalah suatu bidang yang sangat hidup, versatile, luas dan bersifat inter-disiplin serta pelbagai disiplin.

Secara teorinya pengajian ketamadunan, di samping bersifat inter-disiplin, merentasi perbincangan tentang masa lampau, masa kini dan masa depan. Ringkasnya perbezaan antara pengajian ketamadunan dan pengajian sejarah tamadun hanyalah daripada segi fokus dan bukannya subjek. Cuma penjelasan ini diperlukan bagi membetulkan persepsi yang melihat kedua-dua pengajian ini adalah sama dan serupa.

1.3    TAKRIF DAN CIRI-CIRI TAMADUN
Perkataan ‘tamadun’ digunakan bagi menggambarkan kemajuan sesebuah masyarakat khausunya dari sudut ilmu pengetahuan dan fizikal. Dari perspektif semasa, perkataan ‘tamadun’ merujuk kepada pencapaian yang tinggi dalam sains dan teknologi (S&T) selari dengan penonjolannya dalam tamadun Barat. Perkataan tamadun itu sendiri adalah dari bahasa Arab yang telah diterima pakai dalam bahasa Melayu (dalam bahasa Indonesia istilah peradaban lebih popular penggunaannya). Dari sudut etimologinya ia berasal daripada kalimah maddana iaitu kata kerja merujuk kepada perbuatan membuka bandar atau kota serta perbuatan memperhalus budi pekerti. Daripada perkataan ini diterbitkan perkataan madani yang merupakan sifat nama. Madani merujuk kepada sifat sesuatu yang berkaitan dengan pembangunan perbandaran serta kehalusan budi pekerti yang terpuji. Kedua-dua perkataan maddana dan madani sendiri sebenarnya berasal daripada deen yang bermaksud agama, iaitu menggambarkan kehidupan beragama.

Secara tidak langsung, pengertian tamadun menekankan dua perkara yang penting iaitu kehalusan budi pekerti dan pembangunan perbandaran atau penempatan. Secara lebih sempurna, tamadun boleh ditakrifkan sebagai sejumlah pencapaian dan pembangunan dalam segala perlakuan, pemikiran dan kemajuan (seperti S&T, kesenian, kesusasteraan dan lain-lain) yang tinggi, baik, halus dan sopan ke arah pembentukan peribadi dan komuniti yang memiliki personaliti, tatasusila dan budi pekerti yang terpuji untuk membentuk sebuah masyarakat atau negara bangsa.

Selain daripada itu, perkataan yang sering digunakan dalam bahasa Inggeris untuk memberi maksud tamadun ialah civilization. Perkataan ini berasal daripada perkataan civitas dalam bahasa Latin yang bermaksud bandar atau kota. Seperti hadarah dan peradaban, civilization juga membawa maksud yang menekankan penggabungan antara ketinggian budaya dan kemajuan kebendaan.

Di antara penulis yang boleh dianggap pelopor dalam bidang pengajian ini antaranya adalah Jurji Zaydan dan Farid Wajdi, di samping beberapa tokoh lain seperti Muhammad Abduh dan Malik Bennabi. Bagaimana pun penulis yang lebih awal mengupas dan mengenengahkan idea pengajian ketamasunan ini adalah Ibn Khaldun. Ibn Khaldun menggunakan istilah ‘umran bagi menjelaskan makna dan maksud tamadun yang merangkumi organisasi sosial dan budaya. Istilah tamadun diperkenalkan secara khusus bagi pengajian ini oleh Jurji Zaydan apabila beliau menerbitkan karyanya yang masyhur Tarikh al-Tamaddun al-Islami. Muhammad Abduh menggunakan istilah madaniyyah (daripada akar perkataan yang sama dengan tamaddun).

Dalam korpus berbahasa Melayu pula, sekurang-kurangnya dua istilah yang sering digunakan iaitu “tamadun” dan “peradaban”. Kedua-dua istilah itu juga bukanlah kata asal bahasa Melayu. Kedua-duanya adalah pinjaman perkataan Arab. Dalam korpus penulisan berbahasa Melayu, sebelum kedatangan Islam perkataan yang dugunakan bagi maksud peradaban adalah budaya yang bertunjang kepada ketinggian nilai dan kehalusan budi. Hal ini dicerminkan dalam adat resam dan tradisi bangsa Melayu zaman berzaman. Pada ketika ini kalimah Melayu yang sering digunakan bagi menggambarkan peningkatan kehidupan masyarakat ini adalah kemajuan atau pembangunan. Namun begitu perkataan maju dan kemajuan ternyata mempunyai konotasi yang jauh lebih sempit daripada tamadun. Sesudah kedatangan Islam istilah-istilah bahasa Arab diguna dengan meluas dan kemudiannya diiktirafkan dan diterima pakai sebagai perkataan atau istilah Bahasa Melayu.


1.4    AGAMA DAN TAMADUN
Agama adalah satu aspek yang tidak boleh diabaikan dalam kajian ketamadunan. Fenomena agama penting difahami kerana ia merupakan sebahagian daripada kehidupan manusia. Berasaskan fahaman sekular agama melibatkan kepercayaan (belief) terhadap suatu yang bersifat “transcendent” dan “beyond”.4

Manakala tamadun merujuk kepada suatu tingkat pencapaian daripada segi pembangunan sosial, keadaan masyarakat yang berperadaban atau menjadi bertamadun. Ianya bermaksud suatu masyarakat yang mencapai tahap maju dalam bidang sosial, seni dan sains yang mempunyai kompleksiti daripada segi budaya yang dibentuk dalam kelompok tertentu berasaskan epoch yang tertentu.

Bagi menghuraikan hubungan antara tamadun dengan agama, suatu pendekatan yang bersifat kefalsafahan diperlukan. Ia harus bertitik tolak daripada konsep manusia sebagai agen tamadun par exellence. Oleh kerana tamadun dibina atas acuan dan bentuk serta latar budaya masyarakat yang tertentu maka faktor keagamaan atau sistem kepercayaan sesuatu masyarakat itu tidak dapat diketepikan dan/malah ianya dalam banyak keadaan menjadi faktor penentu.

Hal yang demikian ini dapat dibuktikan melalui singkapan sejarah tamadun-tamadun besar dunia. Tamadun-tamadun dunia yang pernah muncul seperti Aztec, Sumeria/Babylonia, Mesir Purba, China, Indus-Ganges misalnya mempunyai tradisi sistem kepercayaan yang mendominasi malah menentukan imej tamadun tersebut.

Kehidupan berbudi pekerti mulia dan bermoral tinggi merupakan perkara penting dalam kehidupan bertamadun. Pembinaan sifat tersebut pada diri seseorang berkait rapat dengan kepercayaan beragama dalam kehidupan seorang manusia. Agama berperanan membentuk pandangan semesta seseorang dan sesebuah masyarakat serta perilaku tindakan mereka dalam kehidupan. Daripada bukti tamadun-tamadun silam, dapat dilihat bagaimana agama mempunyai kaitan yang begitu rapat dengan tamadun. Bukti-bukti peninggalan dan barangan tamadun-tamadun silam yang dapat dilihat sehingga ke hari ini menggambarkan penghayatan yang tinggi terhadap kehidupan beragama.

Namun begitu, bukan semua tamadun dipengaruhi dengan kuat oleh agama sebagaimana tamadun Barat kontemporari yang lebih cenderung memencilkan nilai-nilai keagamaan dalam kehidupan masyarakatnya. Selain daripada itu, terdapat beberapa tamadun yang turut mengumpulkan pelbagai agama yang berbeza sebagai pegangan masyarakat. Fenomena ini dapat dilihat dalam zaman tamadun Islam yang lalu, apabila tidak semua yang bernaung di bawah tamadun itu terdiri dari kalangan masyarakat Islam.

Berasaskan pandangan para sarjana umumnya, terdapat sekurang-kurangnya dua aliran iaitu yang bependapat agama mempunyai pengaruh dan peranan yang besar terhadap tamadun di satu pihak dan mereka yang skeptikal terhadap peranan agama disatu pihak yang lain. Sebagai contoh, Arnold Toynbee berpendapat “in the course if its evolution, a civilisation produced, among other things, a universal state and higher form of religion”.  Namun seorang lagi sarjana Amerika, Thomas Berry berpendapat bahawa tamadun ketimuran (oriental civilisation) seperti China dan India tidak dapat difahami sepenuhnya kecuali dengan merujuk kepada agama-agama besar Asia. Manakala Edward Sullivan ketika mengulas dan mengiktiraf peranan Islam dalam pembinaan tamadun Islam mencatatkan “Muslim civilisation was the product of Muslim religion”.

Para sarjana Islam dalam bidang ini pula telah membuat penegasan tentang kedudukan, peranan serta pengaruh Islam sebagai pemangkin kebangunan tamadun Islam. Muhammad Abduh misalnya dalam Tafsir al-Quran telah membuat suatu generalisasi bahawa semua  tamadun (madaniyyat) dibangunkan di atas asas agama. Manakala Ali Shariati pula menekan persoalan peranan Islam sebagai faktor utama dalam proses kebangunan Tamadun Islam.

1.5    HUBUNGAN TAMADUN DENGAN BUDAYA
Dalam kehidupan bertamadun, masyarakatnya manusia dicirikan sebagai masyarakat yang memiliki budaya yang tinggi dan terpuji. Budaya merujuk kepada tatacara mereka bertindak ke atas persekitaranmya (termasuk persekitaran sosial) dalam menguruskan kehidupan secara kolektif. Berbudaya tinggi dan terpuji pula merujuk kepada kehalusan budi dan kesempurnaan moral yang dipaparkan dalam kehidupan mereka. Bagaimanapun tamadun berbeza daripada budaya apabila dilihat dari dua keadaan berikut

a.     Pengaruh dan natijah tamadun berkekalan lebih lama berbanding dengan pengaruh dan natijah budaya. Dengan pengertian lain sesuatu natijah budaya yang kekal lama dalam sesebuah masyarakat merupakan natijah tamadun. Sebagai contoh, kesetiaan kepada maharaja merupakan satu natijah tamadun dalam masyarakat Jepun meskipun sistem politik mereka telah jauh berbeza daripada keadaan silam. Cara mereka berpakaian dan pemilihan jenis makanan pula merupakan natijah budaya kerana telah mengalami banyak perubahan dalam tempoh seratus tahun ini.

b.     Tamadun melampaui batas-batas kenegaraan dan wilayah sedangkan budaya selalunya dikaitkan dengan negara atau wilayah tertentu. Tamadun Islam misalnya mengandungi beberapa budaya mengikut negara atau wilayah yang berbeza. Sebagai contoh, budaya masyarakat Islam di rantau Melayu berpakaian berbeza daripada masyarakat Islam di Semenanjung Arab sungguhpun mereka berada di bawah naungan ketamadunan Islam.



Tamadun dan Bangsa
Lazimnya sesuatu bangsa mempunyai pertalian yang rapat dengan sejarah, tradisi dan budaya kawasan geografi tertentu. Manakala tamadun pula bersifat universal melintasi sempadan geografi yang secara langsung melampaui batasan bangsa dan kebangsaan. Terdapat tamadun yang dibangun dan dimiliki oleh lebih daripada satu bangsa atau kaum seperti tamadun Barat yang mengandungi beberapa bangsa atau kaum di Eropah dan Amerika Utara. Manakala Tamadun Islam telah bangun dan berkembang dengan di latari oleh pelbagai budaya dan bangsa. Secara teorinya, tamadun dan bangsa mempunyai kaitan walaupun selalunya tamadun melampaui batasan kebangsaan. Namun demikian imej sesuatu tamadun itu banyak ditentukan oleh bangsa yang menerajui tamadun itu. Sebagai contoh yang dekat ialah tamadun Islam yang berkembang di Alam Melayu yang memperlihatkan imej dan citra keMelayuannya, pada waktu yang sama meletakkan Islam sebagai asas sistem nilai dan landasannya.


1.6    PROSES DAN KARAKTERISTIK TAMADUN

Clive Bell dalam bukunya Civilization menghujahkan antara perkara yang amat penting dalam tamadun ialah kewujudan leisured class iaitu kewujudan mereka yang bersedia memberikan masa lapangnya (surplus time) untuk “membantu” orang lain (Clive Bell, Civilization: An Essay, London: Penguin Book, 1938)

Merujuk pandangan Bell di atas, ada dua kata kunci penting yang menjadi asas memahami tahap pencapaian ketamadunan iaitu ”leisured class” dan ”surplus time”. Beliau melihat tamadun sebagai manifestasi kejayaan menyediakan suatu keadaan di mana anggota masyarakat itu mempunyai masa untuk melakukan aktiviti berhibur dengan adanya masa senggang. Ini selari dengan pandangan yang melihat bahawa antara ciri masyarakat bertamadun adalah yang dapat menzahirkan kreativitinya melalui aktiviti masa senggang seperti merekacipta hasil seni dan berkarya.

Sebagai suatu proses, tamadun merupakan evolusi yang berlaku dalam sesuatu masyarakat daripada kehidupan desa kepada kehidupan bandar, daripada kehidupan tidak tetap kepada kehidupan menetap. Proses inilah yang menjadi asas pembentukan dan pemikiran mengenai tamadun manusia. Peringkat-peringkat proses ini menjadi fokus pelbagai bidang ilmu berkaitan pengajian ketamadunan yang mana tiap-tiap peringkat proses itu merupakan peringkat yang mempengaruhi peringkat seterusnya.

Secara amnya proses yang dilalui oleh sesuatu masyarakat  daripada tidak bertamadun kepada bertamadun itu dapat dibahagikan kepada beberapa peringkat iaitu bermula dengan masyarakat simpel/mudah kepada masyarakat modern dan kompleks. Dalam proses ini sesuatu masyarakat mengalami proses peringkat pertama iaitu menyediakan keperluan asas bagi diri dan keluarganya, makanan, pakaian, tempat tinggal dan keselamatan.

Proses ini akan berterusan iaitu bermula daripada usaha memenuhi keperluan asas sehinggalah kepada keupayaan memenuhi keperluan-keperluan yang bersifat ”mewah” dan yang bukan lagi bersifat asas.

Dalam proses peningkatan ini  manusia melalui berbagai lapisan taraf hidup yang mana melibatkan peningkatan dan penambahan bagi keperluan asas. Masyarakat menjadi bertambah maju dengan peningkatan prasarana dalam kehidupan dan perubahan konsep tentang apa yang dikatakan asas dan apa yang dikatakan mewah. Berbezanya konsep keperluan asas itu juga adalah sebahagian daripada petunjuk penting yang menentukan tahap pencapaian sesuatu masyarakat dalam bidang ketamadunan. Sebagai contoh barangan mewah pada peringkat awal proses ketamadunan kemudiannya berubah menjadi barangan keperluan asas pada peringkat berikutnya. Sebagai contoh, pakaian adalah keperluan asas bagi menutup bahagian-bahagian tertentu tubuh manusia tetapi kemudiannya pakaian yang sempurna menjadi keperluan asas kepada masyarakat manusia yang sudah bertambah maju. Manakala pada peringkat seterusnya pakaian yang “bersesuaian” dengan keadaan tertentu manjadi keperluan asas mungkin kepada orang tertentu (yang berkedudukan) dan seumpamanya. Proses yang berikutnya mungkin lebih menjurus kepada jenis pakaian yang dikaitkan juga dengan status sosial seseorang kerana pakaian pada ketika ini bukan lagi keperluan asasi tetapi berfungsi sebagai lambang kedudukan sosial seseorang.

Selain itu, aspek kehidupan yang lain juga bergerak selari dengan pergerakan tamadun seperti pendidikan. Pada masa lampau kebolehan menulis adalah suatu yang jarang-jarang dimiliki oleh seseorang dan ianya merupakan suatu keistimewaan kepada sesiapa yang memiliki kebolehan itu. Contohnya, pada zaman jahiliah Arab, mereka yang berupaya menulis dianggap seorang yang sangat istimewa dalam masyarakat. Tetapi perkembangan tamadun kemudiannya meunjukkan bahawa kebolehan yang seumpama itu bukan lagi sesuatu yang istimewa, malahan mereka yang tidak memiliki keupayaan itu pula dianggap ketinggalan atau kekurangan. Bahkan pada ketika ini salah satu petunjuk yang digunakan bagi mengukur pencapaian sesuatu masyarakat atau bangsa adalah kadar celik hurufnya.

Setiap tamadun mempunyai ciri-ciri atau penonjolan yang tersendiri seperti tamadun Yunani yang terkenal dengan kesusasteraan falsafah dan keseniannya, tamadun Cina dengan krafnya manakala tamadun Islam pula terkenal dengan perspektif pandangan dunia yang menyeluruh dan perkembangan sains dan teknologi. Di samping terdapat keistimewaan tertentu pada tamadun-tamadun yang berbeza, tamadun juga mempunyai ciri-ciri dasar dan asas yang bersifat sejagat seperti berikut


a.     Kewujudan penempatan masyarakat manusia di sesebuah kawasan atau
beberapa kawasan yang disatukan membentuk kota, bandar, kepolisan atau madinah.
b.     Peningkatan kualiti kehidupan yang lebih sempurna, seterusnya terhasil peningkatan jangka hayat penghidupan yang lebih stabil dan panjang.
c.     Kewujudan sistem organisasi dan institusi sosial dalam bidang politik, pentadbiran, ekonomi dan pendidikan yang sempurna dan teratur.
d.     Kemunculan satu bahasa atau beberapa bahasa yang serumpun dengan satu sistem tulisan yang tersendiri bagi menjadi perantaraan komunikasi, perakaman, penyampaian dan pewarisan khazanah tamadun dalam pelbagai bidang ilmu.
e.     Kewujudan sistem perundangan yang teratur dan sistem nilai serta moral yang berwibawa yang dikuatkuasakan untuk mengatur perlakuan dan tindak tanduk masyarakatnya dalam segala kegiatan kehidupan.
f.    Kelahiran dan peningkatan daya reka cipta dalam penciptaan teknologi dan pembinaan bagi menyempurnakan lagi keselesaan kehidupan.
g.     Kelahiran dan perkembangan daya kreativiti dalam menghayati falsafah, kesenian, kesusasteraan dan nilai estetika yang tersendiri.


1.7    KELAHIRAN DAN PERKEMBANGAN TAMADUN
Perubahan pada sesebuah masyarakat daripada kehidupan tidak bertamadun kepada kehidupan bertamadun agak sukar digambarkan secara lengkap. Perubahan tersebut boleh jadi berlaku secara beransur-ansur atau secara drastik. Namun secara lebih menyeluruh dapat dikenal pasti beberapa faktor pendorong kepada kemunculan tamadun-tamadun dunia sebelum ini seperti berikut:

a.     Kedudukan yang strategik. Kedudukan yang sesuai dapat membantu membangunkan sesebuah penempatan dan membolehkan penduduk atau penerokanya memperoleh sumber-sumber semula jadi untuk kelangsungan kehidupan. Faktor geografi yang merujuk kepada kesesuaian lokasi telah dilihat menyebabkan kemunculan tamadun Cina di lembah Huang-He dan Yang Tze. Selain itu, tamadun India di Lembah Ganges dan Brahmaputra, serta tamadun Mesopotamia di Lembah Tigris dan Euphrates, dan tamadun Mesir di Lembah Nil. Begitu juga dengan tamadun Melaka di pinggiran Selat Melaka.

b.     Rangsangan keagamaan dan kerohanian. Ajaran agama dan amalan rohani mendorong manusia supaya menghayati nilai-nilai kehidupan yang tulus dan suci, seterusnya membawa kepada kehidupan bertamadun. Sesebuah masyarakat yang menghayati kehidupan beragama akan berusaha memastikan kehidupan mereka mencapai kesempurnaan kemanusiaan, agar dapat melahirkan ketinggian budaya hinggalah membawa kepada kehidupan bertamadun. Kemunculan tamadun Islam misalnya begitu dipengaruhi oleh rangsangan nilai daripada penghayatan cara hidup Islam yang kamil berserta dorongan langsung daripada risalah wahyu.

c.    Pembangunan ilmu dan penghayatan nilai. Penghayatan yang tinggi terhadap moral dan nilai terpuji oleh pemimpin dan masyarakatnya. Nilai-nilai murni yang wujud pada masyarakat pastinya menggalakkan kecintaan kepada ilmu dan nilai-nilai murni yang lain seperti kreativiti, ketekunan, kerajinan, semangat berdisiplin dan sebagainya. Nilai-nilai murni yang wujud pada pemimpin pula sudah pasti menggalakkan kepimpinan yang berhemat, bertanggungjawab dan jujur yang seterusnya mendorong rakyatnya berganding bahu untuk membangunkan negara. Penghayatan nilai-nilai murni telah direalisasi oleh kesemua tokoh tamadun silam seperti Plato dan Aristotle dalam tamadun Yunani, Lao Tze dan Kung Fu-Tze dalam tamadun Cina, Kautilya dan Samkara dalam tamadun India serta al-Farabi, al-Mawardi, al-Ghazali dan Ibn Khaldun dalam tamadun Islam.

  1. Tekanan kehidupan. Kesengsaraan hidup yang dialami oleh sesebuah masyarakat. Kehidupan yang sengsara dan menderita boleh mendorong masyarakat bekerjasama menggemblengkan tenaga untuk membebaskan diri mereka daripada belenggu tersebut. Situasi demikian boleh menjadikan masyarakat itu lebih berdisiplin dan kreatif untuk membangunkan kehidupan mereka. Hakikat ini bersesuaian dengan pepatah Inggeris yang menyatakan ‘keperluan kehidupan merupakan ibu segala reka cipta’ (necessity is the mother of invention). Dalam konteks zaman moden, kemunculan negara Jepun sering kali dikaitkan dengan penderitaan masyarakatnya selepas kekalahan mereka dalam Perang Dunia Kedua.

e.     Interaksi dengan tamadun lain. Toleransi yang tinggi terhadap sumbangan tamadun-tamadun yang lain. Semangat untuk mewujudkan interaksi antara tamadun merupakan satu rangsangan dan dorongan kepada pemupukan kehidupan bertamadun. Toleransi menggambarkan sikap keterbukaan untuk menerima sumber-sumber yang baik daripada tamadun-tamadun lain, yang akhirnya dapat membantu kemunculan tamadun baru. Sikap sebegini diamalkan oleh tokoh-tokoh penting  tamadun-tamadun sebelum ini jelas menampakkan toleransi dan saling hubungan antara tamadun. Tamadun Islam contohnya merupakan tamadun yang telah bersikap terbuka untuk menerima sumber-sumber ilmu daripada tamadun Yunani, tamadun Parsi, tamadun India dan tamadun Cina.

Seterusnya natijah kemunculan sesebuah tamadun dapat digambarkan oleh perilaku dan budaya masyarakat yang tinggi dalam pentadbiran dan perekonomian. Pada zaman kegemilangan sesebuah tamadun dapat diperhatikan pencapaian-pencapaian yang luar biasa dalam pelbagai bidang seperti kesenian, kesusasteraan, pemikiran dan falsafah, serta penciptaan teknologi yang seterusnya berkembang dalam tamadun-tamadun selepas itu. Hakikat ini menerangkan bahawa kegemilangan dan kecemerlangan bukanlah monopoli sesebuah tamadun tertentu.

Namun, bagi sesebuah tamadun itu, setelah melalui zaman kecemerlangan pasti juga akan mengalami zaman kemerosotan. Dalam sejarah terdapat beberapa tamadun mampu bertahan dalam satu tempoh masa yang begitu panjang. Sebagai contoh tamadun Romawi berlangsung dari zaman Augustas sehingga ke zaman Aurelius (30 SM -180 M). Begitu juga dengan tamadun Islam Uthmaniyyah dari tahun masehi 1299 sehingga 1922, iaitu lebih daripada enam kurun. Adakah benar hukum sejarah yang sentiasa berputar, menyebabkan  kemerosotan sesebuah tamadun?

Menurut Ibn Khaldun kebangunan dan kemerosotan sesebuah tamadun itu adalah mengikut hukum putaran sejarah. Pada peringkat permulaan ia berjaya kerana nilai-nilai baik, tetapi selepas mencapai kejayaan, nilai-nilai tersebut merosot kerana limpahan kemewahan dan penyelewengan. Sebaliknya para sarjana yang lain berpendapat sesebuah tamadun itu merosot bukanlah disebabkan hukum sejarah. Kemerosotan sesebuah tamadun itu boleh dielakkan sekiranya mereka belajar dari sejarah dengan mengekalkan nilai-nilai yang baik. Berdasarkan sejarah, sesebuah tamadun itu boleh merosot kerana faktor-faktor berikut:

a.     Berlakunya ketidakadilan dengan wujudnya jurang perbezaan yang begitu ketara antara golongan kaya dengan miskin. Sebagai contoh, situasi seperti ini dapat diperhatikan di penghujung tamadun Romawi pada kurun ketiga dan keempat Masehi.

b.     Berleluasanya penindasan dan kezaliman sehingga persoalan hak-hak kemanusiaan diketepikan sama sekali. Kehidupan bertamadun sudah tidak bermakna lagi apabila sistem ketatanegaraan dan perundangan tidak dihormati malah dicabuli dengan sewenang-wenangnya. Sebagai contoh, wilayah-wilayah kolonial yang merupakan sebahagian daripada tamadun Barat telah tumbang disebabkan penindasan dan kezaliman yang dilakukan.

c.     Berlakunya keruntuhan moral dan nilai dalam masyarakat terutama di kalangan pemimpin yang menandakan musnahnya penghayatan terhadap budi pekerti yang murni dan mulia. Berdasarkan sejarah kemerosotan tamadun Yunani, tamadun Romawi dan tamadun Islam boleh dikaitkan dengan keruntuhan moral dan nilai terutama di kalangan pemimpin. Seorang penyair Arab, Ahmad Shawqi (1868 - 1932) pernah menukilkan dalam salah satu puisinya “Sesungguhnya tertegaknya sesebuah umat itu adalah disebabkan ketinggian akhlaknya. Sekiranya akhlak mereka hilang maka umat tersebut akan lenyap”.

d.    Wujud sikap tertutup yang tidak mahu menerima perubahan terutamanya dari segi perubahan teknologi atau perubahan dalam struktur politik, ekonomi dan sosial. Sikap sebegini pasti akan  merencatkan daya kreativiti dan inovasi sesebuah masyarakat dan seterusnya menyebabkan mereka berada dalam keadaan yang beku atau jumud berpanjangan. Seorang tokoh pemikir masa kini, Edward de Bono menyatakan bahawa sikap tertutup merupakan halangan yang paling besar terhadap penganjakan paradigma (paradigm shift). Dalam sejarah dapat dilihat bagaimana tamadun Islam Uthmaniyyah mengalami keruntuhan dan dalam disebabkan sikap tertutup yang tidak mahu menerima perubahan teknologi dan sosial.

e.    Berlakunya malapetaka atau bencana alam yang menyebabkan kerosakan secara besar-besaran. Faktor seperti ini juga merupakan salah satu penyebab kemerosotan sesebuah tamadun. Bagaimanapun, faktor ini di luar kawalan manusia untuk menghalangnya daripada berlaku.

1.8    PERSAMAAN DAN PERBEZAAN ANTARA TAMADUN
Terdapat banyak perbezaan dan persamaan antara satu tamadun dengan satu tamadun yang lain. Ciri-ciri perbezaan dan persamaan antara tamadun boleh dilihat terutamanya dari sudut teologi, epistemologi dan etika. Sebagai contoh, persoalan teologi berhubung dengan konsep monoteisme Islam begitu berbeza daripada metafizik Buddhisme yang tidak menerima konsep Tuhan Pencipta (Creator God). Hinduisme pula sebaliknya, menerima konsep Tuhan walaupun manifestasi monoteismenya berbeza daripada Islam, Kristian dan Yahudi. Islam, Kristian dan Yahudi dilihat secara umum merupakan agama-agama monoteistik, tetapi kepercayaan monoteisme mereka berbeza antara satu sama lain.

Persoalan-persoalan teologi, sering dilihat menimbulkan percanggahan pendapat  antara satu tamadun dengan satu tamadun yang lain. Malahan, percanggahan juga tidak dapat dielakkan berlaku dalam sesebuah agama itu sendiri. Sekiranya dibandingkan dengan persoalan teologi, persoalan etika sebenarnya kurang menimbulkan kontroversi. Hakikat ini dapat menjelaskan bahawa dialog tamadun atau peradaban boleh berlangsung dalam keharmonian sekiranya fokus lebih ditumpukan kepada persoalan etika. Dalam konteks melihat perbezaan dan persamaan antara tamadun, tujuh persoalan etika berikut dikemukakan:

  • Alam sekitar
Hidup secara harmoni dengan alam sekitar merupakan satu prinsip yang diterima oleh kesemua agama. Berdasarkan pengajaran sesetengah agama, alam sekitar dilihat sebagai anugerah Tuhan. Manusia pula dipertanggungjawabkan sebagai khalifah (custodian atau steward) yang berperanan sebagai penjaga alam sekitar. Bagi Islam, Buddhisme dan beberapa aliran Kristian memelihara alam sekitar bermakna menggunakan anugerah Tuhan secara bertanggungjawab. Tetapi dalam beberapa tamadun tertentu, memelihara alam sekitar diberi pentafsiran pasif sehingga alam sekitar itu disembah dan dilihat sebagai Divine Power. Sungguhpun terdapat perbezaan pandangan ini, namun tamadun-tamadun tradisional secara umumnya tidak memusnahkan alam sekitar.

  • Keluarga
Tamadun-tamadun tradisional begitu menghayati prinsip keluarga sebagai asas pembentukan masyarakat. Keluarga yang dimaksudkan pada lazimnya ialah keluarga extended. Dalam sesebuah keluarga tradisional, telah menjadi warisan turun-temurun amalan menentukan kedudukan antara kaum lelaki dan kaum perempuan melalui hierarki kuasa. Menurut konfusianisme kesetiaan dan pertalian yang erat melalui konsep kekeluargaan sebegini merupakan penafian hak seseorang dan bertentangan dengan keadilan. Konsep kekeluargaan dalam pengajaran Islam pula begitu mementingkan kasih sayang dan hormat-menghormati. Berdasarkan hakikat tersebut, bukanlah persoalan kedudukan kaum lelaki dan kaum perempuan dalam sesebuah keluarga itu yang menjadi persoalan utama, tetapi setiap mereka harus menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam lingkungan kasih sayang dan hormat-menghormati.

  • Komuniti
Komuniti sangat penting dan berpengaruh dalam menentukan personaliti dan identiti seseorang manusia. Komuniti juga dapat memastikan bahawa nilai-nilai dan norma-norma murni dalam masyarakat sentiasa dihormati. Di samping itu, komuniti dapat memberi sokongan moral, material dan psikologikal kepada anggota-anggotanya. Dikotomi individu dan komuniti jarang wujud dalam masyarakat tradisional. Kedua-dua pihak berpegang pada nilai-nilai moral tertentu yang lazimnya bersumberkan agama atau kuasa transenden. Bagaimanapun, fenomena seperti ini bukanlah bermakna seseorang itu tidak mempunyai identiti tersendiri dalam komuniti tradisional. Dalam sejarah ketamadunan manusia, dapat diperhatikan bagaimana identiti seseorang dan kemantapan komuniti mencapai keseimbangan dalam beberapa tradisi tertentu seperti Islam dan Buddhisme.


  • Kerajaan
Falsafah tamadun-tamadun tradisional amat menekankan persoalan moral atau akhlak sebagai dasar sesebuah kerajaan. Peranan dan tanggungjawab kerajaan dijelaskan melalui peranan dan tanggungjawab seseorang raja. Sifat-sifat raja yang saksama dan adil merupakan tema utama tamadun-tamadun silam. Dalam tamadun Cina, tulisan Moh-Tze, Lao-Tze, Kung Fu-Tze, Meng Tze dan beberapa tokoh-tokoh yang lain sangat menekankan perkara ini. Begitu juga dalam tamadun India, Kautilya membincangkan ciri-ciri kepimpinan yang saksama dan adil. Manakala dalam tamadun Islam, al-Farabi, al-Mawardi, al-Ghazali dan Ibn Khaldun turut menumpukan perhatian kepada persoalan yang sama. Kesetiaan kepada raja dan perlindungan yang diberikan oleh raja kepada rakyat merupakan dimensi penting kerajaan dalam tamadun-tamadun tradisional. Hubungan ini lazimnya dilandasi oleh semangat feudalisme yang tebal. Namun demikian, kesetiaan yang diberikan oleh rakyat tetap berpandukan nilai-nilai moral. Sekiranya seseorang raja melanggar lunas-lunas keadilan, maka ketika itu rakyat boleh menyanggah dengan tujuan untuk membetulkannya.

  • Ekonomi
Dalam tamadun-tamadun tradisional, kegiatan ekonomi berlaku dalam konteks ‘Moral Semesta’ (Moral Universe). Dalam ajaran Buddhisme, wujud konsep hak-hak kehidupan sebagaimana yang termaktub dalam salah satu daripada eightfold path. Dalam ajaran Islam, prinsip yang berkaitan dengan halal dan haram mempunyai hubungan yang rapat dengan persoalan akhlak. Hakikat ini menjelaskan bahawa wujud kegiatan ekonomi yang boleh mempertingkatkan tahap moral manusia sebagaimana juga wujud kegiatan ekonomi yang boleh merosakkan moral manusia. Konsep ‘wang’, ‘laba’, ‘ganjaran’, ‘pasaran’ dan sebagainya sangat dipengaruhi oleh pertimbangan-pertimbangan moral. Bagaimanapun, kenyataan ini bukanlah bermakna tidak terdapat penipuan, rasuah atau bentuk-bentuk penyelewengan yang lain seperti yang berlaku dalam kegiatan ekonomi moden.

  • Pendidikan
Dalam tamadun-tamadun tradisional, matlamat utama pendidikan adalah untuk  pembinaan sifat-sifat mulia seseorang (character-building) melalui proses pengajaran ilmu. Menyedari akan perkara tersebut, dimensi inner-Being diberi penekanan penting dalam konsep pendidikan Islam, Kristian, Hinduisme dan agama-agama yang lain. Manusia perlu mengetahui dan menguasai dirinya dahulu sebelum mampu menguasai persekitaran luaran melalui pengetahuannya tentang alam. Cuma cara transformasi ini berlaku berbeza dari satu tradisi ke tradisi yang lain. Dalam ajaran Islam persoalan tauhid memainkan peranan penting dalam transformasi manusia, tetapi dalam ajaran Buddha dan beberapa aliran ajaran Hindu, transformasi sifat dapat dicapai melalui proses mencari diri sendiri.



  • Kesihatan
Sepertimana bidang-bidang dalam masyarakat yang lain, konsep kesihatan dalam tamadun-tamadun tradisional tidak terpisah daripada pandangan semesta sesebuah agama. Sifat penting konsep kesihatan tamadun-tamadun tradisional ialah pandangan dan pendekatan holistiknya. Holistik bermakna suatu pandangan yang mengakui bahawa kesihatan seseorang dipengaruhi oleh alam sekitarnya yang lebih luas, lebih menyeluruh dan saling berhubungan. Mengubati penyakit, menurut konsep holistik bermakna memulihkan keseimbangan seseorang dan melalui proses ini dapat dipulihkan keharmonian dalam tubuh badan pesakit dan seterusnya keseimbangan dalam kehidupannya.

Berdasarkan pemerhatian terhadap kehidupan bertamadun, jelas bahawa teras kepada konsep-konsep kehidupan dan pencapaian matlamat hidup dalam tamadun-tamadun tradisional mempunyai beberapa ciri persamaan. Namun begitu, dalam persoalan-persoalan tertentu, terutamanya yang berkaitan dengan teologi wujud beberapa perbezaan yang harus kita fahami. Memahami persamaan dan perbezaan antara satu tamadun dengan tamadun yang lain seharusnya mendorong kita untuk lebih bersikap toleransi ke arah mewujudkan keharmonian sejagat. Kesimpulannya, mengetahui persoalan-persoalan dasar berkaitan dengan ilmu ketamadunan membuka ruang kepada seluruh manusia untuk berinteraksi secara positif ke arah kehidupan yang lebih saksama.

1.9    INTERAKSI ANTARA TAMADUN
Walaupun setiap tamadun mempunyai keistimewaan tersendiri, sifat sebenar sesebuah tamadun tidak tertutup. Sesungguhnya telah wujud saling hubungan atau interaksi antara tamadun sama ada di peringkat perkongsian nilai, pemikiran, institusi dan keinsanan yang berlaku sepanjang sejarah. Saling hubungan seperti ini dilihat telah melahirkan kesan-kesan positif meskipun terdapat juga kesan-kesan negatif. Kewujudan interaksi antara tamadun lahir disebabkan oleh semangat toleransi yang tinggi serta sikap saling menghormati antara sesebuah tamadun dengan sesebuah tamadun yang lain. Keterbukaan seperti ini memungkinkan berlakunya percambahan pemikiran dan budaya lalu mengelakkan kebekuan atau kejumudan yang boleh menyebabkan kemerosotan sesebuah tamadun.Perbincangan mengenai interaksi boleh dijelaskan dengan merujuk kepada jenis-jenis interaksi yang wujud, iaitu seperti berikut:



  • Interaksi Dalam Lingkungan Budaya Yang Sama
Interaksi dalam lingkungan budaya yang sama  merujuk kepada hubungan satu budaya dalam sesuatu kaum seperti contohnya orang Melayu yang terdiri dari pelbagai suku kaum seperti orang Jawa, Banjar, Bugis, Mandaling dan sebagainya yang pastinya mempamerkan kepelbagaian budaya dan adat resam keturunannya. Begitu juga dengan orang Cina,     yang mempunyai pelbagai suku kaum seperti Hakka, Kantonis, Hainan, Teochew dan sebagainya. Manakala bagi orang India seperti Malayalam, Punjabi dan sebagainya.

Saling hubungan masyarakat Muslim dan Hindu di India memberi contoh tepat interaksi ini. Walaupun mereka mempunyai pegangan agama yang berbeza tetapi tidak dari segi budaya, seperti golongan masyarakat Hindu di India Utara menerima unsur-unsur keislaman dalam budaya berpakaian, pemakanan dan seni bina. Manakala masyarakat Muslim di India pula menerima unsur-unsur tertentu termasuk seni bina, muzik, pemakanan dan gaya hidup masyarakat Hindu. Secara umumnya setiap satu kelompok masyarakat mengamalkan kebudayaan yang hampir sama, tetapi terdapat dalam suasana atau upacara majlis  tertentu akan memperlihatkan kelainan budaya yang diamalkan menurut suku kaum masyarakat tersebut.

  • Interaksi Dengan Budaya Dan Peradaban Yang Berbeza
Interaksi jenis ini menerangkan bagaimana antara satu kaum yang berlainan budaya dan kepercayaan agama dapat saling berinteraksi walaupun tinggal di satu lokasi atau negara yang sama.Interaksi antara masyarakat Muslim dan Buddhisme di Asia Tenggara boleh dijadikan rujukan. Dalam konteks hubungan sosial, masyarakat Muslim berinteraksi dengan masyarakat Buddha di Thailand, Kemboja, Indonesia (Jawa) dan Malaysia sebelum zaman kolonial lagi. Meskipun agama dan budaya hidup mereka begitu berbeza dan segi metafizik dan teologi, hak-hak masyarakat Buddha untuk mengamalkan agama mereka begitu dihormati di negara-negara yang kebanyakan penduduknya terdiri daripada penganut-penganut Islam. Kewujudan kuil-kuil seperti Borobudur di Pulau Jawa yang majoriti penduduknya penganut-penganut Islam merupakan lambang kepada sikap toleransi seperti ini.

  • Interaksi Antara Peradaban Yang Dominan Dengan Yang Tidak Dominan
Interaksi antara Islam dengan Yahudi dan Islam dengan Kristian pada saat kelahiran Islam di Semenanjung Arab memperlihatkan bagaimana interaksi antara peradaban yang dominan dengan yang tidak dominan. Hak masyarakat Yahudi, Kristian dan kelompok-kelompok kaum yang lain diberi jaminan perlindungan dalam Piagam Madinah yang digubal oleh Nabi Muhammad s.a.w. sendiri. Tempat-tempat peribadatan kedua-dua kaum ini diberi perlindungan, malah penganut agama Yahudi dan Kristian bebas mengamalkan agama mereka tanpa sebarang ketakutan. Pengiktirafan hak agama-agama bukan Islam untuk mengamalkan agama mereka selagi mereka tidak mengganggu atau menceroboh Islam atau masyarakat Muslim merupakan salah satu prinsip yang penting dalam sistem keadilan Islam.

Sepanjang sejarah ketamadunan Islam dan zaman pemerintahan Umayyah sehingga zaman pemerintahan Uthmaniyyah, masyarakat Yahudi dan Kristian hidup harmoni dan damai di tengah-tengah masyarakat Muslim yang merupakan majoriti. Selain bebas mengamalkan agama masing-masing, beberapa individu Yahudi dan Kristian diberi kepercayaan menduduki tempat-tempat tinggi dalam pentadbiran kerajaan Islam, terutamanya di bumi Andalusia (Sepanyol). Penulis dan sarjana dari kalangan masyarakat Yahudi dan Kristian terus memberi sumbangan kepada perkembangan tamadun Islam.

  • Contoh Interaksi Dalam Sejarah
Selain daripada contoh-contoh yang dikemukakan sebelum ini, terdapat banyak lagi contoh dalam sejarah yang boleh diambil sebagai rujuk dan pengajaran yang baik. Antaranya ialah interaksi antara tamadun Hinduisme dan tamadun Buddhisme pada zaman silam. Buddhisme sebagai sebuah agama yang lahir dalam masyarakat Hindu, memiliki ciri-ciri tertentu dan falsafah Hinduisme, termasuklah Karma (Rebirth), Dhamma (Righteousness) dan Mokhsa (Liberation). Selepas Buddha dan misinya, reformasi Hinduisme dipengaruhi pula oleh pemikiran-pemikiran tertentu dan Buddhisme termasuklah kritikannya terhadap sistem kasta, pemusatan kuasa rohaniah dengan golongan Brahmin, penafian hak-hak tertentu kaum wanita dan lain-lain. Situasi seperti ini menunjukkan kedua-dua pihak memperoleh manfaat daripada kewujudan interaksi antara tamadun.

Saling hubungan dan interaksi antara Islam dan Konfusianisme telah bermula sejak kurun ketujuh Masehi lagi. Pada peringkat awal, interaksi ini berlaku dalam bentuk perdagangan, iaitu antara saudagar-saudagar Arab dan Parsi dengan saudagar-saudagar Cina. Terdapat saudagar-saudagar Arab dan Parsi yang bermastautin di China, dan melalui proses interaksi termasuklah perkahwinan, mereka menjadi sebahagian daripada masyarakat tempatan. Dalam Dinasti Tang, Dinasti Sung, Dinasti Yuan dan Dinasti Ming, beberapa tokoh-tokoh Islam muncul memberikan sumbangan yang penting kepada perkembangan tamadun Cina. Terdapat di kalangan mereka yang dipertanggungjawabkan menjadi gabenor wilayah dan terdapat pula di kalangan mereka yang ditugaskan menjadi panglima tentera laut seperti Zheng He. Beberapa tokoh Islam yang lain turut memberi sumbangan kepada pemikiran Konfusianisme seperti Liu Zhi dan Ma Zhu di samping sumbangan kepada bidang astronomi, seni bina dan juga penghasilan peralatan ketenteraan. Yang lebih menarik lagi, sarjana-sarjana Cina yang beragama Islam mendapati bahawa dalam bidang etika, terdapat banyak kesejajaran antara pengajaran Islam dan pengajaran Konfusianisme. Disebabkan hal tersebut, beberapa sarjana Islam berbangsa Cina mempelajari Konfusianisme seperti juga terdapat sarjana-sarjana Konfusianisme menunjukkan minat yang sama terhadap Islam. Kesemuanya ini dapat menggambarkan kesan yang positif daripada interaksi antara tamadun.


    1. DIALOG ANTARA TAMADUN PERADABAN

  1. Pengertian Dialog Dan Perkara-perkara Yang Berkaitan Dengannya

Dialog ialah sebuah komunikasi dua hala antara individu (pihak) yang mempunyai pegangan atau pandangan yang berbeza rnengenai sesuatu subjek atau perkara yang tertentu, dengan tujuan ingin mencapai kebenaran yang bertambah lagi daripada pihak yang satu lagi itu. Mungkin takrifan ini kelihatan mudah dan tidak diperlukan. Anggapan ini tidak tepat kerana di dalam banyak situasi yang kononnya merupakan suatu dialog, dialog sebenarnya tidak berlaku kerana ada pihak yang menganggap dirinya sudah pun mempunyai penyeiesaian mahu pun kebenaran mutlak mengenai sesuatu perkara dan apa yang dia inginkan daripada rakan dialognya hanyalah penerimaan semata-mata.5

Hari ini pakar bidang ini menggelarkan zaman ini sebagai Zaman Dialog (The Age of Dialogue) yang menggantikan Zaman Monolog yang telah pun berlalu. Pertukaran ini berlaku lantaran berlakunya anjakan paradigma yang diakibatkan oleh perkembangan sains dan teknologi yang begitu pesat. Dalam konteks barat juga dialog telah menjadi satu keperluan baru akibat kesedaran yang muncul mengenai betapa pelbagainya masyarakat manusia di dunia ini dari segi geografi budaya dan agama. Dan seperti yang telah dijelaskan, kesedaran mengenai kepelbagaian ini berlaku oleh kerana berkembangnya teknologi ICT dan teknologi transportasi misalnya yang membuatkan dunia semakin kecil.

Dari perspektif lain pula, contohnya dan sudut pandangan kita di dunia rantau ini, dialog yang berlaku hasil atau kerana pertembungan bangsa Melayu dengan yang lain telah berlaku melalui perdagangan khasnya, untuk sekian lama. Oleh itu sepatutnya kemahiran berdialog yang baik dan berhemah telah sebati dengan masyarakat kita. Namun dalam konteks dialog dihargai secara sedar, di dalam masyarakat kita dialog antara peradaban bukanlah merupakan sesuatu yang menjadi keutamaan sehingga beberapa dekad kebelakangan ini.

Untuk dialog menjadi mekanisme perpaduan yang berkesan, di antara lain kita memerlukan pendedahan ilmiah untuk memungkinkan kita membuat penilaian yang tepat mengenai sifat dan tamadun masing-masing. Penilaian yang tepat ini bukan hanya akan membantu kita meneruskan perasaan muhibbah antara tamadun sekalipun kita rnengakui wujud perbezaan antara kita, tetapi apa yang penting dapat membantu memampankan konsep tamadun Malaysia. Melalui dialog kita boleh membincangkan perkara-perkara yang boleh atau perlu disepakati.
Idea dan prinsip asas tamadun Malaysia perlu dihayati bukan melalui stance atau pendekatan yang apologetic mahu pun defensive tetapi rnelalui pendekatan yang fitrah dan berasaskan fakta sejarah dan realiti kehidupan, keadaan dan sifat negara kita yang sebenarnya. Melalui dialog, kita boleh memanfaatkan keadaan dimana nilai-nilai tamadun-tamadun yang diwarisi rakyat Malaysia banyak mempunyai persamaan dari segi adab dan kehidupan beradab, manusia dan kemanusiaan, kepentingan alam tabii atau environment dan keperluan hidup berharmoni dengannya.

Generasi baru kini mungkin telah banyak melupai pelbagai hikmah dan peninggalan tamadun kita sehingga kadangkala kita merasakan kehidupan kita sudah kehilangan paksi dan arah tuju. Oleh kerana itu cara mengembalikan atau mencungkil semula khazanah tamadun ini perlulah dipergiatkan dan dialog adalah mekanisme utama proses tersebut.

  1. Bagaimana Membudayakan Dialog? Bentuk Dan Praktik Dialog Di Malaysia
Sehingga kini dan mulai tahun-tahun 1980an misalnya memang sudah ada pihak-pihak yang telah memulakan usaha-usaha konkrit untuk mengadakan dialog contohnya dialog antara agama di dalam negara kita. Di peringkat elit, kemajuan dialog telah tercapai kerana ia melibatkan sanjana, pakar agama dan cendekiawan. Namun di samping hasil daripada dialog-dialog ini memerlukan pelaksanaan strategi-strategi “keamanan” yang tertentu, perlu juga dialog berlaku diperingkat yang lebih awam. Untuk kita mempunyai lebih banyak lagi pilihan mungkin elok kita memahami bentuk-bentuk dan jenis-jenis dialog yang boleh dilaksanakan. 6



Dialog Kehidupan Seharian
Di dalam kehidupan seharian masyarakat dari pelbagai kaum dan agama saling memperkaya fahaman masing-masing dengan mempraktikkan nilai-nilai peradaban dan tradisi mereka melalui proses bekerjasama, bekomunikasi dan hidup bersama-sama di dalam konteks pekerjaan, sekolah, penggunaan hospital, transportasi awam dan lain-lain.

Dialog Kemasyarakatan
Di sini ‘dialog’ lebih berbentuk praktikal melalui melakukan sesuatu kerja atau tugas secara bersama-sama. Para pendialog disatukan oleh matlamat sepunya yang ingin dicapai walaupun mereka mempunyai latarbelakang yang berbeza. Sebagai contoh kera-kerja ini mungkin berbentuk projek mengutip derma mangsa bencana alam seperti malapetaka Tsunami atau projek menghapuskan kemiskinan, di mana motivasi membuat sumbangan tidak perlu penghuraian secara ‘race-specific’ atau ‘religion-specific’. Projek menyelesaikan masalah sebegini juga sememangny
a merupakan permulaan yang baik bagi dialog peradaban bermula dan memberikan aktiviti berdialog, motivasi yang mampan.

  1. Prinsip-Prinsip Dialog
Untuk memastikan dialog, khasnya yang bermotifkan perpaduan berasaskan kefahaman yang tulen, mungkin baik sekiranya beberapa “prinsip membimbing” yang harus diambilkira difahami terlebih dahulu.7

  1. Sebab utama dialog diadakan ialah untuk kedua-dua pihak mempelajari sesuatu, dan sesudah itu melalui atau mengalami perubahan ke arah kebaikan yang bertambah lagi dalam konteks situasi yang dihadapi.
  2. Dialog khasnya dialog agama atau peradaban mestilah merupakan projek yang bermanfaat kepada kedua buah pihak yang terlibat dan ia boleh berlaku secara intra dan juga inter peradaban.
  3. Setiap perserta dialog perlulah hadir dalam keadaan yang ikhlas.
  4. Setiap peserta mestilah boleh atau berupaya mendefinisikan diri dan pandangan (kepercayaan-kepercayaan dan nilai-nilai) yang dipegangnya dengan jelas.
  5. Peserta dialog mestilah cuba memahami persepsi dan pengalaman rakan dialognya.
  6. Peserta dialog mestilah bersifat kritikal secara minima terhadap interpretasinya terhadap tradisi orang lain.
  7. Peserta dialog perlulah tidak mempunyai pra-andaian yang tidak boleh diubah lagi tentang apakah perkara-perkara yang tidak akan dipersetujui.

Daripada prinsip-prinsip ini kita mungkin dapat memahami, kenapa atau bagaimana dialog dikatakan sebagai

    • Pertemuan di antara hati dan fikiran
    • Pengalaman berjalan bersama di dalam projek-projek yang dianggap panting bagi kedua pihak
    • Bukan suatu debat di mana ada yang kalah atau yang menang

Di samping kita memahami prinsip-prinsip dan ‘makna’ dialog itu, ada juga pengkaji dan pengamal dialog yang bercakap tentang etika dan etiquette berdialog. Contohnya semasa berdialog perlulah agama dan cara beramal pihak-pihak yang terlibat dihormati. Dialog bukanlah peluang atau tempat ‘agama’ diubahsuai atau dikritik. Aspek atau peradaban yang bersabit dengan articles of faith tidak boleh disentuh di dalam dialog. Di dalam agama, ini disebut sebagai dimensi yang inter-personal. Apa yang boleh disentuh mungkin ialah dimensi inter-personal atau pun dimensi sosial sesebuah agama itu (contohnya yang berkaitan dengan isu keadilan, simpati kepada mereka yang tertindas, kekeluargaan dan lain-lain).

Etika dan etiket berdialog juga menganjurkan sikap bersetuju untuk tidak bersetuju, menghormati perbezaan, menghargai ketidakbolehan pihak-pihak tertentu untuk menerima sesuatu pandangan, keikhlasan, simpati dan empati, kesabaran dan alertness (kepantasan memahami sesuatu ).

  1. Halangan Kepada Dialog
Untuk memastikan dialog berupaya dijalankan dengan baik amat panting juga halangan-halangan kepada dialog difahami. Di antara halangan-halangan ini termasuklah faktor-faktor berikut:-
  • Conversion atau fenomena bertukar agama. Ramai orang beranggapan bahawa dialog tidak wajar diadakan kerana ia boleh mengakibatkan pendialog mengubah agamanya.
  • Rasa rendah diri (inferiority complex) - perasaan rasa rendah diri dan tidak bersedia untuk berdialog membuatkan ramai orang tidak bersedia untuk berdialog.
  • Innuendo sosial — perasaan tidak senang apabila di kalangan penganut yang sama akan ada pihak-pihak yang mempersoalkan ketulenan iman seseorang itu terhadap agamanya sekiranya ia berbaik-baik dengan penganut agama atau peradaban lain.
  • Syak wasangka - sering wujud rasa curiga terhadap para penganjur dan pendialog terhadap tujuan dialog diadakan.8

Jelaslah betapa halangan-halangan ini akan dapat diatasi sekiranya etika berdialog diamalkan, iaitu dengan setiap agama dan peradaban dihormati dan ciri-ciri serta  prinsip-prinsip agama atau peradaban tersebut tidak dijadikan bahan untuk dinegosiasikan. Di sini mungkin kita boleh mengandaikan di dalam konteks masyarakat kita bahawa penghormatan terhadap konsep tamadun Malaysia juga dijadikan salah satu prinsip ini.

  1. Situasi Dialog Di Malaysia Dan Di Peringkat Global

Di peringkat global bolehlah dikatakan bahawa semangat dan praktik dialog sebenarnya telah pun banyak dibangkitkan. Pada tahun 1999 misalnya di dalam The Islamic Symposium on Dialogue, negara-negara O1C misalnya telah menerbitkan sebuah deklarasi mengenai dialog peradaban. Deklarasi ini telah diterima sebagai satu resolusi semasa perhimpunan agung Bangsa-Bangsa Bersatu 53/22 yang telah mengisytiharkan tahun 2001 sebagai Tahun Dialog Antara Peradaban Sedunia.
Di antara lain deklarasi mengenai dialog peradaban yang dikemukakan ke persada dunia telah dipandu oleh ajaran-ajaran dan nilai-nilai agama mengenai digniti manusia, keadilan, toleransi, meraikan kepelbagaian umat manusia serta peningkatan dialog ke arah kesalingfahaman berdasarkan sifat saling menghormati.
Pengistiharan yang telah diusulkan oleh negara Iran ini amatlah berkaitan dengan surah Al-Hujurat (49) : 13 misalnya:

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang Iake-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”

Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa berdialog adalah satu tanggungjawab bagi masyarakat Malaysia hari ini. Memahami hakikat ini Malaysia telah menekankan betapa penting dan perlunya diadakan Dialog Antarabangsa sebagai satu-satunya jalan mencari keamanan di dalam dunia yang dipenuhi kebencian, kecurigaan dan keganasan khususnya selepas peristiwa September 11 tahun 2OOl. Negara kita menekankan bahawa hanya melalui dialog akan dapat ditanamkan rasa penghargaan, pemahaman dan penerimaan yang sebenar akan hakikat pelbagainva peradaban, budaya dan agama di dunia ini di samping sebab-sebab sebenarnya terorisme wujud. Sekali gus dialog ini juga akan dapat menyanggah teori “clash of Civilisations” Samuel Huntington tersebut. Mesej ini telah disampaikan oleh Perdana Menteri di dalam ucapannya di Perhimpunan Agung PBB yang ke-59 pada tahun 2004 misalnya.

Sebelum itu di dalam ucapannya yang lain di Oxford Centre of Islamic Studies, Perdana Menteri telah juga menawarkan Kuala Lumpur sebagai ‘pusat’ dialog peradaban antarabangsa. Secara intra-peradaban gagasan Islam Hadhari YAB pula boleh dilihat sebagai satu usaha tulen dan konkrit ke arah penyatuan, perpaduan dan pengukuhan tamadun dalam konteks peradaban Malaysia.

Dengan itu satu aspek dialog ‘intra’-peradaban Malaysia hari ini ialah usaha mengadakan berbagai seminar dan bengkel menjelaskan Islam Hadhari misalnya.9

      1. KESIMPULAN
Demi kesinambungan negara bangsa Kumpulan-kumpulan Etnik di Malaysia perlu bersatu di atas nilai-nilai sepunya serta bersikap patriotik dan TITAS adalah satu wahana dalam memberi pengisian ke arah tersebut. Pendedahan terhadap mengenali latar belakang tamadun masing-masing boleh memupuk rasa kesalingfahaman di antara satu sama lain.

Ilmu tentang ketamadunan penting hari ini kerana ia memberikan faktor-faktor yang boleh membantu ke arah pembinaan dan kejayaannya dan juga sebaliknya apakah perkara-perkara yang boleh membawa kepada keruntuhannya tamadun? Ilmu tentang ketamadunan amat relevan  kerana manusia  dewasa ini sedang berada di persimpangan jalan. Kejayaan  fizikal yang begitu tinggi melalui sains dan teknologi malangnya telah diiringi oleh falsafah dan pandangan  semesta  atau worldview yang melihat  hanya yang  material  itu wujud, penting  dan beroperasi  di dalam kehidupan. Secara mudah dapat digambarkan bahawa gerakan Englightenment di barat dan falsafah scientism telah mempengaruhi  sistem-sistem pemikiran moden sehingga apa yang dapat dilihat hari ini adalah peminggiran nilai-nilai murni yang menjamin hubungan baik yang diperlukan antara manusia sesama manusia, manusia dan  persekitarannya (environmentnya) yang pula banyak bergantung kepada hubungan manusia dan Tuhannya.

Justeru, walaupun kelahiran sesebuah tamadun itu banyak bergantung kepada kedudukannya yang strategik dari segi perolehan sumber-sumber semulajadi,  dan lokasi geografi (kemunculan tamadun  Cina di lembah Huang-Ho dan Yang Tsi, tamadun India di Lembah Ganges dan Brahmaputra, tamadun Mesopotania di Lembah Tigris dan Euphrates, tamadun Mesir di Lembah Nil dan Tamadun Melaka di pinggiran Selat Melaka); kemunculan sesebuah tamadun banyak berkaitan dengan  rangsangan keagamaan dan kerohanian.

Di peringkat global, dialog telah menjadi  penting setelah berlakunya bebarapa peristiwa bersejarah yang di antaranya termasuklah teori  ’Clash of Civilisations’ , Samuel Huntington sekitar 1996 yang pula ada hubungan dengan berakhirnya perang dingin  di antara US dan Russia serta robohnya tembok Berlin. Ketika itu ada pihak  yang merasakan Negara Amarika mungkin menghadapi ancaman ’musuh’ yang baru dikenal pasti berasal dari tamadun seperti  tamadun Islam dan Cina (the green and yellow peril). Ini ditambah pula dengan peristiwa-peristiwa tragis yang termasuklah peristiwa september 11 yang begitu masyhur itu  dan juga  situasi global di mana pelbagai masyarakat di merata tempat telah menjadi bertambah berbilang kaum,agama atau tamadun.10

Rata-rata telah  diterima bahawa hari ini dialog yang membuahkan  persefahaman merupakan prasyarat pembinaan hubungan yang adil dan saksama antara pelbagai peradaban. Dialog memungkinkan perbezaan  dan persamaan diwujudkan.
Namun suatu perkara yang amat kritikal di dalam dialog ialah setiap pihak yang berdialog perlulah memahami  diri dan golongannya di dalam semua dimensi yang ingin didialogkan dengan sebaik-baiknya. Dengan lain-lain perkataan wujud adab (etiquette) mahupun etika berdialog.11

Di Malaysia dialog peradaban amat perlu bukan hanya sebagai wahana dasar bagi kesinambungan tamadun Malaysia keseluruhannya disamping dialog itu penting untuk  membina tapak  atau asas nilai spiritual yang kukuh bagi memastikan pembangunan dan kemajuan materail yang begitu pantas kita lalui tidak meminggirkan keperluan ’pembangunan insan’ yang merupakan tujuan akhir segala pembangunan material-fizikal tersebut.

Budaya berdialog amat perlu disuburkan dalam konteks negara kita untuk memperkukuhkan jalinan perpaduan negara dan integrasi nasioanal yang merupakan kunci  ketuanan dan kelangsungan kewujudan negara seperti yang kita fahaminya hari ini.

Walaupun secara umumnya, kita bertuah di Malaysia kerana tidak mengalami konflik perkauman  mahupun konflik keagamaan yang membimbangkan, namun bebarapa peristiwa  yang boleh dianggap  serius mengingatkan kita bahawa mendasari hubungan baik antara budaya ada juda  isu keadilah sosial dan ekonomi. Di dalam


    1.    SOALAN PERBINCANGAN
  1. Bincangkan ciri-ciri asas yang membezakan antara sesuatu masyarakat bertamadun dan tidak bertamadun
  2. Bincangkan rasional dan kepentingan pengajian ketamadunan dalam usaha membina peradaban dan tamadun Malaysia
  3. Jelaskan kepentingan dialog antara tamadun dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia


    1.   RUJUKAN / BAHAN BACAAN TAMBAHAN
Al-Attas, S.M. Naquib, (1996). Masyarakat Madani Malaysia: Satu Gagasan, Konvensyen Masyarakat Madani, September 19-21, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.
Azizan Baharuddin (ed), Dialog Peradaban Menurut Perspektif Islam, Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya, 2005 hal. 80-85.
Azizan Baharuddin, “Communalities in Religious Harmony” kertas kerja ASEM Interfaith Dialogue, Bali, 20-22 Julai 2005
Bell, Clive., (1938), Civilization: An Essay, London: Penguin Book
Bertrand Fort, (2005), One Year of Culture and Civilisations Dialogue 2003/2004, Asia-Europe  Foundation, Singapore
Collingwood, R.G, (1994 rev. ed.), The Idea of History, London: Oxford University Press
Edmund Terrence Gomez, “Tracing the Ethnic Divide:Race, Rights and Redistribution in Malaysia” in Joanna PfaffCzarnecka et al (eds.) Ethnic Futures-The State and Identitiy Po/itics in Asia, Sage Publications, London,1999, m.s. 167.
Esposito, John L., (1995). The oxford Encyclopedia of the Modern Islamic World, Vol III. Oxford University Press, Oxford.
Ibn Khaldun, Abdul Rahman, (1995), Mukadimah Ibn Khaldun (terj.), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka
Karen Armstrong, A History of God - The 4000 Year Quest o Judaism, Christianity and Islam, Ballantine Books, New York, l993.
Mohd Nor Yusoff & Nafisiah Hj . Abdul Rahman “Impak Globalisasi Dalam Sistem Kehidupan Masyarakat Melayu”, Jurnal Tasawwur Islam UITM, Jilid 6, Sept m.s. 42-62.
Muhammad Kamarul Kabilan & Zaharah Hassan (ed.), (2005), Readings on Ethnic Relations in a Multicultural Society, Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM  m.s. 3-10.
Nik Aziz Nik Pa, “Cabaran Sains Terhadap Umat Islam Masa Kini dan Masa Hadapan” dlm azizan Baharuddin (ed.) Pelajar-pelajar Melayu dan Pendidikan Sains, Akademi Pengajian, UM, 1993 m.s. 25-61
Osman Bakar, (1997), Islam and civilizational dialogue: The quest for a truly universal civilization, Kuala Lumpur: University of Malaya Press
Samuel Huntington (1996) The Clash of Civilisations and the remaking the world order New York. Simon and Schuster
Schweitzer, Albert, (1987 new ed.), The Philosophy of Civilization, New York: Prometheus Books
Swidler, Leonard, Dialogue in Malaysia and the Global Scenario, Centre for Civilisational Dialogue, UM, 2003 ms. 23
Syed Ali Tawfik Al-Attas & Ng Tieh Chuan, Abdullah Ahmad Badawi, Pelanduk Publications, Kuala Lumpur 2005
The New Encyclopedia Britannica, Vol XVI, Chicago, 1998.
Toynbee, Arnold Joseph, (1972), A Study of history, London: Oxford University Press
Zaid Ahmad, (2003), The Epistemology of Ibn Khaldun, London & New York: RoutledgeCurzon
Zaid Ahmad, “Ibn Khaldun’s approach in civilisational studies” in Massimo Campanini, (2005), Studies on Ibn Khaldun, Corso Milano, Italy: Polimetrica International Scientific Publisher
Zaid Ahmad, “Multiculturalism and religio-ethnic plurality: The Malaysian experience” in Culture and Religion: An Intedisciplinary Journal (Routledge Taylor & Francis Group) vol.8  no.2 2007

2 ulasan:

  1. TQ ATAS INFO YANG BERGUNA
    KALAU TAK KEBERATAN BOLEH TAK HABAQ PASAL FUNGSI ILMU KETAMADUNAN ...TERIMA KASIH BANYAK

    BalasPadam