BAB 2
TAMADUN ISLAM
Oleh
Prof. Madya Dr. Asiah Ali
Kamariah Yusoff
Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam
Universiti Teknologi MARA
KATA KUNCI :
Tamadun, Jihad, Sekularisme, Kebangkitan Islam, Islam Hadhari
HASIL PEMBELAJARAN
Selepas mempelajari bab ini, pelajar dapat:
1. Memahami pandangan semesta Islam
2. Menghuraikan Konsep Tamadun Islam
3. Menjelaskan konsep Jihad dan peranannya dalam kebangkitan Tamadun
Islam
4. Menganalisis kebangkitan semula Islam dan penerapannya di Malaysia
- PENGENALAN
Islam mula diperkenalkan kepada manusia pertama iaitu Adam a.s. Ia merupakan pemberitahuan dan peraturan yang diwahyukan oleh Allah S.W.T. Kemudian wahyu itu diperkuatkan dengan perlantikan rasul-rasul yang bermula dengan Nabi Adam a.s dan berakhir dengan Nabi Muhammad s.a.w. Risalah Islam yang diturunkan kepada rasul-rasul adalah sesuai dengan zaman, jumlah manusia dan kebudayaan umat ketika itu. Islam diturunkan kepada manusia untuk membimbing mereka ke jalan yang benar supaya mereka mencapai kesejahteraan hidup, dunia dan akhirat.
Penganut Islam wajib beriman kepada Allah Yang Maha Esa selaku pencipta alam semesta dan mematuhi segala suruhan dan menjauhi laranganNya. Tanpa petunjuk dari Allah S.W.T, manusia akan sesat kerana akal fikiran dan pengalaman manusia amat terbatas. Manusia tidak mempunyai kemampuan untuk memahami masalah ketuhanan, kehidupan selepas mati, perkara-perkara ghaib seperti malaikat, syurga dan neraka, pembalasan amal dan sebagainya, kerana itulah Allah S.W.T mengutus dan mengangkat ratusan ribu nabi dan rasul yang bermula dengan Nabi Adam a.s dan diakhiri dengan Nabi Muhammad s.a.w. Secara umumnya tugas rasul-rasul dan nabi-nabi dalam menyampaikan ajaran keimanan adalah sama walaupun ada perbezaan dari segi syariat dan hukum di antara mereka selaras dengan keadaan dan zaman masing-masing.
Dalam perjalanan sejarah tamadun manusia yang panjang, ramai manusia yang terus-menerus menentang serta membantah pengajaran-pengajaran Allah S.W.T yang dibawa oleh utusan Allah S.W.T, lalu dengan kasih sayang dan belas kasihan Allah S.W.T, Dia telah menurunkan kitab-kitab agar manusia dapat membaca, memahami dan melaksanakan segala arahanNya. Tujuannya untuk menegakkan kepercayaan Tauhid (kepercayaan kepada Allah Yang Maha Esa), menghindarkan mereka dari syirik kepada Allah S.W.T, terpengaruh dengan hawa nafsu yang liar dan mengajar mereka supaya mematuhi segala ajaran Allah S.W.T dan menjauhkan diri dari laranganNya.
Sejarah Islam telah menunjukkan bahawa keistimewaan yang terkandung dalam Islam telah mampu membentuk satu tamadun yang mengangkat tinggi martabat manusia, menuju kesejahteraan hidup, dunia dan akhirat. Tamadun Islam telah muncul dan menempa kegemilangan yang tiada tolok bandingnya lantaran kesyumulan dan kesepaduan Islam itu sendiri yang menjadi intipati kepada Tamadun Islam. Akhirnya Tamadun Islam telah berjaya mendepani zaman dan menjadi rujukan kepada pembinaan tamadun manusia sehinggalah ke hari ini.
2.1 PANDANGAN HIDUP ISLAM
Islam adalah Ad-Din yang diturunkan oleh Allah S.W.T melalui perantaraan al-Rasul s.a.w. Ia merujuk kepada satu cara hidup yang lengkap merangkumi semua aspek hidup manusia. Islam merangkumi aspek akidah, syariah dan akhlak. Kesemuanya telah dihuraikan malah dipraktikkan oleh Rasulullah s.a.w semasa hayat baginda dan diikuti oleh para sahabat serta umat Islam seluruhnya.
2.1.1 PENGERTIAN ISLAM
Dari segi bahasa kalimah Islam mengandungi tiga perkara utama iaitu:
- Tulin, suci dari sebarang kecacatan zahir dan batin
- Damai, aman atau sejahtera
- Taat dan menyerah
Pengertian Islam dari segi syarak ialah mentauhidkan Allah S.W.T, patuh dan tunduk kepadaNya serta beriman dengan ajaran yang dibawa oleh para rasul yang diutuskan oleh Allah S.W.T sejak dari Nabi Adam a.s hinggalah kepada Nabi Muhammad s.a.w. sebagai nabi dan rasul yang terakhir.
Justeru itu sesiapa yang mengikuti agama selain dari apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w sesudah kedatangannya tidak akan diterima oleh Allah S.W.T. Islam yang dibawa oleh Muhammad s.a.w telah disempurnakan ajarannya oleh Allah S.W.T dan dia telah meredhaiNya untuk diikuti. Firman Allah S.W.T dalam Surah Ali Imran ayat 85 yang bermaksud :
Sesiapa yang mencari din (agama) selain daripada din (agama) Islam maka dia termasuk dalam golongan mereka yang rugi di akhirat nanti"
Allah S.W.T juga berfirman dalam Surah Al-Maidah ayat 5 yang bermaksud :
Hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu iaitu Islam dan Aku kurniakan nikmat kepada kamu dan Aku reda Islam itu agama kamu.
2.1.2 KANDUNGAN ISLAM
Rasulullah s.a.w telah menjelaskan Islam adalah agama tertinggi yang tidak ada tandingannya. Ketinggiannya dapat dinilai dan dilihat dalam kandungan pengajarannya yang merangkumi seluruh aspek keperluan manusia, baik dari segi akidah, syariah dan akhlak bermatlamat untuk memberi kebahagiaan kepada manusia dari segi kejiwaan dan kebendaan dunia dan akhirat.
i. AKIDAH
Akidah merupakan dasar terpenting dalam Islam. Baik atau buruk natijah hidup seseorang di sisi Allah S.W.T adalah bergantung kepada akidah yang dianuti oleh mereka. Akidah dalam Islam merupakan kepercayaan atau keimanan kepada hakikat dan nilai-nilai mutlak, tetap dan kukuh dalam jiwa setiap Muslim.
Berdasarkan maklumat wahyu, Muslim dapat mengenali Allah S.W.T secara tepat. Allah S.W.T mempunyai kuasa mutlak dalam kehidupan makhluk. Dialah yang mencipta manusia, binatang dan tumbuh-tumbuhan. Dialah juga yang mencipta langit dan bumi serta segala isi kandungannya dan seluruh makhluk di langit dan di bumi memerlukan rahmat dan pertolonganNya untuk terus hidup.
Berasaskan akidah tauhid ini manusia dapat membebaskan dirinya dari tunduk dan patuh kepada sesuatu yang bersifat makhluk, sama ada dalam bentuk berjirim ( benda) atau roh yang telah menguasai diri manusia sepanjang sejarah. Dengan keyakinan ini manusia meletakkan tempat pergantungan, perlindungan dan pengabdian hanya kepada Allah S.W.T semata-mata.
Akidah tauhid juga menjadi tunjang kepada pembinaan Tamadun Islam. Tamadun Islam bergerak atas dasar akidah dan lunas-lunas hukum Islam. Seluruh kehidupan ummahnya mesti berlegar dalam ruang lingkup keagamaan. Seluruh aktiviti-aktiviti hidup mesti berpaksikan keimanan kepada Allah S.W.T. Asas-asas akidah Islam ialah:
- Beriman kepada Allah
- Beriman kepada Malaikat
- Beriman kepada Kitab-Kitab
- Beriman kepada Rasul-rasul
- Beriman kepada Hari Akhirat
- Beriman kepada Qadha’ dan Qadar
Akidah Islam membebaskan manusia daripada kecelaruan hidup, yang tidak mempunyai matlamat kehidupan yang jelas. Akidah Islam membimbing manusia kepada matlamat kehidupan yang benar iaitu keredhaan Allah S.W.T.
Akidah Islam akan melahirkan tamadun yang mantap di mana manusia yang menggerakkan Tamadun Islam adalah seseorang atau masyarakat yang mempunyai keperibadian yang unggul meliputi tingkah-laku, percakapan dan gerak-geri hati. Akidah Islam yang telah meresap ke dalam jiwa dan lubuk hati seseorang akan menimbulkan kesan-kesan positif di antaranya dapat kita gariskan seperti berikut:
- Akidah Islam melahirkan seorang yang yakin kepada Allah S.W.T Yang Maha Esa. Keyakinan itulah yang menggerakkan seluruh tingkah-lakunya, percakapannya dan gerak-gerinya untuk mencari keredhaan Allah S.W.T.
- Akidah Islam melahirkan insan yang mempunyai akhlak cemerlang dan terpuji dan tersisih dari sifat-sifat buruk. Akidah yang mantap akan melahirkan manusia yang bertakwa, tawadhu’, ikhlas, redha, amanah dengan segala sifat terpuji yang lain di samping menyingkirkan sifat-sifat yang buruk seperti dengki, sombong, ria’, takabur dan seumpamanya yang boleh membawa masalah sosial dalam masyarakat.
- Akidah akan melahirkan seseorang yang optimis dan yakin kepada diri sendiri untuk bekerja bagi mencapai kejayaan di dunia di samping tidak lupa mencari keredhaan Allah S.W.T supaya mendapat kebahagiaan di akhirat.
- Akidah Islam melahirkan insan dan masyarakat yang teguh pendiriannya, mempunyai prinsip dan tidak mudah terpengaruh dengan persekitaran yang mengancam nilai dan akhlak manusia terutama dengan pelbagai pengaruh hasil kemajuan teknologi maklumat di zaman ini. Ia mampu membeza dan memilih nilai-nilai yang positif dan menolak nilai-nilai yang negatif yang boleh merosakkan keperibadian insan dan masyarakat.
- Akidah Islam yang teguh mampu membawa manusia dan masyarakat maju ke hadapan dalam segala bidang. Sejarah membuktikan masyarakat Arab telah berubah daripada satu masyarakat yang tidak dikenali kepada sebuah masyarakat yang digeruni. Akidah Islam telah mengangkat darjat mereka. Mereka menguasai hampir separuh dari bumi ini. Mereka menguasai pentadbiran dan maju dalam pelbagai disiplin ilmu pengetahuan.
- Akidah Islam membentuk manusia berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan dan mencegah dari kemungkaran. Ini akan melahirkan masyarakat yang harmoni dan aman tenteram. Tiada jenayah atau pencerobohan ke atas sesiapa disebabkan mereka yakin kepada hari pembalasan.
- Akidah Islam akan melahirkan manusia yang tidak mudah putus asa atau hilang harapan. Iman di dalam hati akan memberi ketenangan yang luar biasa.
- Akidah Islam akhirnya melahirkan manusia yang sanggup berjihad ke jalan Allah S.W.T walaupun harta dan nyawa menjadi taruhan. Bilal bin Rabah sanggup mati kerana mempertahankan akidahnya begitu juga dengan keluarga Ammar bin Yasir. Demikianlah para sahabat yang lain, sanggup mengorbankan harta dan nyawa untuk mempertahan dan menyebarkan Islam ke seluruh dunia. Ini adalah kesan dari akidah Islam yang meresap di dalam jiwa dan lubuk hati mereka.
- Akidah Islam yang ada dalam hati umat Islam kini mungkin tidak begitu mantap menyebabkan mereka tidak dapat mencapai kegemilangan sebagaimana umat Islam di zaman Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat. Umat Islam pada hari ini begitu rapuh akidahnya. Lantaran itu mereka mudah terpengaruh dengan berbagai-bagai unsur negatif. Kemunduran umat Islam kini kerana mereka semakin jauh dari menghayati akidah Islam yang sebenar.
- Akidah Islam melahirkan insan soleh. Insan yang melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah S.W.T dan meninggalkan segala jenayah dan kemungkaran.
ii. SYARIAH
Terminologi syariah atau syariat yang biasa diungkap dalam Bahasa Melayu sebenarnya berasal daripada Bahasa Arab. Secara literalnya perkataan syariah membawa dua maksud yang berbeza tetapi mempunyai kefahaman yang saling berkait di antara satu sama lain. Pertamanya, ia membawa maksud sumber air dan keduanya bererti pembawaan atau jalan yang jelas dan lurus. Pengertian pertama diasaskan kepada kebiasaan ungkapan orang Arab manakala pengertian yang kedua merujuk kepada maksud ayat ke 18 dalam Surah al-Jathiyah:
Kesudahannya Kami jadikan engkau (Wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).
Dari segi istilah atau teknikalnya frasa syariah membawa maksud segala hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T untuk hambaNya melalui perantaraan para RasulNya. Dinamakan hukum-hakam ini dengan syariah kerana ia adalah lurus tanpa ada kepalsuan (simpang-siur) dari jalan yang benar. Syariah juga membawa pengertian mengenai segala perintah Allah S.W.T ke atas hambaNya yang terdiri daripada seluruh hukum-hakam yang diperturunkan melalui para RasulNya samada perintah tersebut berkaitan dengan perbuatan amali atau iktiqadi. Syariah juga membawa maksud ad-din (pergantungan) dan juga al-millah (kecenderungan).
Perkataan syariah dan pecahannya disebut di dalam al-Quran sebanyak empat kali. Perkataan-perkataan tersebut tertera dalam ayat-ayat berikut, antaranya dalam Surah Al-Syura ayat 13 dan 21, Surah al-Maidah ayat 48 dan surah al-Jaathiah ayat 18. Menurut huraian lain oleh para ulama dan sarjana Islam, perkataan syariah yang terdapat dalam al-Quran itu mempunyai dua makna iaitu pengertian yang khusus dan pengertian yang umum. Bagi pengertian yang khusus, syariah dimaksudkan dengan segala hukum yang telah diperundangkan oleh Allah S.W.T. untuk mengatur segenap aspek kehidupan manusia. Manakala bagi pengertian yang umum pula, syariah diertikan sebagai din atau millah yang juga bermaksud agama. Lantaran itu, ia juga merujuk kepada mana-mana sistem hidup sama ada yang digubal oleh manusia atau yang diwahyukan dari langit. Namun, hanya apabila ia diturunkan secara wahyu oleh Allah S.W.T kepada para RasulNya, ia disebut sebagai syariah Islam. Misalnya disebut sebagai syariat/h Nabi Ibrahim a.s, syariah Nabi Musa a.s, syariah Nabi Isa a.s dan syariah Nabi Muhammad s.a.w. Segala syariat nabi-nabi terdahulu dengan sendirinya telah tidak terpakai lagi selepas syariat Nabi Muhammad s.a.w., penutup segala nabi .
Berdasarkan huraian di atas dapat difahami bahawa syariah ialah segala perintah Allah S.W.T dalam bentuk hukum atau peraturan yang bersifat menyeluruh dan sangat luas bidang kuasanya. la merangkumi seluruh titah perintah dan ketentuan Allah S.W.T yang diwahyukan samada yang ditegaskan di dalam al-Quran ataupun yang berasaskan kepada al-Sunnah. Di dalamnya terdapat aspek-aspek i'tiqadiyyah atau batiniyyah (hal-hal yang berkaitan dengan akidah dan keimanan), 'amaliyyah (hal -hal yang berkaitan dengan ibadat, muamalat, munakahat dan jenayah iaitu hal-hal yang menyentuh mengenai perbuatan atau perlakuan lahiriah manusia dalam konteks hubungan atau interaksi mereka dengan Allah S.W.T, sesama manusia, dan alam lain) dan juga aspek akhlaqiyyah (yang membahaskan mengenai budi pekerti atau moral manusia sebagai individu dalam bermasyarakat dan bernegara).
Sebagai suatu sistem hidup yang bersumberkan wahyu Ilahi, syariah bersifat muqaddas iaitu sangat murni serta terpelihara daripada sebarang cacat cela mahupun kekurangan. Kebenarannya pula bersifat mutlak. Lantaran itu, orang-orang kafir yang cuba mencabarnya tidak pernah berjaya. Cakupannya pula bersifat komprehensif dan syumul, kuatkuasanya bersifat universal dan ia dijamin kekal terpelihara hingga ke hari akhirat. Meneliti kupasan syariah secara literal dan teknikal, menjelaskan bahawa keperluan manusia kepadanya adalah tidak dapat dinafikan sama sekali bersesuaian dengan sifatnya sebagai sumber air untuk kelangsungan kehidupan manusia dan kebenaran atau kejelasannya daripada sebarang kepalsuan dan kebatilan.
Secara umumnya, keseluruhan isi kandungan syariah Islam dapat dibahagikan kepada tiga kategori iaitu dari segi skop, perlaksanaan dan penguatkuasaan. Dari segi skopnya, syariah Islam menaungi perkara-perkara berikut:
i. Hubungan antara manusia dengan Allah S.W.T dan alam ghaib yang lain.
ii. Hubungan antara manusia sesama manusia.
iii. Hubungan antara manusia dengan makhluk-makhluk lain di muka bumi ini sama ada haiwan, benda-benda atau tumbuh-tumbuhan.
Dalam aspek perlaksanaan kepada perintah dan larangan Allah S.W.T pula, syariah
Islam terbahagi kepada tiga iaitu :
i. Kewajipan yang menjadi tanggungjawab individu serta harus dilaksanakan di peringkat individu. Contohnya ialah perintah-perintah yang khusus ditujukan kepada individu terutama sekali dalam konteks hubungan langsung seseorang hamba dengan Penciptanya iaitu ibadah-ibadah khusus seperti solat, puasa dan lain-lain.
ii. Perintah perlaksanaan yang dianjurkan supaya dilakukan secara kolektif atau berjamaah. Seluruh perintah dalam al-Quran yang ditujukan secara kolektif dikategorikan sebagai tanggungjawab bersama setiap umat Islam. Contohnya ialah seperti perintah melakukan dakwah, jihad, menegakkan amar makruf dan nahi mungkar serta tuntutan-tuntutan fardhu kifayah yang lain.
iii. Perintah yang tidak mampu atau tidak boleh dilaksana di peringkat individu mahupun kolektif tetapi ia menjadi tugas serta kewajipan pemerintah. Perintah ini adalah berkaitan dengan perlaksanaan hukuman bagi kesalahan jenayah seperti hudud, qisas dan takzir.
Jelas sekali pembahagian ini menunjukkan tanggung jawab serta peranan yang harus dimainkan oleh setiap muslim di peringkat individu, masyarakat dan negara. Sekaligus ia menggambarkan kesyumulan Islam itu sendiri.
- AKHLAK
Akhlak dalam Islam bukan suatu teori, kerana konsepnya tidak sama dengan konsep etika yang dibawa oleh Barat. Akhlak dalam Islam ialah sikap rohaniah yang memuliakan tingkah laku (perbuatan) manusia terhadap Allah S.W.T, terhadap diri sendiri dan makhluk lain, sesuai dengan suruhan dan larangan serta petunjuk al-Qur’an dan Hadis. Nilai yang baik disebut akhlak mahmudah dan nilai yang keji disebut akhlak mazmumah.
Akhlak adalah perkataan Arab, iaitu kata jamak (plural) dari perkataan al-khuluq yang bermaksud budi pekerti, tingkah laku dan tabiat . Perkataan ini pula adalah pecahan daripada perkataan al-khalaq yang bererti ciptaan . Al-Qur’an menyatakan hakikat ini dalam firmanNya dalam Surah al-Sajdah ayat 5 yang bermaksud :
Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya dan dimulakannya kejadian manusia berasal dari tanah
Manusia dicipta dengan penuh keindahan (sebaik-baik kejadian). Keindahan tersebut meliputi lahiriah (fizikal) dan batiniah (spiritual – dalaman) diri manusia. Keindahan ciptaan fizikal diistilahkan sebagai al-khalq seperti raut muka, warna kulit, tinggi rendah tubuhnya dan sebagainya. Sementara keindahan dalaman diri manusia terangkum dalam istilah al-khuluq yang menggambarkan keindahan jiwa, meliputi kehendak, inspirasi dan sebagainya. Oleh itu apabila seseorang dikatakan baik khuluq dan khalqnya, ia bermaksud orang tersebut baik sifat lahiriah dan batiniah nya.
Dari sudut istilah, Imam al-Ghazali mendefinisikan akhlak sebagai sifat yang tertanam dalam jiwa seseorang dan darinya terbentuk perbuatan dengan mudah tanpa memerlukan pertimbangan fikiran terlebih dahulu. Apabila keadaan jiwa tersebut terbit perbuatan yang baik dan terpuji menurut akal dan syariah, ia dinamakan akhlak yang baik. Sekiranya yang keluar itu perbuatan yang buruk, ia dinamakan akhlak yang buruk.
Pembentukan akhlak merupakan usaha melahirkan modal insan yang berperibadi mulia; sepadu dan seimbang antara keperluan rohani, jasmani, mental dan emosi. Melahirkan individu sedemikian tidak semudah yang digambarkan melalui tulisan, ceramah, motivasi, teori dan angka hasil daripada pelbagai kajian. Gembelingan usaha dan tenaga yang sepadu dari pelbagai pihak; individu, masyarakat dan negara amat diperlukan untuk menjana keperibadian Muslim di kalangan umat Islam.
2.1.3 CIRI-CIRI KEISTIMEWAAN ISLAM
Islam adalah al-din yang diturunkan oleh Allah S.W.T yang bersifat Maha Sempurna, sunyi dari sebarang bentuk kekurangan dan kelemahan. Justeru peraturan yang diturunkanNya mempunyai ciri-ciri keistimewaannya yang tersendiri yang membezakannya dengan peraturan dan agama ciptaan manusia. Antara ciri-ciri keistimewaannya ialah :
i. Rabbani.
Islam adalah agama yang secara sah dan rasmi diturunkan oleh Allah S.W.T. Syari’at yang ada didalamnya adalah wahyu, bukan ciptaan manusia bahkan bukan juga rekaan Nabi (Yunus:15). Ini bermakna Islam adalah agama untuk seluruh ummat manusia di mana juga mereka berada dan hingga ke akhir zaman (al-Anbiya’:107).
- Sesuai dengan fitrah dan akal manusia.
Segala hukum yang telah diturunkan oleh Allah S.W.T tidak bertentangan dengan akal manusia, bahkan akal tersebut jika betul-betul digunakan ia akan menemukan keagungan dan keesaan Allah S.W.T. Adapun yang nampak bertentangan ialah kerana akal manusia (kerana keterbatasannya) tidak dapat memahami dan mentafsirkan apa yang dikehendaki dan dimaksudkan oleh Allah S.W.T. Segala apa yang disyari’atkan itu pada hakikatnya sesuai dan menepati fitrah manusia, kerana Allah S.W.T sajalah yang amat mengetahui hakikat dan kejadian manusia (al-Rum:30,al-Baqarah:164).
- Tidak Membebankan
Allah tidak mensyari’atkan sesuatu perintah yang diluar kemampuan manusia, disamping itu juga Allah S.W.T telah memberikan keringanan (rukhsah) pada keadaan-keadaan tertentu. Di dalam Islam tidak ada sesuatu yang sulit difahami kerana kerumitannya. Asas tauhid Islam jelas kerana segalanya telah diterangkan oleh al-Qur’an, tidak ditokok-tambahkan oleh golongan tertentu, sebagaimana yang terjadi pada sebahagian agama. Seseorang itu mempunyai akses langsung kepada Allah S.W.T tanpa perlu adanya perantara, semua orang sama taraf disisi Allah S.W.T.
iv Menyeluruh
Ini bermakna bahwa Islam memberikan teori yang lengkap dan mendalam tentang alam semesta bagaimana ia diciptakan, ciri-cirinya dan bagaimana ia berjalan mengikuti ketetapan Allah S.W.T. Begitu juga tentang penciptaan manusia dan kehidupan.
v. Sederhana dan seimbang.
Posisi Islam tidak terlalu menumpukan pada ruhaniyyah sehingga melupakan material, Islam merangkumi dunia dan akhirat tidak menumpukan pada akhirat sehingga melupakan dunia dan Islam juga tidak menghinakan dunia, akan tetapi menempatkannya pada tempat yang betul. Islam juga memberikan gambaran yang tidak ekstrim dalam sesuatu hal tetapi tegas dalam hal yang berkaitan dengan prinsip, individu dan masyarakat sama pentingnya tidak boleh mengorbankan maslahah orang ramai demi kepentingan individu tetapi tidak pula maslahah orang ramai dijadikan legalisasi untuk mengorbankan kepentingan individu.
vi. Positif
Islam adalah agama yang positif. Islam memberikan kesan yang positif dalam kehidupan manusia, hubungannya dengan sesama manusia dan hubungannya dengan Allah S.W.T akan semakin erat. Ini dapat dibuktikan dengan kehidupan seorang muslim yang lebih tenang dan bahagia dibanding dengan orang tidak beragama atau yang beragama lain. Seorang muslim tahu akan kebahagiaan sebenar yang jauh dari materialistik, ia selalu merasa adanya perlindungan dan rahmat Allah S.W.T.
vii. Sesuai untuk sepanjang zaman.
Setiap hukum dalam Islam mengambil kira keadaan manusia dan memberikan keringanan bila berhalangan. Oleh kerana itu tidak boleh dikatakan tidak sesuai dengan perkembangan zaman, kerana fiqih Islam sebenarnya dapat menjawab segala masalah/perkembangan baru dalam kehidupan manusia, selama pintu ijtihad masih terbuka kepada mujtahid.
viii. Tetap dan Anjal
Syari’at yang Allah tetapkan tidak akan berubah, ini berbeza dengan undang-undang manusia yang selalu berubah dan dipinda. Tidak ada yang kurang lengkap atau yang salah dalam Syariat Allah, adapun yang berkembang dalam fiqih Islam itu adalah Ijtihad, masing-masing ulama berijtihad sesuai dengan keadaan dan perkembangan semasa, dengan syarat tidak bercanggah dengan nas yang telah ada dalam Qur’an dan Sunnah.
2.2 KONSEP TAMADUN ISLAM
Tamadun boleh ditakrifkan sebagai sejumlah pencapaian dan penerokaan dalam segala perlakuan, pemikiran dan penciptaan yang baik (termasuklah dalam bidang senibina dan lain-lain kemahiran), halus, sopan santun bagi pembentukan peribadi, akhlak, tatasusila, adab, tingkahlaku dan budi bahasa yang mulia bagi individu dan juga sesuatu kelompok manusia yang membentuk sebuah bangsa atau negara bangsa .
Tamadun mempunyai pengertian lebih luas daripada politik, ekonomi dan teknologi. Ianya merangkumi pencapaian sesuatu bangsa dalam bidang kehidupan termasuklah seni dan nilai estetika seperti senibina, seni lukis, kesusateraan dan sebagainya adalah sebahagian daripada komponen tamadun.
2.2.1 PENGERTIAN TAMADUN ISLAM
Secara umumnya pengertian tamadun dan tamadun Islam mempunyai perkaitan daripada aspek bahasa dan istilah. Terdapat pengertian tamadun menurut bahasa yang berbagai antaranya :
- Bahasa Arab
Terdapat beberapa istilah yang dirujuk dalam konteks tamadun. Antara istilah-istilah tersebut ialah madaniah, tamadun dan hadharah. Ibn Khaldun dalam karyanya Muqaddimah telah menggunakan istilah umran (digunakan dalam kajian tentang bandar-bandar atau ibu kota yang memiliki kawasan tanah yang didiami dan penempatan, keadaan tinggal menetap, berkembang, subur dan maju) dan hadharah (suatu daerah, kota, bandar, kampung atau tanah yang diusahakan) sebagai berlawanan dengan istilah badi atau badawi
- Bahasa Inggeris dan Latin
Istilah civilization berhubung kait dengan kemajuan dalam kehidupan manusia yang membentuk peradaban dan tamadun. Ini menunjukkan bahawa istilah civilization yang dimaksudkan sebagai tamadun manusiawi lebih merujuk kepada kemajuan jati diri manusia untuk membangunkan kehidupan dalam pelbagai peringkat terutamanya peringkat negara.
Selain daripada definisi di atas, terdapat di kalangan sarjana Islam yang memberikan definisi berhubung dengan tamadun Islam. Antaranya ialah Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang mengaitkan tamadun sebagai keadaan kehidupan insan bermasyarakat yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakatnya.
Ibn Khaldun pula mengatakan tamadun ialah pencapaian manusia yang sudah melebihi keperluan asasi kehidupan sehingga dapat membuka jalan ke arah pemikiran dan penghasilan daya cipta yang lebih halus dan mempunyai nilai-nilai seni.
Selain daripada definisi di atas, terdapat di kalangan sarjana Islam yang memberikan definisi berhubung dengan tamadun Islam. Antaranya ialah Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang mengaitkan tamadun sebagai keadaan kehidupan insan bermasyarakat yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakatnya.
Ibn Khaldun pula mengatakan tamadun ialah pencapaian manusia yang sudah melebihi keperluan asasi kehidupan sehingga dapat membuka jalan ke arah pemikiran dan penghasilan daya cipta yang lebih halus dan mempunyai nilai-nilai seni.
Secara umumnya Tamadun Islam adalah cetusan daripada memartabatkan Islam sebagai Al-Din iaitu satu cara hidup yang lengkap selaras dengan fitrah manusia yang memberi penekanan kepada hubunagan manusia dengan manusia, hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan Alam.
Sebagai kesimpulan masyarakat Islam dikawal dan dilindungi oleh Allah dari segala aspek pemujaan kepada manusia dan kekuasaan selain dari Allah S.W.T. Anggota masyarakat menjadi tonggak kepada kecemerlangan tamadun dan selaras dengan peranan manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi.
2.2.2 PRINSIP DAN MATLAMAT TAMADUN ISLAM
Tamadun Islam dibina berdasarkan kepada prinsip-prinsipnya yang luhur yang merangkumi matlamat yang jelas. Ia menekankan kepada pembangunan hidup manusia di dunia dan kesejahteraan hidup di akhirat. Pada umumya prinsip dan matlamat Tamadun Islam merangkumi
- Pengabdian diri kepada Allah S.W.T di dalam seluruh kegiatan hidup
- Berorganisasi atas asas akidah yang menjamin dari sifat menyeleweng dan kezaliman
- Keagungan dan keluhuran nilai kemanusiaan berbanding dengan nilai kebendaan
- Berfungsinya nilai-nilai kemanusiaan yang menyebabkan berkembangnya sifat kemanusiaan ”manusiawi” bukan sifat ”kebinatangan”
- Kesucian dan keharmonian hidup keluarga
- Melaksanakan tugas khilafah di bumi Allah dengan mengikut panduan Allah S.W.T dan sentiasa memegang janji dan amanah Allah
Matlamat Tamadun Islam juga ialah untuk memartabatkan Islam sebagai AI-Din iaitu satu cara hidup yang yang lengkap selaras dengan fitrah manusia. Manusialah pemacu dan penggerak kepada tamadun. Dalam konteks pembinaan tamadun manusia, Islam menekankan aspek hubungan manusia seperi berikut :
i. Hubungan Manusia Dengan Allah
Hubungan manusia dengan Pencipta iaitu Allah S.W.T ialah beribadat mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Allah S,W.T dan Rasulnya Nabi Muhammad s.a.w. Ia melibatkan hubungan antara hamba dengan Penciptanya. Hubungan tersebut merupakan hubungan paling tinggi dan mulia dalam kehidupan manusia, mengatasi hubungan yang wujud antara manusia sesama manusia atau makhluk lain.
ii. Hubungan Manusia Sesama Manusia
Manusia dijadikan oleh Allah S.W.T dari asal keturunan yang satu iaitu Adam a.s. Oleh yang demikian hubungan manusia dengan manusia yang lain adalah sebagai sebuah keluarga yang berasal dari jiwa yang satu. Justeru dalam perhubungan mereka seharian perlulah mengikut aturan yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T dalam menjamin agar tidak timbul kezaliman, perseteruan malah hubungan yang wujud dalam setiap lapangan kehidupan samada yang bersifat peribadi mahupun kemasyarakatan berasaskan tolong menolong dan hormat menghormati. Ini adalah kerana masyarakat muslim adalah masyarakat yang terbentuk berdasarkan konsep kesatuan ummah. Ini menjadikan masyarakat Islam sebuah masyarakat yang berbentuk sejagat, tidak bersifat perkauman, tidak bersifat kebangsaan serta tidak terbatas dalam lingkungan sempadan geografi dan politik. Bagi masyarakat muslim, hanya satu ukuran yang mendapat tempat di sisi Allah Yang Maha Mencipta iaitu ketakwaan kepadaNya, di samping berbuat baik kepada sesama manusia. Firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 13 bermaksud :
Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku (puak) supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra anatara satu sama lain. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi maha mendalam pengetahuanNya.
iii. Hubungan Manusia Dengan Alam
Allah S.W.T telah mencipta alam semesta ini untuk dinikmati oleh makhluk ciptaanNya Manusia sebagai khalifah Allah S.W.T di muka bumi ini telah dipertanggungjawabkan untuk memelihara alam ini. Allah S.W.T telah memberikan panduanNya kepada manusia berhubung dengan hubungan yang sepatutnya dengan alam. Firman Allah S.W.T dalam Surah al-A’raf ayat 56 yang bermaksud :
Janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi setelah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang berbuat kebajikan.
Menurut Islam, manusia dan alam adalah makhluk ciptaan Allah S.W.T namun manusia diberikan taraf lebih tinggi berbanding dengan makhluk lain lantaran kelebihan akal dan tanggungjawab sebagai khalifah. Tugas yang perlu dilaksanakan oleh manusia sebagai khalifah ialah merealisasikan akidah tauhid dalam kehidupannya. Asas pembangunan tamadun manusia yang hakiki bermula daripada cara hidup yang dianjurkan oleh Islam, dan hanya Islam yang mampu untuk memakmurkan dunia ini dengan sebaik-baiknya. Manusia perlu memelihara dan memulihara alam sekitar mengikut peraturan-peraturan Allah S.W.T atau sunnatullah.
2.2.3 MANIFESTASI DAN SIFAT-SIFAT TAMADUN ISLAM
Tamadun Islam sebagai sebuah tamadun yang berasaskan wahyu mempunyai manifestasinya yang bertujuan untuk melahirkan hubungan harmoni manusia dengan Allah S.W.T, hubungan sesama manusia dan alam sejagat. Ia juga memiliki sifat-sifat yang menjadikannya cukup unik dan istimewa berbanding dengan tamadun lain. Manifestasi Tamadun Islam adalah untuk melindungi dan memelihara lima perkara yang dianggap penting dalam tamadun manusia iaitu :
i. Menjaga Agama
Agama Islam sebagai anugerah dan nikmat yang dikurniakan oleh Allah adalah sistem hidup yang perlu dipertahankan oleh penganutnya. Agama Islam adalah agama Allah S.W.T dan menjadi pilihan Allah S.W.T (Ali Imran, 3:19, 85; al-Ma’idah, 5:3). Bagi orang yang telah memilih Islam, maka mereka wajib menunaikan tanggungjawab sebagai muslim dan sekiranya keluar daripada Islam maka mereka dikira murtad. Bagi menjamin supaya iman dan agama ini terpelihara maka Islam mengenakan hukuman yang berat bagi orang yang keluar daripada agama Islam ataupun golongan yang murtad.
ii. Menjaga Nyawa
Hak untuk hidup telah dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada manusia. Nyawa manusia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Sesiapa yang membunuh manusia lain tanpa sebab-sebab yang di haruskan oleh syarak mereka dianggap melakukan jenayah yang akan dikenakan hukuman berat. Islam juga melarang penganutnya dari membunuh diri sendiri.
iii. Menjaga Akal
Islam sangat mengambil berat tentang pemeliharaan akal fikiran. Pemeliharaan akal fikiran wajib ke atas setiap manusia kerana ia akan membawa kepada kesempurnaan akal dan menunjukkan kesempurnaan makhluk manusia berbanding dengan makhluk lain. Justeru Islam melarang daripada sesuatu yang boleh menggugat kewarasan akal.
iv. Menjaga Kehormatan Dan Keturunan
Allah S.W.T mencipta manusia dengan sebaik-baik kejadian dan kehormatannya perlu dijaga dan dikawal. Kehormatan diri manusia seperti maruah diri, kehormatan keturunan dikawal menerusi sistem perkahwinan. Perkara-perkara negatif seperti berzina, seks bebas, hubungan luar tabii dilarang keras oleh Islam bertujuan semata-mata untuk memelihara kehormatan dan kemuliaan keturunan manusia.
v. Menjaga Harta Benda
Islam telah menetapkan dan memberikan garis panduan mengenai hak untuk memiliki harta benda dan kewajipan untuk mempertahankannya. Sesiapa yang cuba untuk melucutkan harta seseorang tanpa kebenaran seperti mencuri, menyamun dan menipu akan dikenakan hukuman yang berat.
Secara umumnya Tamadun Islam meliputi segala pencapaian dan kemajuan dalam setiap lapangan kehidupan oleh sesebuah bangsa atau ummah sama ada pencapaian dalam daya intelektual, keilmuan, teknologi dan pembuatan, ekonomi dan kewangan, etika dan akhlak yang berpaksikan keesaan kepada Allah S.W.T. dan keredhaannya selaras dengan Firman Allah S.W.T dalam Surah Saba’ ayat 15 yang bermaksudnya:
Sesungguhnya bagi Kaum Saba’ ada tanda (kekuasaan Tuhan) di tempat kediaman mereka iaitu dua buah kebun di sebelah kanan dan di sebelah kiri. (Kepada mereka dikatakan) ‘Makanlah olehmu dari rezeki yang (dianugerahkan) Tuhanmu dan bersyukurlah kepada Nya. Negerimu adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan yang Maha Pengampun.
Tamadun Islam juga meletakkan akidah, syariah dan akhlak sebagai asas untuk membangunkan manusia, kerana manusialah yang akan membangun dan memakmurkan alam ini. Ia memiliki sifat-sifat khusus serta tersendiri. Sifat-sifat tersebut menjadikan Tamadun Islam sebagai satu tamadun yang sentiasa mampu bertahan dengan cabaran tanpa mengira sempadan masa dan geografi. Antara sifat-sifat tersendiri Tamadun Islam ialah:
i. Universal atau sejagat
Kesejagatan merupakan suatu sifat yang istimewa bagi Tamadun Islam. Kesejagatan bermaksud Tamadun Islam dapat dilihat dan dikesan di mana sahaja di muka bumi ini tanpa sempadan geografi, asalkan menjadikan Islam sebagai al-din. Di mana wujudnya din Islam, maka di situ berkembangnya Tamadun Islam.
ii. Terbuka
Faktor keterbukaan merupakan salah satu sifat Tamadun Islam yang membolehkannya mudah diterima oleh kebanyakan manusia. Keterbukaan dalam konteks ini bermaksud Tamadun Islam yang wujud tidak terbatas kepada sempadan tertentu. Tamadun Islam dapat menerima malah menggalakkan penerusan unsur-unsur yang terdapat pada tamadun-tamadun lain, selama mana tidak bertentangan dengan syariat Islam. Atas dasar keterbukaan ini, dapat dilihat pada hari ini betapa berwarna-warninya Tamadun Islam, sesuai dengan keadaan serta situasi setempat.
iii. Sesuai Sepanjang Zaman
Tamadun Islam bermula dengan penurunan wahyu kepada nabi terakhir iaitu Nabi Muhammad s.a.w. di Gua Hira’. Peristiwa turunnya wahyu tersebut telah menjadikan Tamadun Islam sebagai satu-satunya tamadun dunia yang dapat ditentukan dengan tepat tarikh kelahirannya. Bermula dari saat tersebut, Tamadun Islam mula dan akan terus wujud tanpa sempadan masa dan sesuai untuk semua manusia di sepanjang zaman.
iv. Toleransi Terhadap Tamadun Dan Budaya Lain
Salah satu elemen yang membolehkan Tamadun Islam berkembang tanpa sempadan masa dan geografi adalah sifat toleransi serta keterbukaannnya terhadap agama dan budaya lain. Tamadun Islam berkembang ke luar dari Semenanjung Tanah Arab dan dapat diterima dengan mudah oleh masyarakat tempatan. Ini kerana Islam menjamin hak-hak asasi masyarakat tempatan, sama ada beragama Islam ataupun bukan Islam. Bagi masyarakat tempatan yang menganut Islam, mereka masih boleh terus mengamalkan budaya serta adat resam mereka selagi tidak bertentangan dengan batasan syarak. Manakala bagi masyarakat bukan Islam, hak-hak kemanusiaan mereka terus terpelihara, sama ada dari sudut kebebasan beragama, berbudaya, keselamatan dan sebagainya. Melalui sifat toleransi tersebut, keharmonian serta keamanan dapat dikekalkan dalam masyarakat setempat.
v. Kesatuan Dalam Kepelbagaian
Akidah merupakan asas serta titik tolak yang mendasari Tamadun Islam. Akidah berperanan menyatukan segala bentuk pencapaian serta kemajuan yang dicapai oleh Tamadun Islam, agar segalanya dinaungkan di bawah kekuasaan Pencipta Yang Maha Berkuasa iaitu Allah S.W.T. Keimanan kepada Allah mewujudkan satu tamadun yang mempunyai nilai setara dari semua sudut, iaitu segala-galanya berpunca dan kembali kepada Allah S.W.T. Kepelbagaian penemuan, pencapaian dan perkembangan yang sentiasa berlaku dalam Tamadun Islam merupakan sebahagian daripada manifestasi keimanan umat Islam kepada Allah S.W.T.
vi. Keseimbangan Antara Rohani Dan Jasmani
Tamadun Islam sentiasa mengajar umatnya agar mewujudkan keseimbangan antara rohani dan jasmani, spiritual dan fizikal. Islam tidak melihat kejayaan serta keutuhan tamadun manusia dari sudut jasmani atau fizikal sahaja. Islam mengiktiraf kewujudan manusia dalam dua entiti utama iaitu unsur rohani dan unsur jasmani atau fizikal. Kedua-dua entiti tersebut sentiasa bersepadu, seiringan dan tidak terpisah sama sekali. Ada ketikanya, peranan jasmani lebih penting dan ada masanya peranan rohani lebih menyerlah. Namun, kedua-duanya sentiasa tetap bersepadu.
vi. Rabbani
Tamadun Islam agak berbeza dengan tamadun-tamadun lain kerana Tamadun Islam didasari oleh nilai-nilai ketuhanan dan keagamaan. Sumber, matlamat, metod dan tujuan kehidupan manusia dalam Islam telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Allah S.W.T telah menentukan sumber yang menjadi pedoman kehidupan manusia. Sumber tersebut seterusnya diaplikasikan dalam meletakkan tumpuan serta metod kehidupan. Islam membenarkan perjalanan kehidupan manusia yang mempunyai pelbagai tujuan duniawi, di samping melaksanakan satu-satunya matlamat kehidupan iaitu pengabdian diri kepada Allah S.W.T.
vii. Sempurna Dan Menyeluruh
Islam telah memberikan panduan serta pedoman yang sempurna untuk kehidupan manusia secara menyeluruh. Tidak ada suatu perkara yang tidak diberikan panduannya oleh Islam. Aspek akidah dan kepercayaan, peraturan dan kehakiman, akhlak dan hubungan antara manusia sesama manusia atau dengan alam sekeliling, dan lain-lain telah digariskan oleh Islam melalui ajarannya yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w.
viii. Idealistik Dan Realistik
Secara idealnya, Islam meletakkan kesempurnaan sebagai tahap tertinggi yang ingin dicapai oleh setiap individu. Kesempurnaan mungkin sukar untuk dicapai, namun ia dapat diusahakan melalui pengawasan berterusan oleh undang-undang serta peraturan Allah S.W.T. Dengan itu, kehidupan manusia sentiasa terpelihara dan berada di atas landasan Ilahi. Teras usaha mencapai kesempurnaan tersebut adalah kesederhanaan dan kesempurnaan dalam setiap aktiviti kehidupan manusia. Idea tersebut adalah realistik apabila kita melihat bahawa kehidupan manusia berlangsung di atas dunia yang nyata. Dunia yang nyata merupakan simbolik tentang hakikat kewujudan dan kebenaran Allah S.W.T.
2.2.4 SUMBER TAMADUN ISLAM
Tamadun Islam mempunyai sumber-sumbernya tersendiri yang memungkinkan ia berkembang dan mampu memenuhi keperluan manusia.
2.2.4.1 Al-Quran
Sumber utama Tamadun Islam ialah al-Quran. Kitab yang diturunkan oleh Allah S.W.T adalah suci mengandungi nilai mukjizat yang tinggi samada dari sudut akidah, syariah, akhlak dan moral, bahasa, persejarahan, pemikiran dan intelektual, ketamadunan, rahsia alam semesta dan sebagainya. Ia sesuai sepanjang zaman dan lengkap, sesuai dengan tahap manusia dan ketamadunan.
Kandungannya menggalakkan manusia berfikir untuk mencapai kesejahteraan hidup, memberi dorongan dan semangat mereka untuk meneroka alam di segenap bidang. Segala kegiatan dan kemajuan yang dicipta dikehendaki mengikuti lunas-lunas yang telah ditetapkan.
2.2.4.2 Al-Sunnah
Al-Quran menggariskan prinsip-prinsip asas, kemudian dihurai dan diperincikan oleh al-Sunnah. Ia merupakan sumber inspirasi umat Islam untuk membentuk, membangun dan mengembangkan tamadun mereka.
Sesuatu pembaharuan yang dibuat, boleh dikatakan tamadun, tetapi tidak boleh digolongkan sebagai Tamadun Islam kalau bertentangan dengan sumber-sumber ini. Ringkasnya, semua sudut tamadun Islam dicorakkan di atas acuan al-Quran dan al-Sunnah. Daripada al-Quran dan al-Sunnah dicerakinkan akidah, syariah dan akhlak untuk dilaksanakan dalam kehidupan manusia. Pelaksanaannya ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para ulama selepas baginda.
2.2.4.3 Ijtihad
Dalam tamadun manusia banyak perkembangan baru berlaku . Sebahagian daripada pembaharuan itu tidak jelas dari segi hukumnya, kerana tidak terdapat secara nyata dalam Al-Quran dan Al-Sunnah. Oleh itu menjadi peranan ulama atau cendikiawan Muslim untuk mengolah hukum terhadap perkara-perkara baru berdasarkan keilmuan yang mereka miliki dengan merujuk kepada sumber Al-Quran dan al-Sunnah.
Justeru itu umat Islam digalakkan untuk membuat kajian dan meneroka bidang-bidang demi kepentingan kemajuan umat Islam khususnya dan dunia amnya selama mana tidak bercanggah dengan tuntutan syariat Islam.
2.2.4.4 Tamadun Dan Budaya Lain
Dalam membina tamadun, Islam tidak menolak sumber-sumber yang datang daripada tamadun lain yang tidak bercanggah dengan nilai-nilai Islam. Hal ini dapat dilihat dengan jelas, misalnya apabila Islam datang ke dalam masyarakat Arab, masyarakat Barat ataupun masyarakat Timur, Islam menerima nilai-nilai baik masyarakat berkenaan yang tidak bertentangan dengan syariatnya.
Tamdun Islam pada dasarnya banyak dipengaruhi oleh Tamadun Arab yang menekankan kepentingan dalam perkembangan kebudayaanya. Tamadun Arab dipanggil Tamadun Islam apabila Islam berjaya menyatukan orang-orang Arab, Parsi, Turki dan suku-suku bangsa lain. Agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W telah mengubah sistem politik, ekonomi dan sosial msyarakat Tanah Arab.
Begitu juga di peringkat awal orang Islam belum mengenali tulisan dimana kebanyakan daripada ahli-ahli Akademik dan saintis yang aktif dalam tamadun ini terdiri dari orang-orang Yahudi, Kristian dan Zorastrian serta mereka yang baru memeluk Islam. Oleh itu Tamadun yang berkembang di timur Tengah berasal dari banyak tradisi.
Kesan dari interaksi antara Tamadun Islam dengan tamadun lain telah memperkayakan Tamadun Islam. Misalnya hasil interaksi dengan Tamadun Parsi dan Byzantium masyarakat Islam telah mengambil dan mengubahsuai berbagai bentuk lembaga dan organisasi kenegaraan dan ketenteraan. Dari tamadun Yunani pula diambil aspek falsafah dan ilmu, dari tamadun India pula diambil matematik dan ilmu bintang. Tamadun China pula memberi sumbangan bagaimana teknik membuat kertas. Dari tamadun Mesir Islam memperkembangkan teknologi membuat dakwat dan secara langsung gabungan antara dua teknologi ini telah membantu perkembangan keilmuan Islam. Secara umumnya dasar keterbukaan Tamadun Islam dan mudah berintegrasi dengan tamadun lain sebagai pemangkin kepada pengkayaan khazanah dalam Tamadun Islam
2.3 KELAHIRAN DAN PERKEMBANGAN TAMADUN ISLAM
Islam bermula sebagai sebuah agama dengan penurunan wahyu pertama di Mekah pada tahun 610 Masehi dan sebagai sebuah negara dan tamadun pada tahun 622 Masehi iaitu selepas berlakunya peristiwa Hijrah ke Madinah. Sesudah itu, selama 10 tahun Rasulullah S.A.W. mendidik dan membentuk para sahabatnya dengan Islam secara amalan dan penghayatan sehingga terbinanya generasi Islam pertama. Keadaan ini berterusan sehingga kewafatan baginda pada tahun 632 Masehi.
Sesudah itu, para sahabat baginda dan pengikut-pengikut para sahabat itu meneruskan perjuangan baginda sehinggalah ke penghujung zaman Khulafa’ al-Rasyidin iaitu pada tahun 660 Masehi dan telah menyebarkan Islam ke seluruh Semenanjung Arab, Mesir, Syria, Iraq dan Teluk Parsi.
Selepas itu, Tamadun Islam telah diganti oleh daulah atau dinasti Bani Umayyah yang bermula pada tahun 661 Masehi yang menyebarkan Islam ke Afghanistan, Transaxonia, Multan dan Armenia.
Apabila Daulah Umayyah dijatuhkan oleh Bani Abbasiyah pada tahun 750 Masehi dan menubuhkan Daulah Abbasiyah, era Daulah Abbasiyah dikatakan sebagai era kemuncak Tamadun Islam. Perluasan pengaruh Islam telah sampai ke seluruh Afrika Utara, Andalusia, seluruh India Utara dan Anatolia (Turki). Di zaman inilah meningkatnya perkembangan ilmu pengetahuan, seni, teknologi dan pembangunan negara serta lahirnya ilmuan-ilmuan Muslim yang terulung iaitu Ibn Sina (980-1037 M), seorang tokoh falsafah, sains dan perubatan, Ibn al-Haitham (965-1039M) tokoh fizik dan Matematik dan juga al-Ghazali (1058-1111 M) tokoh falsafah dan Tasauf (Sayyed Hussein Nasr , 1984).
Selama 736 tahun Islam telah berjaya bertapak di bumi Eropah (Sepanyol) sehinggalah pada tahun 1492 Masehi, Sultan Muhammad II telah dilucutkan dari takhtanya oleh tentera Kristian. Pada tahun 1258 Masehi, tentera-tentera Monggol di bawah kepimpinan Hulagu Khan telah menakluk Kota Baghdad. Sementara itu, Daulah Uthmaniah Turki telah diasaskan secara rasminya sekitar 1300 Masehi dan mencapai kemuncaknya apabila Sultan Muhammad II ‘al-Fatih’ yang berjaya menguasai Constantinople pada tahun 1453. Kerajaan Uthmaniah berjaya melebarkan empayar mereka ke Eropah Timur iaitu Bosnia, Serbia, Croatia, Bulgaria, Austria, Hungry dan juga Macedonia. Begitu juga perluasan daerah empayar mereka telah berkembang sehingga ke Timur Laut Mediterranean, pesisir Laut Merah, pesisir Laut Hitam dan juga seluruh wilayah Afrika Utara serta Teluk Parsi.
Di India pula pada tahun 1526, Zahiruddin Babar setelah terusir dari Asia Tengah, masuk ke India dan mengalahkan Sultan Delhi di Panipat telah menubuhkan kerajaan Mughal (Moghul) yang tegak selama 332 tahun. Zaman kemuncaknya pada kurun ke 17 telah menguasai ke seluruh benua kecil India. Kerajaan Moghul musnah apabila sultan terakhirnya Bahadur Shah Zafar digulingkan oleh kuasa British pada 1858, sekali gus juga mengakhiri 1000 tahun pemerintahan Islam di India.
Di akhir kurun ke 18, Kerajaan Uthmaniah Turki mula menjadi lemah dan sedikit demi sedikit wilayahnya di Eropah Timur dan utara Afrika terlepas dari penguasaan mereka samada kepada kuasa Eropah ataupun kepada serpihan kerajaan Islam yang lain. Kerajaan Uthmaniah yang berdiri teguh selama 637 tahun akhirnya runtuh apabila sultan terakhirnya iaitu Sultan Abdul Hamid telah digulingkan dari pemerintahannya oleh ‘Kumpulan Belia Turki’ atau ‘The Young Turks’ pimpinan Jeneral Mustaffa Kamal yang seterusnya dilantik menjadi Presiden Turki seumur hidup. Dengan ini, maka berakhirlah sistem khilafah dalam Islam sekaligus era kecemerlangan Tamadun Islam mulai malap. Sehingga negara-negara umat Islam mulai dijajah oleh Barat satu persatu dan akhirnya menjadi negara yang mundur dan tidak berwibawa.
2.4 SUMBANGAN TAMADUN ISLAM KEPADA PERADABAN DUNIA
Keagungan sains dan teknologi hasil daripada semangat penyelidikan yang dicetuskan oleh Islam. Selama lapan abad (897M-1492M) orang-orang Islam menjadi perintis dan pelopor tamadun di Andalus (Sepanyol). Didorong oleh semangat cintakan ilmu orang-orang Islam menjadi pemimpin dan guru dalam kegiatan keilmuan di institusi pendidikan di Andalus pada masa itu.
2.4.1 Faktor-Faktor Kecemerlangan
Tradisi mengkaji dengan bebas di samping menghargai fikiran manusia merupakan kejayaan di dalam kehidupan intelektual Muslim. Ini selaras dengan ayat al-Quran pertama yang diturunkan lepada nabi Muhammad s.a.w dengan seruan bacalah dan perkataan al-Qalam (pena) membuktikan bahawa Islam menganjurkan umatnya agar menuntut ilmu. Ia juga menunjukkan bahawa tingginya nilai ilmu serta kedudukannya dari perspektif Islam.
Selain itu terdapat beberapa faktor lain yang mendorong kepada kecemerlangan Tamadun Islam sehingga dapat memberi sumbangan yang besar kepada kebangkitan Tamadun Islam sehingga dapat menerajui tamadun dunia di abad-abad pertengahan.
i. Gesaan al-Quran dan al-Sunnah
Ajaran al-Quran dan al-Sunnah yang tertanam kukuh di jiwa umat Islam ketika itu menjadikan mereka orang-orang yang cintakan ilmu dan berusaha mengembangkannya kepada penduduk Andalus. Dengan kerjasama dari pemerintah telah membina sekolah dan bandar. Kanak-kanak dari keluarga miskin diberikan pendidikan secara percuma. Ini membangkitkan kesedaran yang tinggi mengenai pentingnya ilmu pengetahuan kepada masyarakat Andalus yang selama ini diabaikan dari aspek pendidikan.
Umat Islam telah mengembangkan ilmu tradisi seperti tafsir, hadis, fekah, ilmu-ilmu moden yang mencakupi matematik, astronomi, geografi dan lain-lain. Sejarah telah mencatatkan bahawa di bawah pemerintahan dan pentadbiran Islam, hampir tidak ada rakyat Andalus yang buta huruf.
ii. Galakan Pemerintah
Sepanjang pemerintahan Islam di Andalus (711 – 1492M) fenomena naungan politik para pemerintah terhadap kegiatan intelektual menjadi sebahagian daripada pencapaian Umat Islam di Eropah. Ilmu dan intelektual tidak berkembang tanpa dorongan pemerintah Islam ketika itu.
Bermula daripada 711M sehingga zaman kemuncak, iaitu 756 – 1031M setiap lapisan masyarakat diperkenalkan dengan sistem pembelajaran yang itensif dan komprehensif dalam semua bidang. Buku-buku dan guru-guru serta sarjana islam telah dibawa masuk ke Andalus dan di masa yang sama pemerintah telah menaja pelajar-pelajar untuk mendalami semua bidang ilmu yang boleh membina masyarakat. Di antara khalifah yang sangat berdedikasi dalam bidang keilmuan ialah Abdul Rahman al-Ausat. Baginda telah melibatkan diri secara langsung dalam kegiatan-kegiatan keilmuan. Baginda telah membina universiti dan menaungi ulamak dengan ganjaran yang sewajarnya dengan elaun-elaun yang tertentu.
Khalifah al-Hakam telah mengambil iniasiatif dengan mendirikan perpustakaan dan membeli buku-buku rujukan serta mengumpulnya dengan tujuan mempercepatkan lagi usaha pendemokrasian ilmu di kalangan masyarakat. Beliau turut mengundang para cendikiawan dari setiap pelusuk negara seperti Baghdad, Damsyik dan Iskandariah. Masjid dan istana turut dijadikan tempat menyebarkan ilmu. Hampir seluruh Andalus mempunyai pusat pengajian dan universiti, antaranya di Seville, Granada, Toledo, Valencia dan Cordova yang muncul sebagai pusat intelektual yang terpenting di Eropah.
iii. Kesetabilan Andalus
Kestabilan politik, ekonomi dan social di Andalus turut menjadi penyumbang kepada perkembangan ilmu pengetahuan. Keistimewaan masyarakat Andalus yang bersifat majmuk seperti Islam, Yahudi dan Kristian telah mewujudkan daya saing dan budaza ilmu yang memberangsangkan. Ia juga melahirkan ulama dan ahli fekah dari pelbagai bangsa. Fenomena kepelbagaian bangsa, budaza, tamadun dan keharmonian kaum di antara penduduk Andalus telah memberi dorongan kepada semua lapisan masyarakat untuk mendapatkan ilmu pengetahuan di camping memantapkan lagi identiti, komuniti dan intelektual.
Pemerintah Andalus juga telah membuka ruang kepada wanita untuk menimba ilmu dan terlibat dengan urusan intelektual. Sejarah telah mencatatkan tidak kurang dari 100 orang wanita Andalus telah terlibat dalam penulisan mashaf ketika itu.
Selain dari orang Islam, khalifah telah memberi pengiktiran kepada cendikiawan bukan Islam, antaranya ialah Moses bin Maimon dan Salomón ben Gabirol dari bangsa Yahudi. Kedua-dua mereka terdiri dari ahli falsafah dan banyak mencurahkan tenaga dalam aktiviti penterjemahan.
Kestabilan yang ada di Andalus telah menjadi faktor kecemerlangan kepada Tamadun Islam di Andalus yang akhirnya menjadi sumber kekuatan kepada tamadun dunia secara keseluruhannya.
iv Kerjasama Para Ulama dan Cendikiawan
Faktor yang mempercepatkan perkembangan ilmu pengetahuan di Andalus ialah kerjasama dan usaha tanpa mengenal jemu oleh para ulama dan cendikiawan. Semasa pembukaan Andalus, para cendikiawan dan ulama telah bersama-sama ke Andalus sebagai tentera. Mereka datang ke Andalus bersama ilmu dan pengetahuan yang disebarkan kepada penduduk Andalus dengan meyebarkan akidah Islam dan menyelesaikan permasalahan mengenai syariah dan fekah. Ibn Hazm (994 – 1064M) umpamanya merupakan ilmuan Muslim yang agung di Andalus. Beliau seorang ahli fikir sasterawan dan hakim, mampu menguasai pelbagai bidang ilmu. Begitu juga dengan Ibn Firnas Yahya dan Yahya al-Ghazal.
Kepesatan kegiatan intelektual ini disebabkan para ulama dan ilmuan Islam yang menghadapi cabaran ilmiah daripada pemeluk Islam yang baru. Hujjah-hujjah falsafah dan ilmu lojik mereka yang kukuh terpaksa ditanggani dengan hujjah-hujjah yang lebih mantap. Justeru itu para cendikiawan dan ilmuan Muslim perlu memperlengkapkan diri dengan ilmu dan kaedah falsafah serta perbahasan yang lebih dinamik dan zampan.
Jelasnya gandingan mantap antara ulama Islam telah menjadi faktor kepada kecemerlangan ketamadunan di Eropah.
2.4.2 Pengaliran Ilmu Islam ke Eropah
Dalam menganalisa pengaliran ilmu-ilmu Islam ke Eropah, para sejarawan sepakat mengatakan terdapat beberapa faktor pendorong seperti peranan orang-orang Mozarrab, perdagangan, hubungan diplomatik, aktiviti penterjemahan, pembukaan Pulau Sicily dan pembukaan Andalus.
i. Peranan Orang-Orang Mozarrab
Mozarrab adalah panggilan kepada masyarakat Kristian, ia diambil dari bahasa Arab, ‘Musta’ribun’ (Orang-orang yang diarabkan), iaitu orang-orang Kristian yang tertarik dan mengamalkan beberapa aspek kebudayaan Arab dan Islam. Mereka turut belajar bahasa Arab di samping bahasa Latin dan Romawi. Orang-orang Muzarrab memainkan peranan yang penting dalam penyebaran ilmu Islam ke Eropah. Dengan mempelajari bahasa Arab, mereka berpeluang membaca karya-karya dan hasil penulisan orang-orang Islam. Mereka juga membelanjakan wang yang banyak untuk mendirikan perpustakaan bagi menempatkan koleksi-koleksi bahasa Arab.
ii. Hubungan Diplomatik
Sejarah telah mencatatkan bahawa telah wujud hubungan diplomatik di antara negara-negara Eropah dan Andalus lantaran sikap mereka yang berhasrat memajukan Eropah setanding dengan Andalus, antaranya England, Perancis, Jerman dan Belanda. Mereka telah menghantar delegasi yang terdiri dari pelajar-pelajar ke Andalus untuk menuntut ilmu seperti sains, kesenian, pertukangan dan lain-lain. Mereka juga telah menghantar pembesar dan putera raja mereka untuk melanjutkan pelajaran di Andalus bagi mendalami dan mempelajari setiap aspek kemajuan yang dimiliki oleh orang-orang Islam.
Ketika itu Universiti Cordova yang diasaskan oleh Abdul Rahman sebagai universiti yang terkemuka ketika itu. Ia menampung bukan sahaja pelajar-pelajar Islam, malah pelajarnya juga terdiri dari orang-orang Kristian dan Yahudi dari seluruh dunia termasuk dari Eropah, Afrika dan Asia.
iii. Aktiviti Penterjemahan
Seiringan dengan kemasukan pelajar-pelajar dari seluruh dunia, aktiviti penterjemahan semakin giat dilakukan. Antara pusat penterjemahan yang masyhur ketika itu ialahToledo yang telah berjaya melahirkan cendikiawan yang pakar dalam pelbagai bidang.
Buku-buku yang sering diterjemahkan meliputi bidang matematik, astronomi, mantik, perubatan, kimia dan botani. Penterjemahan berlaku dari bahasa Arab ke Bahasa Latin dan sebaliknya. Dengan aktiviti penterjemahan ini, berlaku pemindahan ilmu secara aktif dan meluas.
iv. Pembukaan Sicily
Setelah berada di bawah kekuasaan Islam selama 800 tahun, Sicily berperanan secara langsung dalam pemindahan ilmu ke Eropah. Kedudukannya yang strategik, ditengah-tengah perjalanan antara Eropah dan Afrika, mendorong ia menjadi pusat intelectual yang penting ketika itu.
Antara faktor yang mempercepatkan proses pemindahan ilmu ini ialah guru-guru yang mengajar di sekolah dan masjid dikecualikan dari berkhidmat di bidang ketenteraan. Ini membolehkan mereka memberi tumpuan kepada bidang-bidang pengajaran. Peranan pemerintah yang turut mencintai ilmu dan berusaha memperkembangnya turut menpengaruhi situasi ini.
Abad ke 10 dan 11 M, Qairawan telah muncul sebagai pusat kegiatan keilmuan di Afrika Utara. Hasilnya ramai cendikiawan dan Ulama Islam telah muncul di Sicily antaranya ialah Hamzah al-Basri, seorang ahli filologi dan sasterawan dan Muhammad bin Khurasan, seorang yang mahir dalam bidang qira’at. Tokoh-tokoh lain ialah Abdul Haq bin Muhammad dan Ibnu Zaraf yang pakar dalam bidang ilmu Kalam, Asad bin al-Furut dalam bidang ilmu fekah.
2.4.3 Kegiatan-kegiatan Keilmuan dan Intelektual
Bidang intelektual telah mendapat peruntukan yang paling besar dari pemerintah Andalus. Sekolah dan universiti dibina di seluruh pelusuk negara. Situasi ini turut menjadi tumpuan masyarakat Eropah untuk menimba pelbagai disiplin ilmu yang tidak mungkin mereka perolehi di negara mereka sendiri. Istana-istana khalifah dan gabenor turut dijadikan tempat pertemuan para intelektual untuk berbincang dan mencari formula-formula baru bagi meninggikan lagi tahap pendidikan yang sedia ada.
Antara aspek yang menonjol ketika itu ialah :
i. Ekonomi
Kedatangan Islam ke Andalus mampu mengasaskan satu bentuk ekonomi baru yang dikenali sebagai ekonomi mediteranean melalui sistem perladangan, perindustrian dan perdagangan. Orang-orang Islam yang memang terkenal di bidang perniagaan dan perdagangan telah menyumbangkan kepakaran dan kemahiran mereka dalam mengembangkan lagi pengaruh Islam ke Eropah. Mereka mendirikan kedai-kedai dan gedung-gedung perniagaan yang beroperasi mengimpot barang-barang dari seluruh dunia. Hubungan perdagangan dengan Eropah melalui jalan darat manakala dengan Asia dan Afrika melalui jalan laut. Bandar-bandar palabuhan di Andalus menjadi tumpuan kapal-kapal dagang asing seperti Venice dan Iskandariah.
Di sektor pertanian orang-orang Islam turut memperkenalkan metod-metod baru seperti pembinaan empangan, sistem saliran, tali air, jambatan dan jalan-jalan raya yang lebih baik di seluruh Andalus meliputi Toledo, Cordova, Marsille dan Valencia. Tanaman buah-buahan seperti delima, limau dan industri ulat sutera dijalankan secara aktif.
ii. Perubatan
Warisan yang ditinggalkan oleh Hipócrates (360M) dan Galen (210M) dianggap otoriti awal dalam bidang perubatan. Hasil dari pengamatan dan kajian oleh ilmuan Muslim, telah diterjemah dan diterima pakai oleh sarjana Islam dengan beberapa penambahan yang lebih baik.
Ilmu-ilmu ini telah diintegrasikan dengan ilmu perubatan Nabi Muhammad s.a.w. yang telah diwarisi Sejak tahun pertama Hijrah. Antara tokoh yang penting dalam bidang ini ialah Ibnu Bajah, Ibn Tufail, Ibn Rusd dan al-Katib. Mereka ini terkenal dengan physician, manakala Ibn Hazm membahagikan ilmu perubatan kepada dua iaitu perubatan jiwa (spiritual), jenis-jenis organ, penyakit dan puncanya serta cara penyediaan ubat yang betul. Yang kedua ialah penggunaan ubatan dan surgery.
Tokoh-tokoh lain ialah al-Razi yang telah menulis lebih dari 200 buah buku. Antara bukunya yang terrenal ialah al-Hawi dan kitab al-Asrar mengenai penyakit cacar, buah pinggang, mata, hidung, telinga dan jantung. Ibn Sina melahirkan kitab yang masyhur, qanun fi al-Tibb yang membicarakan tentang dadah, patologi dan cara penggunaan ubat yang menjadi bahan rujukan utama dalam bidang perubatan kini. Ibn Rusyd telah menulis buku perubatan yang komprehensif iaitu Kulliyyat fi al-Tibb yang memberi ulasan secara terperinci mengenai anatomi, fisiologi, penyakit-penyakit, simpton dan rawatannya, ubat-ubatan serta pemeliharaan kesihatan.
iii. Astronomi
Ilmu astronomi juga mendapat tempat di Andalus. Di antara pakar dalam bidang ini ialah al-Farghani telah menulis tentang bintang-bintang. Selepas beliau, muncul pula Abu Ma’syar dan al-Battani yang telah membuat beberapa pembetulan pada karya-karya Ptolemy dan menentukan ketepatan gerhana matahari.
Al-Zarqali pula dari Toledo merupakan seorang ahli astronomi dan matematik. Beliau telah mencipta sebuah jam air yang boleh menunjukkan masa pada waktu siang dan malam serta menyusun nama-nama hari dalam setiap bulan.
Pada keseluruhannya sarja astronomi Islam telah berjaya meninggalkan kesan yang mendalam dan besar dalam bidang astronomi dan seterusnya telah memberi laluan kepada generasi kemudian untuk terus membuat kajian dan penyelidikan.
iv. Matematik
Andalus turut melahirkan sarjana terkemuka dalam bidang Matematik. Antara yang termasyhur ialah al-Karmani dari Cordova. Beliau telah memperkenalkan matematik Ikhwan al-Safa ke Andalus. Sarjana Muslim telah mengemukakan kepada dunia mengenai ilmu algebra dalam bentuknya yang asli.
Nama lain yang masyhur ialah al-Khawarizmi. Beliau memperkenalkan persoalan darab dan bahagi mengikut cara algebra. Bukunya Hisab al-Jabar wa al-Muwabala’ telah digunakan di Eropah sehingga abad ke 16M. Sumbangan al-Khawarizmi yang lain ialah angka sifar yang digunakan dengan begitu meluas sama ada oleh sarjana Islam mahupun Barat.
v. Senibina
Di Andalus, bandar dan kawasannya telah diperindah dan diperlengkapkan dengan binaan masjid, pasar, istana, tempat-tempat mandi dan lain-lain binaan yang indah. Masjid dan istana merupakan dua binaan penting dan pusat kepada semua aktiviti, maka ia dibina dengan senibina yang istimewa dan indah.
Seni hias menjadi satu elemen yang penting bukan sahaja di bandar Andalus, malah juga di bandar-bandar Islam yang lain seperti Kufah, Basrah, Kaherah dan lain-lain. Unsur-unsur alam menjadi pilihan umat Islam dalam menghias tempat-tempat tersebut. Para pemerintah biasanya memberi galakan dengan mengupah sesiapa sahaja sama ada orang Islam atau bukan Islam yang mempunyai bakat dalam seni hiasan bagi mencapai keindahan yang paling maksima. Pada masjid dan istana dibinakan menara dan pintu gerbang serta ukiran yang sangat tinggi nilai senibinanya.
2.5 TAMADUN ISLAM ERA PASCA PENJAJAHAN
Pada era kolonial Barat, banyak negara-negara Islam yang dijajah mula mengalami kemunduran dan keruntuhan akibat serangan dan kongkongan dari kuasa-kuasa besar dunia seperti Eropah, Rusia, Amerika dan sebagainya. Kejatuhan dan kelemahan masyarakat Islam adalah disebabkan oleh serangan yang kuat dari pihak kolonial di samping ketiadaan semangat jihad di dalam jiwa masyarakat Islam serta pemimpin-pemimpinnya.
Dr. Yusuf al-Qardhawi, sarjana Islam kontemporari telah merumuskan empat medium utama ke arah penguasaan Barat ke atas umat Islam melalui :
i. Sistem Pengajaran dan Pendidikan
Dalam proses penjajahan, pihak kolonial Barat menggunakan sistem pendidikan dengan membina sekolah dan institusi pendidikan yang mengguna pakai sistem pendidikan Barat yang menekankan kepada aspek kebudayaan Barat dengan matlamat menjauhkan umat Islam yang dijajah, dari ajaran Islam yang sebenar. Atas dasar pemodenan, mereka telah menghantar pelajar dari beberapa negara umat Islam seperti Turki dan Mesir, ke Barat untuk menimba ilmu pengetahuan dan mereka balik ke negara asal mereka dengan celupan Barat. Golongan ini berfahaman sekular yang memisahkan agama dari kehidupan sebagai contoh di Turki seorang tokoh Nasionalis, Ziya Gokalp (1875 -1924) yang kemudiannya dikenali sebagai Bapa Nasionalisme Turki. Beliau merupakan seorang pemuja Tamadun Barat. Berlandaskan pemikiran sekular, beliau mengganggap agama hanya merupakan satu kepercayaan atau ritual sahaja. Dengan itu, ilmu pengetahuan seperti psaikologi, sosiologi, biologi, fizik, matematik tidak ada hubungan sama sekali dengan agama.
Seorang lagi tokoh nasionalis Turki ialah Mustafa Kamal Atatuk (1881 – 1934), beliau digelar sebagai Bapa Sekular Turki. Beliau melaksanakan penghapusan institusi keagamaan dan apa sahaja yang berkaitan dengan agama Islam disingkirkan. Selepas memegang tampuk pemerintahan pada tahun 1923, beliau memusnahkan ajaran Islam sebagai satu cara hidup dengan menggantikan sistem pemerintahan berasaskan sekularisme dan nasionalisme. Mustafa Kamal Atatuk dalam proses pembaratan, merupakan pengikut setia yang berkiblatkan Barat dalam semua aspek dan memisahkan Turki dari tradisi Islam. Kemuncak sekularismenya, masjid-masjid telah ditutup, pakaian Barat diwajibkan malah memakai tarbus atau songkok merupakan satu kesalahan dan hijab bagi wanita Islam diharamkan. Pada tahun 1926 diluluskan Turkis Civil Code untuk menggantikan undang-undang syariah. Sehingga kini, Turki merupakan sebuah negara Islam yang berfahaman sekular dan mempertahankan nilai-nilai Barat dalam semua aspek kehidupan.
Di Mesir, sekularisme bermula dengan kejatuhan negara itu ke tangan Napoleon Bonaparte (kolonial Perancis) pada tahun 1798. Proses pembaratan Mesir secara meluas bermula pada zaman pemerintahan Muhammad Ali (1795 – 1845) apabila dikirim pelajar-pelajar Mesir ke England, Perancis, Itali dan Austria. Selepas itu berkembanglah pemikiran Tamadun Barat di Mesir melalui kemunculan Al-Tahtawi (1801 – 1873), diikuti oleh Qasim Amin, Ali Abd al-Raziq, Taha Hussain dan lain-lain. Menurut Dr. Ali Syari’ati. Orang-orang Asia, Afrika, diajar bagaimana cara berfikir, berpakaian, berkeinginan malah bagaimana harus bersedih dan bergembira mengikut cara Barat, selain dari membina hubungan sosial dan berbelanja. Ini bererti satu kebudayaan baru telah diperkenalkan secara tidak langsung melalui penduduk tempatan yang mendapat pendidikan dari Barat. Mereka diterapkan dengan pemikiran bahawa apa jua yang datang dari Barat adalah lambang kemodenan dan kemajuan. Di India, Syed Ahmad Khan, melalui sokongan kolonial British, telah menubuhkan Muhammadan Anglo-Oriental College (Aligarh) menurut model University Cambridge yang bercorak pendidikan sekular dan liberal. Menurut Abul Hasan Ali al-Nadwi, sistem ini mempunyai dua kelemahan iaitu bersifat sekular dan dualisme. Ia mendapat tentangan dari ulamak kerana tunduk kepada nilai Tamadun Barat dan akan mempengaruhi akidah dan akhlak masyarakat Islam.
ii. Akhbar dan Media Massa
Akhbar dan media massa memainkan peranan yang besar dalam penerapan ideologi dan gaya hidup Barat kepada masyarakat Islam di negara yang dijajah. Ia merupakan saluran utama kepada massa yang menyebabkan perubahan cara berfikir, aspek nilai dan cara hidup keseluruhannya. Ia dilakukan dalam bentuk berita, rencana, kesusasteraan yang kreatif serta gambar-gambar yang mempersonakan. H. A. R. Gibb dalam bukunya yang berjudul Modern Trends In Islam menyatakan bahawa institusi sekolah dan kolej sahaja belum cukup untuk menyebarkan fahaman Barat, malah ia juga perlu disampaikan kepada masyarakat umum melalui media massa terutama akhbar kerana menurut beliau akhbar adalah media yang paling berkesan dan berpengaruh di dunia Islam ketika itu.
iii. Serangan sosial
Selain dari sistem pendidikan dan media massa, diperkukuhkan pula dengan medium serangan sosial terutama dalam aspek kebudayaan. Ia berlaku secara langsung dan tidak langsung yang menyerap dalam masyarakat Islam dan mengakibatkan rasa kekaguman yang melampau kepada cara hidup Barat dengan mengenepikan sistem hidup Islam yang dipandang kolot dan ketinggalan zaman.
Menurut Malik Ben Nabi, aliran pengkaguman Barat yang disebut modernist ini merupakan tiruan tanpa keaslian. Di India, muncul Syed Ahmad Khan (1817 – 1898) yang berusaha untuk mentafsirkan al-Qur’an berasaskan semangat modenisme Barat iaitu berasaskan nilai-nilai rasionalisme, materialisme, saintisme, naturalisme, relativisme, evolusionisme dan sebagainya. Antara pendapat serta tindakan beliau ialah menolak mukjizat dalam Islam, menolak hukum Islam yang dianggap tidak lagi sesuai dengan zaman moden seperti hukum hudud. Beliau beranggapan hukuman hudud ini hanya sesuai dengan masyarakat primitif dan tidak sesuai di zaman moden.
Selain itu, budaya keruntuhan sosial telah mula merosakkan diri umat Islam, terutamanya para remaja yang sentiasa inginkan kepada keseronokan dan hiburan. Semakin ramai umat Islam yang kabur terhadap nilai adat, budaya dan pegangan agama masing-masing yang sebenarnya. Kekeliruan ini kita lihat di mana-mana samada terhadap anak-anak remaja bahkan juga golongan dewasa Islam. Di Malaysia , sindrom bergaya dengan pakaian ala Barat yang mendedahkan aurat di sana-sini semakin popular. Remaja wanita Islam bertudung kepala sebaliknya memakai baju singkat dan ketat sehingga mendedahkan bahagian perut dan belakang. Begitu juga kita lihat artis-artis pujaan, bagaimana mereka tampil sebagai seorang yang bersyukur, mengucapkan salam sedang dari aspek yang lain menerima imej Barat. Amat mengelirukan sekali percampuran antara nilai ini terutamanya bagi generasi muda yang masih mentah dalam membuat penilaian. Inilah sebahagian dari bahana budaya global yang dicipta oleh Barat menerusi dominasi dan globalisasi.
Budaya global sering dikaitkan dengan unsur negatif terutamanya terhadap masyarakat Islam kerana ia jelas didominasi oleh Barat yang mempunyai pertentangan nilai dengan Islam dalam banyak aspek. Ia dibimbangi menghakis jatidiri umat Islam itu sendiri sedangkan jatidiri umat Islam adalah berkait rapat dengan akidah atau ajaran Islam itu sendiri. Apakah Islam akan turut lenyap dengan terhakisnya pegangan Islam dari hati umatnya. Jawapannya ialah benar, bahkan ia sememangnya agenda yang sangat terancang bagi meruntuhkan sosial dan akhlak serta menjauhkan umat Islam dari nilai agama dan budayanya.
Rentetan daripada pengaruh Amerikanisasi serta Zionisasi dalam sosial, hasilnya berleluasa budaya hedonistik di kalangan generasi Muslim. Budaya hedonistik ialah budaya seronok di mana mereka berpegang kepada falsafah hidup untuk menikmati keseronokan dan mereka akan memburu keseronokan hidup dengan apa jua cara. Budaya ini berkait rapat dengan hiburan, pornografi, dadah, seks bebas dan lain-lain. Remaja Muslim terkinja-kinja tanpa haluan di pesta-pesta hiburan atau konsert-konsert dari awal malam sampai pagi tanpa mempedulikan pelajaran, kewajipan agama dan batas-batas pergaulan Islam. Remaja yang dianggap sebagai harapan masa depan Islam adalah sasaran utama dengan menyediakan pelbagai jenis tarikan hiburan, keseronokan, dan kelalaian menerusi media-massa, media elektronik, internet dan sebagainya. Budaya Ilmu yang bertunjangkan akal fikiran, pengkajian, pembelajaran dan penyelidikan semakin jauh dan dingin dalam diri remaja Muslim. Walhal pemupukan budaya ilmu adalah faktor penting kecemerlangan umat Islam di masa lampau. Budaya ilmu yang sepatutnya dititik beratkan dianggap berat dan membebankan.
Peningkatan gejala sosial juga berpunca dari hambatan pengaruh Barat dalam bidang ekonomi, politik dan sosial itu sendiri. Tekanan ekonomi dan penguasaan syarikat-syarikat gergasi multi nasional semakin meningkatkan kadar inflasi dan kemiskinan di negara-negara membangun umat Islam. Kebanjiran pendatang Indonesia, Bangladesh dan Pakistan ke Malaysia adalah contoh yang representatif dalam isu ini. Kebanjiran itu pula akan membentuk satu masalah baru bagi negara yang dikunjungi. Antara kesan sampingannya ialah kegiatan perzinaan, pelacuran, jenayah pembunuhan, rompak, rogol, ragut, samun dan berbagai lagi.
iv. Pengaruh Sekularisme
Menurut sejarah, sekularisme bermula pada zaman Renaisans ketika memuncaknya pergerakan sosial humanisme yang menonjolkan kehebatan manusia .Pergerakan sosial ini timbul ekoran bantahan dan tentangan terhadap fahaman keagamaan pada era zaman pertengahan. Dengan meresapnya unsur sekularisme dalam peradaban Barat, maka wujudlah pemisahan antara alam tabii dengan alam ghaib. Dalam hal ini, sekularisme dikaitkan dengan pemisahan antara agama dengan kehidupan secara keseluruhannya.
Melalui proses penjajahan, sekularisme diterap masuk ke dalam negara umat Islam dalam semua aspek hidup terutama sistem pentadbiran dan ianya berterusan sehingga ke hari ini walaupun negara umat Islam telahpun mencapai kemerdekaan. Fahaman sekularisme pula telah lama disebar dan dibajai oleh pihak Barat dan umat Islam yang mirip kepada Barat . Fahaman ini disenangi oleh nafsu amarah manusia sedang melanda umat Islam dan menjadi wabak yang menghakis komitmen kepada nilai-nilai agama. Sekiranya fahaman ini tidak dibendung dan tidak ditangani segera dengan berkesan maka akan terhakis dan runtuhlah jatidiri generasi tua dan muda umat Islam kini. Pegangan mereka kepada agama akan luntur bahkan semakin menipis dan larut. Pastinya umat Islam akan terus berpecah-belah menurut fahaman yang berbagai ragam sehingga mereka menjadi alat untuk meruntuhkan agama mereka sendiri.
Hasil dari penjajahan kolonial Barat, umat Islam mula menyedari kepentingan untuk mereka kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Era ini disebut sebagai era kebangkitan semula Islam dari seluruh aspek meliputi aspek politik, intelektual, pendidikan, ekonomi, media dan sosial. Dalam dunia Islam, bibit-bibit yang telah disemai oleh mujaddid dakwah dan juru islah klasik telah memberi sumber inspirasi kepada generasi Islam di abad ke 20. Natijahnya muncullah gerakan tajdid di Asia Barat, Benua India dan tersebar ke Afrika dan Asia Tenggara, terutamanya di Tanah Melayu. Fenomena ini merupakan kebangkitan semula Islam untuk memperbaharui kefahaman dan amalan Islam secara menyeluruh.
Kebangkitan islam telah bertapak dan sedang berkembang di negara Islam termasuklah Mesir, Sudan, Turki, Pakistan, Indonesia dan tidak terkecuali, Malaysia. Kejayaan Ayatullah Khomeini merubah wajah Iran kepada kepimpinan Islam meletakkan ia sebagai sebuah kuasa Islam yang dihormati. Iran sebelum ini dianggap sebagai sekutu Barat yang paling berpengaruh di Asia Barat ketika di bawah pemerintahan Shah Riza Pahlawi, malahan mempunyai hubungan dan perjanjian rahsia dengan rejim Yahudi di Israel. Kebangkitan Islam di Iran telah memberi kesan kepada gerakan Islam di seluruh dunia selepas tahun 80an.
Kebangkitan Islam sehingga kini sudah menghampiri satu kurun lamanya. Ia masih jauh untuk sampai kepada matlamatnya, iaitu menerajui kepimpinan tamadun manusia walaupun ia mempunyai segala potensi. Menurut Sayyid Qutb, ia hanya akan berjaya bila ia digerakkan oleh kumpulan yang penuh dengan keimanan dan terus istiqamah. Dalam konteks ini, pentingnya arus kebangkitan Islam pada hari ini berusaha untuk menemukan metodologi yang sesuai dan menggabungkan seluruh potensi yang ada untuk mengajak umat Islam untuk terus bangkit memperkasakan diri dan masyarakat dari segenap aspek. Di samping itu arus kebangkitan ini perlulah dijalankan melalui institusi yang mengajak kepimpinan umat Islam supaya kembali kepada ajaran Islam dan memperkukuhkan diri untuk menghadapi cabaran semasa. Ia juga harus mengambil kira perubahan kualiti dan kuantiti dalam kehidupan umat islam secara menyeluruh, mendalam, teliti, kepakaran dan analisis.
2.6 JIHAD DALAM ISLAM
Kalimah jihad secara umumnya bermaksud setiap usaha yang memerlukan curahan tenaga dan kekuatan demi untuk mencapai matlamat dan cita-cita mulia dan ideal untuk menegakkan kebenaran dan kebaikan demi untuk memartabatkan Islam di bumi Allah serta mengharapkan ganjaran dan keampunannya.
2.6.1 Jihad Nafsu
Manusia dicipta dari dua unsur iaitu jasmani dan rohani. Jin, iblis dan syaitan adalah musuh asli dan abadi manusia yang pernah berlaku dalam sejarah kehidupan manusia sebagaimana Adam a.s dan Hawa pernah termakan pujukan syaitan kerana memakan buah dari pokok yang dilarang oleh Allah S.W.T sehingga mereka berdua dikeluarkan dari syurga .
Al-Quran menerangkan secara jelas dan terperinci segala tektik dan teknik tipu daya syaitan untuk menyesatkan manusia. Perang kemusnahan iblis dan syaitan terhadap manusia bermatlamatkan merosakkan merosakkan ketulinan akidah dan tauhid terhadap Allah, keikhlasan ibadah dan ubudiah dan kejernihan dan kesucian akhlak muslim.
Oleh itu jihad nafsu ialah segala usaha dan kesungguhan untuk membersihkan jiwa dan menyucikan hati dan sifat-sifatnya yang rendah dan keji untuk diisi dengan sifat-sifat yang mulia dan terpuji. Demikian juga jihad dan perjuangan untuk membersihkan dan menyucikan jiwa dari kegelapan dan kekotoran syirik untuk diisi dengan kejernihan dan sinar tauhid. Begitu juga segala usaha rohani untuk membina keikhlasan hati nurani dalam beribadah kepada Allah.
Satu unsur yang sangat penting dalam syariat Islam ialah penghayatan ruh jihad dikalangan ummahnya. Jihad satu konsep yang umum merangkumi segala aspek perjuangan menegakkan Agama Islam yang suci. Ia bermula dari usaha menguasai diri sendiri sebagai muslim yang setia, membina keluarga Islam yang utuh sebagai asas kepada pembinaan masyarakat Islam yang kukuh, melaksanakan ajaran dan segala peraturan Islam dalam kehidupan. Jihad juga menekankan aspek mempertahan kan kesucian Islam sama ada peringkat diri, keluarga masyarakat dan negara dari ancaman musuh dari dalam dan luar.
Unsur yang penting dalam jihad ialah kesungguhan dan dedikasi dalam melaksanakannya. Ia dilambangkan dengan pengorbanan dua faktor kehidupan ia itu harta dan nyawa. Umat Islam misalnya perlu bangkit daripada kemelut kejahilan dan kemiskinan demi untuk memartabatkan semula imeg ummahnya di mata dunia.
Segala keadaan dan situasi yang ada disekeliling umat Islam sekarang menunjukkan bahawa perjuangan atau jihad yang perlu dihadapi oleh umat Islam sejagat lebih menyeluruh. Ia bermula daripada jihad agung (al-Jihad al-Akbar), iaitu menguasai diri sendiri supaya berdisiplin penuh mengikut kaedah dan tatacara Islam sampailah kepada membina semula kecemerlangan dan kegemilangan tamadun Islam. Sebagai sebuah agama dan juga tamadun sekali gus Islam perlu menguasai semua bidang kehidupan seperti pendidikan dan keilmuan, ekonomi dan kewangan, politik dan pemerintahan, sains dan teknologi, persenjataan dan ketenteraan dan banyak lagi bidang-bidang kehidupan yang perlu diolah semula demi untuk mengembalikan keunggulan tamadun Islam.
2.6.2 Jihad Ilmu dan pendidikan
Umat Islam harus melihat kepentingan ilmu dan teknologi sebagai amat releven untuk mengangkat martabatnya. Globalisasi yang mendatangi kita kini amat mencabar dan kesannya amat hebat. Umat Islam jangan bersikap simplistik terhadap perubahan dan kemajuan. Isu utamanya bagaimana kita menangani dan mengurus perubahan. Ia memerlukan strategi yang tinggi kebijaksanaan yang hebat supaya perubahan atas nama globalisasi tidak menjadikan kita penjajahan bentuk baru. Umat Islam perlu mengarahkan maksud jihad kepada pembangunan ilmu dan pendidikan, hidupkan budaya penyelidikan dan penerokaan kepada bidang-bidang baru dalam dunia intelektual kini. Dalam masa yang sama kita mampu menampilkan keunggulan ilmu-ilmu dan proses pendidikan yang Islami supaya akhirnya umat Islam mampu bangun dengan acuannya sendiri.
Al Quran sering memaparkan tentang tradisi membaca atau ‘iqra’ bahkan ayat pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W menjelaskan konsep ini. Begitu juga konsep’ulul albab’ yang memberikan fokus kepentingan ilmu dan peranan para ilmuan dalam Membangunkan tamadun. Al Quran memberikan keutamaan berfikir berasaskan kekuatan akal dan menginsafi berasaskan peristiwa-peristiwa dan musibah yang terjadi dan keutamaan merenung, mengkaji dan menyelidik mengenai hakikat kejadian alam dan hubungan dengan manusia berasaskan prinsip Al-Quran.
2.6.3 Jihad Mempertahankan Kesucian Islam
Bagaimanana pula pentafsiran Islam mengenai jihad mempertahan kan Islam dan Ummahnya dari pencerobohan musuh-musuh Islam sebagaimana yang berlaku kepada umat Islam di Palestin yang ditindas oleh rejim Yahudi. Isu Palestin adalah isu pencerobohan zionis terhadap kesucian Islam bumi Palestin dan masjid al Aqsa yang di muliakan oleh Allah. Rakyat Palestin telah mencuba berbagai cara dalam usaha untuk membebaskan bumi Palestin dan untuk mendapatkan semula hak mereka yang telah dirampas oleh tentera zionis Yahudi. Di antaranya melalui perjanjian damai, persidangan, perundingan dengan mengikut pelan damai yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Begitu juga Amerika Syarikat yang menjadi sekutu Israel telah menabur janji untuk memberikan kekuasaan dan sebuah negara Palestin yang merdeka juga melalui jalan buntu.
Rakyat Palestin yang telah muak dengan janji-janji kosong ini telah bangkit memilih jalan lain untuk merungkai permasalahan yang menimpa mereka dengan bangkit menentang, berjuang menerusi jihad memerangi tentera Israel yang telah mencabuli hak-hak mereka, membunuh, merampas tanah orang Islam menyeksa dan membunuh kanak-kanak, memerangi kaum lelaki, menganyayai wanita melailui ugutan dan berbagai-bagai penderaan yang dilakukan oleh tentera zionis tersebut.
Dalam situasi begini Jihad dalam artikata memerangi musuh Islam adalah amat wajar dan tidak boleh dipinggirkan dengan begitu sahaja terutama dalam konsep membina kekuatan persenjataan dan ketenteraan yang maju dan canggih.
2.7 KEBANGKITAN SEMULA ISLAM DAN PENERAPANNYA DI MALAYSIA
Gerakan kebangkitan semula Islam bertujuan mengatasi kelemahan dalaman masyarakat Islam yang didominasi oleh kuasa penjajah Barat sekular. Ia bermula di akhir abad ke-18 dan menjadi semakin hebat di akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20. Pada tahun 70-an dan 80-an wujud dua fenomena utama iaitu gerakan dakwah sama ada kumpulan NGO mahupun badan-badan kerajaan juga program penerapan nilai Islam oleh kerajaan dalam pentadbiran, perbankan, pendidikan, perundangan dan kepenggunaan.
2.7.1 Penerapan Nilai-Nilai Islam Dalam Pentadbiran
Agama Islam bukan sahaja meliputi amal ibadah yang khusus. Ia merangkumi keseluruhan aspek kehidupan manusia. Pembangunan yang dijalankan oleh kerajaan Malaysia bertujuan untuk membaiki taraf hidup rakyat keseluruhannya. Ini adalah usaha yang bertujuan untuk kebaikan selaras dengan kehendak Islam.
Penerapan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran di Malaysia ialah segala usaha untuk mempertingkatkan daya produktiviti negara melalui amalan nilai-nilai amanah, rajin, bersih, tekun serta usaha untuk menegakkan masyarakat di jalankan dengan lancar, teratur dan efisyen sesuai dengan kehendak Islam. Pembentukan budaya kerja yang berasaskan nilai-nilai tersebut adalah tidak bercanggah dengan budaya bukan Islam kerana ia adalah nilai-nilai universal yang boleh diterima oleh manusia sejagat.
Penerapan nilai-nilai positif yang membina sangat penting bagi sesebuah masyarakat yang sedang pesat membangun seperti Malaysia. Rancangan ini seiring dengan usaha-usaha pembangunan fizikal yang sedang berkembang. Ia diasaskan kepada empat prinsip iaitu kesejagatan, tidak menyulitkan, memelihara kemaslahatan umum dan melaksanakan keadilan.
Rasional dasar penerapan nilai-nilai Islam adalah seperti berikut ;
i. Pembangunan negara sebelum ini lebih mementingkan kepada aspek kebendaan. Dengan dasar yang dilaksanakan ini, pembangunan bersepadu yang menggabungkan aspek kerohanian dan kebendaan dijalankan secara seimbang.
ii. Islam sebagai agama rasmi negara mengandungi prinsip-prinsip dan nilai-nilai murni untuk faedah dan keselamatan manusia sejagat. Nilai-nilai ini dapat membenteras berbagai jenayah seperti rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah dan lain-lain yang berleluasa dewasa ini.
iii. Kemajuan dan pembangunan sesebuah masyarakat memerlukan bimbingan. Nilai-nilai Islam dapat memberikan bimbingan tersebut dalam membentuk masyarakat supaya tidak dilanda arus pemikiran yang dapat merosakkan maruah sesebuah negara.
Kerajaan Malaysia telah memilih pentadbiran sebagai bidang yang khusus dalam menerapkan nilai-nilai Islam pada masa ini. Pentadbiran dipilih sebagai pilihan utama berdasarkan kepada perhatian yang diberikan oleh Islam membuktikan betapa pentingnya pentadbiran kerana ia menjadi jambatan bagi melaksanakan usaha-usaha perkembangan Islam dan penghayatannya. Sekiranya pentadbiran pincang, sudah tentu sesuatu rancangan akan gagal dan terbengkalai.
2.7.2 Aplikasi Prinsip Islam Dalam Aspek Ekonomi
Sebagai sebuah negara Islam, Malaysia telah mengambil langkah yang wajar untuk memastikan sistem kewangan Islam berfungsi selaras dengan prinsip-prinsip syariah yang telah digariskan oleh al-Quran dan al-Sunnah dari segi matlamat dan operasinya. Tujuan utama ialah untuk memenuhi keperluan umat Islam terhadap satu sistem yang benar-benar menepati lunas syariah sebagai satu sistem kewangan yang komprehensif serta mampu bersaing dengan sistem konvensional yang telah wujud sekian lama.
Sejarah penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad telah bermula semenjak tahun1970an lagi. Usul penubuhan bank Islam di negara-negara Islam telah dibincang di peringkat antarabangsa apabila seruan ini dikemukakan oleh perwakilan negara Mesir dan Pakistan dalam Mesyuarat Kedua Menteri-Menteri Luar Negara Islam dalam tahun 1971. Berikutan daripada usul tersebut, kajian demi kajian telah dibuat untuk merealisasikan penubuhan bank Islam ini. Kajian-kajian ini kemudiannya telah dikemukakan dalam Mesyuarat Pertama Menteri-Menteri Kewangan Negara-Negara Islam pada Disember 1973.
Bank Islam telah diperbadankan sebagai sebuah syarikat berhad di bawah Akta Syarikat 1965 pada 1 Mac 1983 dengan nama Bank Islam Malaysia Berhad, selepas kerajaan mempersetujui penubuhannya sebagai menyambut seruan umat Islam negara ini. Bank Islam telah memulakan perniagaannya 4 bulan kemudian iaitu pada 1 Julai 1983 sebagai bank Islam pertama di Asia Tenggara dengan modal permulaan RM80 juta. Penubuhan Bank Islam adalah untuk meyakinkan kepada orang ramai bahawa sistem kewangan Islam ini boleh berdaya saing dan memberi manfaat bukan sahaja kepada orang Islam, bahkan juga kepada orang-orang bukan Islam.
Bank Islam juga telah memperluaskan skop operasinya dengan memperkenalkan produk-produk seperti Pakej Pembiayaan Peribadi, Akaun Simpanan Wadiah, Akaun Simpanan Ijraa’ dan Skim Ar-Rahnu. Mulai Jun 1997.
Bertepatan dengan Konsep Islam sebagai al-Din, agama untuk dunia dan akhirat, setiap ibadah yang difardukan oleh Allah S.W.T memberi manfaat dunia dan akhirat. Atas keyakinan wajib menunaikan haji bagi mereka yang mampu, umat Islam terdorong untuk menyimpan wang bagi membolehkan mereka melaksanakan rukun Islam yang kelima tersebut. Bagi mengelakkan unsur riba yang haram di sisi Islam, berbagai kaedah tradisional menyimpan wang diamalkan. Ada juga yang menjual ternakan dan harta benda warisan bagi mencukupkan perbelanjaan ke Tanah Suci, yang mana akhirnya mengakibatkan tekanan ekonomi ke atas diri sendiri dan keluarga, semasa dan sekembalinya mereka dari menunaikan fardhu haji. Amalan ini juga secara tidak langsung turut merosakkan struktur ekonomi luar bandar serta mengancam pertumbuhan ekonomi negara.
Untuk memberi kemudahan kepada bakal haji dalam merealisasikan hasrat murni mereka, pada tahun 1969 lahirlah Lembaga Urusan dan Tabung Haji atau ringkasnya Tabung Haji, yang ditubuhkan di bawah Akta 8, Akta Lembaga Urusan dan Tabung Haji 1969. Perbadanan ini wujud hasil penerimaan kertas kerja Profesor Di Raja Ungku Aziz bertajuk “ Rancangan membaiki Ekonomi Bakal-bakal Haji” pada tahun 1959.
Tabung Haji ditubuhkan bukan sahaja untuk menguruskan pemergian jemaah haji ke Tanah Suci, malah ia juga berfungsi sebagai suatu badan alternatif kepada umat Islam di Malaysia untuk menyimpan wang sambil melabur secara halal dan mengikut lunas-lunas Islam.
Demi menjamin kesinambungan daya saingnya dalam era globalisasi satu kajian telah dibuat dalam tahun 1995 bagi meluaskan lagi skop dan peranan Tabung Haji. Dari itu, pada 1 Jun 1995 akta baru Tabung Haji iaitu Akta 535, Akta Lembaga Tabung Haji 1995 dikuatkuasakan yang memansuhkan akta lama dan nama Lembaga Urusan dan Tabung Haji digantikan dengan Lembaga Tabung Haji pada 28 Ogos 1997, dan serentak dengan itu huruf TH diperkenalkan sebagai singkatan nama menggantikan perkataan Tabung Haji.
Secara umumnya kerajaan telah berusaha untuk mengembangkan lagi produk-produk perbankan Islam sehingga mampu menerajui hub halal yang terkenal di seluruh dunia. Ternyata sistem Islam berjaya menegakkan keadilan yang jauh dari sifat penipuan dan gharar yang diharamkan oleh Islam untuk menjamin kesejahteraan hidup manusia.
2.7.3 Pendekatan Islam Hadhari
Selaras dengan ini kerajaan telah memperkenalkan dasar Islam hadhari dengan memberi penekanan pada aspek pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradaban.
Konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Y. A. B. Perdana Menteri, Dato’ seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, malah telah dijadikan dasar dalam pembangunan negara adalah satu usaha untuk mengenengahkan Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap dan menyeluruh meliputi seluruh ruang lingkup kehidupan manusia di samping mengembalikan semula kegemilangan Islam di persada dunia. Sesungguhnya Islam berkemampuan untuk menyelesaikan bukan hanya permasalahah di peringkat peribadi, tetapi juga menggarap persoalan keluarga, masyarakat, negara dan ummah. Sebab itu, semua agenda pembangunan ummah, peradaban negara dan keutuhan bangsa perlu digarap untuk sama-sama bangkit bersama keterbilangan Islam sebagai al-Din yang diredai Allah. Firman Allah yang bermaksud:
Pada hari ini telahku sempurnakan untukmu agamamu, dan telah Kucukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Kuredhai Islam itu menjadi agama bagimu.
Kerajaan telah merangka pelbagai agenda pembangunan yang selaras dengan tuntutan Islam melalui pendekatan seimbang dalam aspek-aspek spiritual, ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan, undang-undang dan sebagainya. Kerajaan menyedari bahawa Islam bukanlah satu agama bersifat ritual semata-mata, tetapi agama yang bersifat praktikal iaitu diturunkan untuk mengatur kehidupan masyarakat secara realistik. Dengan itu, suatu pendekatan yang dikenali sebagai Islam Hadhari telah diperkenalkan untuk membangkitkan kesedaran baru kepada masyarakat terhadap konsep sebenar ajaran Islam, dengan harapan akan dapat memacu pembangunan ummah dan negara (JAKIM, 2005).
Ketika menjawab soalan berhubung dengan Islam Hadhari, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr. Abdullah Md. Zin telah menjawab (Mujaini Tarimin, 2005):
”Islam Hadhari adalah konsep Islam yang menekankan kepada aspek pembangunan, misalnya pendidikan Islam, pengurusan pentadbiran yang baik, unsur ketamadunan yang baik, pembangunan yang baik, bukan sahaja fizikal tetapi merangkumi kerohanian, pembangunan yang berkaitan dengan agama, pendidikan dan juga ekonomi Islam”.
Beberapa prinsip Islam Hadhari telah dirangka bagi merangsang perubahan minda umat Islam secara menyeluruh dan sistematik yang tidak bersifat sektor atau partisan, yang sudah tentunya memerlukan satu perubahan pandangan global umat Islam. Selaras dengan itu, konsep hidup sebagai pengabdian kepada Allah dan konsep kerja sebagai ibadah, manusia sebagai khalifah dan kewajipan mencapai kekuatan dalam semua bidang kehidupan akan ditekankan, khususnya dalam memenuhi prinsip-prinsip maqasid al-syari’yyah yang sentiasa berkembang seperti menjaga, memartabat dan memperkasa agama, akal, nyawa, harta dan keturunan. Pendekatan Islam Hadhari adalah untuk membuktikan keupayaan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh yang sentiasa mengamalkan prinsip kesederhanaan atau wasatiyyah, sesuai dengan tuntutan agama Islam. Ia juga selaras dengan dasar-dasar negara yang dilaksana masa kini dan yang akan dicapai pada masa hadapan seperti Wawasan 2020, Dasar Pembangunan Negara dan sebagainya. Pendekatan Islam Hadhari menekankan nilai-nilai pembangunan sejagat yang sama sekali tidak bercanggah dengan konteks masyarakat majmuk.
Perkataan hadharah berasal dari perkataan Arab, hadara iaitu kata lawan bagi badawah. Ibnu Khaldun seorang ahli sosiologi dan sejarawan Arab yang terkenal yang memperkenalkan istilah hadarah dalam membicarakan tentang peradaban insan. Kata ini juga bermaksud sekumpulan manusia yang tinggal kekal di sesuatu tempat atau kota atau wilayah dan tanah pertanian. Penggunaan istilah ini akhirnya disamakan dengan kata tamadun. Menurut M. A. J Beg hadarah lebih tepat dimaksudkan dengan kebudayaan (culture). Beliau menjelaskan bahawa perkataan umran lebih popular digunakan di abad ke14M dan istilah hadarah pula lebih popular dalam abad ke 20M (M. A. J Beg, 1982).
Mengikut Kamus Dewan, masyarakat yang beradab atau bertamadun ialah masyarakat yang memiliki tingkat kemajuan dalam kehidupan jasmani dan rohani. Tamadun dinyatakan sebagai satu keadaan masyarakat yang dicirikan oleh atau didasarkan pada taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran (sosial, budaya, politik dan lain-lain) yang tinggi.
Takrif Islam Hadhari yang diperkenalkan di Malaysia bermaksud suatu pendekatan pembangunan manusia, masyarakat dan negara Malaysia yang bersifat menyeluruh, berdasarkan kepada perspektif Tamadun Islam. Sebagai huraiannya ia bolehlah dihuraikan sebagai berikut:
- Pendekatan Islam Hadhari diperkenalkan kerana ia lebih lengkap dan menyeluruh berbanding pendekatan Islam secara juz’ie atau terpisah-pisah seperti Islam bersifat politik (al-Islam al-Siyasi), Islam bersifat tasawuf (al-Islam al-Sufi) dan seumpamanya.
- Islam Hadhari membawa maksud ajaran Islam yang memberi fokus kepada kehidupan untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat bertamadun dan mempunyai peradaban unggul bagi menghadapi cabaran alaf baru seperti ledakan teknologi maklumat, dunia tanpa sempadan, ekonomi global, budaya materialisme, krisis identiti, jatidiri serta penjajahan fikiran.
- Pendekatan Islam Hadhari, tidak menolak pentingnya aspek ritual dalam pembinaan tamadun. Ini kerana pandangan hidup, sistem nilai, kestabilan jiwa dan kemajuan rohaniah merupakan tonggak kepada pembinaan tamadun yang luhur
Justeru Islam Hadhari ini juga boleh ditakrifkan sebagai penghayatan Islam yang mempunyai sifat-sifat kemajuan peradaban, lawan kepada Islam Raj’ie yang mempunyai sifat-sifat kemunduran.
2.7.2.1 Visi, Misi dan Objektif Islam Hadhari
Visi Islam Hadhari adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh, iaitu sebuah negara maju mengikut acuan sendiri. Konsepnya ialah negara yang mempunyai masyarakat membangun dan memiliki ilmu, berkemahiran dan berketrampilan serta tergambar sebagai golongan yang berakhlak, berbudi dan berbudaya yang berpaksikan kepada kepercayaan agama.
Misi Islam Hadhari pula ialah melaksanakan agenda pembangunan negara dan ummah berlandaskan pendekatan Islam yang universal, maju, bertamadun, bertoleransi dan berimbang. Objektif Islam Hadhari ialah bagi melahirkan individu dan masyarakat Islam yang mempunyai kekuatan spiritual (rohani), akhlak, intelektual, material, mampu berdikari, berdaya saing, melihat kehadapan, inovatif serta cekap menangani cabaran semasa serta bijaksana, rasional, praktikal dan damai.
Memandangkan kepada visi, misi dan objektif Islam Hadhari yang sangat besar manfaatnya kepada Islam dan umatnya, yang diperkenalkan oleh pemimpin kita pada hari ini, maka semua pihak perlulah menyusun strategi yang bersepadu, termasuklah kementerian-kementerian yang menjadi asas pembangunan moral dan akhlak rakyat, pendidikan, penerangan dan media, kesenian dan kebudayaan serta lain-lain jabatan agar visi, misi dan objektif ini akan menjadi kenyataan (Ismail Ibrahim, 2005).
2.7.2.2 Prinsip-Prinsip Asas Islam Hadhari
Prinsip-Prinsip Islam Hadhari adalah dirangka menurut acuan yang diadunkan supaya amalan dan pendekatannya tidak akan menimbulkan salah faham dan kebimbangan kepada mana-mana pihak dalam sesebuah negara yang komposisi rakyatnya berbilang agama dan berbilang kaum. Pendekatan ini juga adalah untuk memperkasa umat Islam supaya berupaya menghadapi cabaran dunia semasa. Prinsip-prinsip tersebut ialah :
i. Keimanan dan Ketaqwaan Kepada Allah
Kewajaran meletakkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T sebagai prinsip Islam Hadhari yang pertama adalah sesuatu yang tepat. Ini adalah kerana akidah atau keimanan merupakan sesuatu yang asas di dalam kehidupan seseorang sama ada untuk pembangunan individu mahupun masyarakat.
Kedudukan akidah dalam Islam berada di tahap yang paling asas dan terpenting dalam pembinaan Tamadun Islam. Kepincangan akidah bererti musnahlah segala-galanya, kerana akidah adalah ibarat nadi kepada jasad manusia, asas kepada sebuah binaan atau akar kepada sebatang pokok. Oleh itu rosaknya bererti binasalah badan, binaan dan pokok tersebut. Sehubungan dengan itu Allah S.W.T telah berfirman dalam Surah Ibrahim ayat 24 – 27 yang bermaksud :
Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan, kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin TuhanNya, Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. Dan perumpamaan kalimah yang buruk, seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi, tidak dapat tetap (tegak) sedikitpun. Allah meneguhkan iman orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan dicakhirat, dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa yang Dua kehendaki.
Ulamak tafsir, Al-Maraghi menyatakan bahawa maksud kalimah yang baik yang terdapat dalam ayat ini ialah iman yang thabit di dalam hati orang-orang yang beriman yang akan mengangkat amal pelakunya ke langit. Allah S.W.T telah membuat perumpamaan kalimah iman itu adalah umpama pokok yang tetap akarnya menjunam jauh ke dalam bumi, dahan-dahannya pula menjulang ke langit dan mengeluarkan buah setiap masa. Ia bermaksud apabila keimanan dan hidayah Allah S.W.T telah menyelubungi hati seseorang, maka ia akan melimpah dan memberikan sinar kepada hati-hati anggota masyarakatnya, umpama cahaya elektrik yang mampu menerangi kegelapan.
Al-Maraghi juga menyatakan bahawa Allah S.W.T mengumpamakan kalimah yang buruk sebagai kekafiran dan syirik yang tidak mempunyai asas yang kuat dan tidak mampu menahan angin badai yang melanda, iaitu akan musnah dan tidak akan memberi manfaat kepada manusia.
Dr. Yusof al-Qardhawi telah menyifatkan iman sebagai kepercayaan yang meresap ke dalam hati, dengan penuh keyakinan, tidak bercampur syak dan ragu, serta memberi pengaruh bagi pandangan hidup, tingkah laku dan perbuatan sehari-hari. Justeru itu iman bukanlah sekadar ucapan lidah, bukan sekadar perbuatan dan juga bukan hanya pengetahuan tentang rukun-rukun iman.
Keimanan ini jugalah yang mendasari seluruh sistem dan dimensi kehidupan manusia. Ia merangkumi seluruh aspek yang membabitkan persoalan al-Ilahiyyat (ketuhanan Allah S.W.T.), al-Nubuwwat (kenabian dan kerasulan Muhammad s.a.w dan para nabi yang diutuskan), al-Ruhaniyyat (makhluk-makhluk hidup yang ghaib daripada pandangan manusia) dan al-Ghaybiyyat (alam ghaib seperti, Barzakh, Mahsyar, Sirat, Mizan, al-Jannah dan al-Nar). Keimanan juga meliputi keimanan dan keyakinan terhadap semua Rukun-rukun Iman iaitu beriman kepada Allah S.W.T, para malaikatNya, kitab-kitab-Nya, para rasulNya,
ii. Kerajaan Adil dan Beramanah
Adil adalah memberi yang hak kepada yang berhak akan haknya, mengikut kadar masing-masing. Ini bersesuaian dengan firman Allah S.W.T dalam surah an-Nahl : 90 yang bermaksud :
Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat, dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya”.
Islam Hadhari meletakkan amalan tadbir urus yang baik dan adil serta amanah kepada semua lapisan rakyat. Pengurusan negara yang cekap, adil, amanah (tidak boros dan perbelanjaan berhemah) melahirkan negara yang baik, maju, dan dirahmati Allah S.W.T.
iii. Rakyat Berjiwa Merdeka
Salah satu prinsip utama pendekatan Islam Hadhari ialah mewujudkan rakyat yang berjiwa merdeka. Antara ciri jiwa merdeka ialah berfikiran kreatif dan inovatif. Masyarakat yang berjiwa merdeka dapat melahirkan buah fikiran yang dinamik dan positif sehingga mampu melahirkan idea-idea baru yang bermanfaat bagi memartabatkan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Ini selaras dengan firman Allah S.W.T dalam al-Quran Surah al-Isra’ ayat 70 bermaksud:
“Dan sesungguhnya kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan kami telah beri mereka menggunakan berbagaibagai kenderaan di darat dan di laut; dan kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas makhluk-makhluk yang telah kami ciptakan.
Masyarakat hendaklah mengatasi belenggu pemikiran yang terjajah, bersikap terbuka kepada kemajuan dan perubahan orang lain, tidak bersikap jumud dalam menghasilkan pemikiran berdaya maju dan menolak amalan-amalan negatif yang boleh menyebabkan jiwa terus terbelenggu.
iv. Penguasaan Ilmu Pengetahuan
Kemampuan menguasai ilmu pengetahuan secara integratif boleh menjadikan kita memiliki kekuatan pengetahuan yang pelbagai dan semasa supaya kecemerlangan intelektual dapat dikembangkan, kekuatan peribadi dapat ditampilkan dan ketangkasan jasmani dapat dibangunkan. Proses ini perlu bagi melahirkan insan seimbang dan harmonis seperti yang terdapat dalam matlamat Falsafah Pendidikan Negara Kita.
Melalui pengukuhan ilmu fardu ain yang dilengkapkan dengan penguasaan ilmu fardu kifayah, hasrat untuk mencapai kecemerlangan terbuka luas. Melalui sistem pendidikan yang melengkapi dwi pengkhususan dan double major, kita boleh melahirkan sumber tenaga yang mampu menerajui program pembangunan negara dan ummah.
Usaha penggalian dan penerokaan serta penemuan ilmu sains dan teknologi amat digalakkan dalam tradisi islam. Amat disedari umat islam ketinggalan dalam penguasaan sains dan teknologi pada masa kini. Sewajarnya usaha pengkajian dan penyelidikan (tadabbur) dijadikan matlamat keilmuan supaya asas pembangunan intelek, rohani dan jasmani dapat berlaku secara seimbang, menyeluruh dan teratur.
v. Pembangunan Ekonomi Seimbang dan Komprehensif
Dalam usaha untuk memajukan negara, aspek ekonomi turut sama diberi keutamaan oleh islam. Pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif memberikan satu pendekatan yang menggabungkan kepada usaha memantapkan amalan ekonomi yang berakhlak dengan kemampuan melaksanakan aktiviti ekonomi secara berkesan sesuai dengan perkembangan ekonomi di dalam negara dan diperingkat antarabangsa.
Usaha-usaha untuk memantapkan keadilan dan kestabilan ekonomi di dalam negara akan terus diberi keutamaan. Melalui strategi pembasmian kemiskinan, mencapai guna tenaga penuh, kestabilan paras harga dan pertumbuhan ekonomi yang mapan, keadilan dan kestabilan ekonomi akan dapat dicapai. Bahkan strategi tersebut menepati aspirasi Islam Hadhari.
vi. Kehidupan Berkualiti
Islam pada permulaannya memberi tumpuan yang penting kepada pencapaian kehidupan masyarakat secara berkualiti. Mencapai tahap kehidupan yang tinggi dalam kesemua aspek keperluan adalah matlamat utama agama. Bahkan islam menuntut semoga setiap individu berusaha menguasai ilmu dan kemampuan untuk berjaya dalam kehidupan di dunia. Kehidupan akhirat adalah hasil daripada kemampuan individu melaksanakan kehidupan yang berkualiti dari kesemua aspek termasuk aspek kerohanian, fizikal dan material.
Kehidupan berkualiti akan dicapai melalui kejayaan negara memenuhi keperluan kehidupan asasi seperti memelihara amalan beragama, kemampuan memajukan taraf pendidikan, menghayati kehidupan yang aman, hak memiliki harta dan jaminan kepada generasi masa hadapan yang cemerlang.
vii. Pembelaan Hak Kumpulan Minoriti dan Wanita
Pendekatan pendidikan Islam Hadhari memberi kemuliaan insan itu diberikan kepada setiap individu tanpa diskriminasi, sama ada sebagai kumpulan majoroti atau minoriti. Hak-hak mereka dijamin oleh undang-undang negara. Jaminan tersebut meliputi nyawa, agama, harta, kehormatan dan akal. Dalam Islam ia terkandung dalam matlamat pensyariatan syariat Islam (Maqasid as-Syariah). Oleh itu tidak boleh berlaku penafian hak-hak tersebut atau alasan menjadi kumpulan kecil atau perbezaan jantina. Penafian dan halangan ke atas hak-hak tersebut adalah salah dari segi undang-undang.
Implikasi daripada jaminan tersebut meletakkan kumpulan minoriti dan wanita dapat menikmati apa jua yang dinikmati oleh kumpulan majoriti dan lelaki. Mereka berhak untuk turut sama dalam pembangunan negara dan menikmati apa jua yang dinikmati oleh kaum-kaum lain. Mereka boleh menyertai dalam pentadbiran negara aktiviti ekonomi, sosial, pendidikan, agama dan politik. Isu mengenai hak-hak wanita telah diberi perhatian yang khusus oleh kerajaan dalam menggubal dasar negara seperti termaktub dalam Dasar Wanita Negara.
viii. Keutuhan Budaya Dan Moral
Keutuhan budaya dan moral amat penting dalam menguatkan benteng dan jati diri rakyat Malaysia daripada terjebak dalam gejala keruntuhan akhlak, khususnya di kalangan generasi muda kerana mereka adalah aset negara.
Dengan memiliki keutuhan budaya dan moral yang tinggi, negara akan dapat melahirkan masyarakat Malaysia yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi, bebas daripada belenggu masalah sosial, memiliki jati diri yang tinggi dan tidak mudah terpengaruh dengan budaya asing yang bertentangan dengan budaya negara kita.
ix. Pemeliharaan Dan Pemuliharaan Alam Sekitar
Dalam mengejar pembangunan negara, manusia sering mengeksploitasi kekayaan alam semula jadi. Perbuatan seperti pembakaran hutan secara berleluasa, pembalakan tidak terkawal dan penggondolan bukit mengakibatkan alam sekitar musnah dan menyumbang kepada bencana alam seperti banjir kilat, tanah runtuh dan pemanasan bumi.
Masyarakat Malaysia perlu dididik tentang kepentingan menghargai alam semula jadi melalui penerapan nilai-nilai murni dan tanggungjawab alam sekitar, penerapan sains dan teknologi berteraskan ajaran agama serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan alam sekitar yang terancang dan tersusun.
x. Kekuatan Pertahanan dan Perpaduan
Setiap negara semestinya memiliki kekuatan pertahanan yang dapat menjamin keselamatan, keamanan dan kesejahteraan rakyat. Melalui kekuatan pertahanan negara dapat menangkis sebarang bentuk pencerobohan daripada negara lain.
Kekuatan persenjataan sahaja tidak mampu mempertahankan negara terutama di Malaysia yang terdiri daripada rakyat pelbagai etnik atau lebih dikenali sebagai masyarakat majmuk. Dalam keadaan ini, kerajaan harus berusaha untuk mengeratkan perpaduan antara kaum, sekali gus mengelakkan pembaziran tenaga dan kewangan dalam menyelesaikan masalah yang berpunca daripada perbalahan sesama etnik.
Pendekatan Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia memfokuskan pada aspek pembangunan dan pembinaan tamadun berpandukan pandangan semesta Islam. Penekanan diberikan pada usaha mempertingkatkan kualiti kehidupan rakyat Malaysia melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan dan pembangunan fizikal tanpa mengira kaum dan agama.
Pelaksanaan dasar-dasar kerajaan berlandaskan pendekatan Islam Hadhari yang menekankan nilai-nilai pembangunan sejagat dan mengambil kira kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai penduduk pelbagai keturunan dan agama atau masyarakat majmuk. Pelaksanaan Islam Hadhari sama sekali tidak membelakangkan masyarakat bukan Islam, mereka bebas menjalankan aktiviti ekonomi, sosial dan politik sebagaimana yang di tekankan dalam sepuluh prinsip Islam Hadhari.
2.8 KESIMPULAN
Islam adalah agama yang bersifat sejagat, untuk seluruh manusia. Kemunculannya telah memberi sinar baru kepada dunia yang malap dengan nilai-nilai jahiliyah, kepada dunia petunjuk dan rahmat. Islam telah membawa perubahan kepada tamadun manusia dengan bertunjangkan akidah, berpaksikan perlaksanaan syariat dan dihiasi dengan nilai-nilai akhlak mulia.
Kemunculan Islam sebagai way of life telah membentuk tamadun besar dunia serta memberi sumbangan kepada kebangkitan Eropah dan dunia keseluruhannya. Tamadun Islam bermula dari zaman Rasulullah s.a.w. sehingga kini mempunyai dua matlamat utama, iaitu menjana tamadun kemanusiaan dan membangunkan tamadun fizikal. Segala perlakuan manusia sebagai penggerak tamadun mestilah berteraskan al-Quran dan al-Sunnah serta sumbangan intelektual muslim dalam membangunkan dunia sejagat
RUJUKAN
Ibn. Khaldun, (1995) Mukaddimah, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
M.A.J. Beg (1982), Islamic and Western Concepts of Civilization, Kuala Lumpur : University of Malaya Press.
R. G. Collingwood (1947), The New Leviathan Or Man, Society, Civilization And Barbarian, Oxford.
Sayyed Hossein Nasr, Science and Civilization in Islam, Dewan Pustaka Fajar, 1984, Shah Alam
Huntington, S. P. 1996. The Clash of Civilization and New World Order, New Delhi : Penguin Books.
Ziauddin Sardar, 1979, The Future of Muslim Civilisation, London : Croom Helm London.
Hashim Musa, Pemerkasaan Tamadun Melayu Malaysia Menghadapi Globalisasi Barat, Universiti Malaya dan Pusat Dialog Peradaban 2004, Kuala Lumpur.
Braudel, Fernard, 1993, A History of Civilization, Penguin BooksMahayudin Yahya, (1998), Tamadun Islam, Shah Alam : Fajar Bakti.
Mustafa Hj. Daud, 1999, Tamadun Islam, Kuala Lumpur : Utusan Publication Sdn. Bhd.
Azhar Hj. Md.Aros, TITAS I, Fajar Bakti Sdn.Bhd, 2000, Shah Alam, Selangor
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (2005), Islam Hadhari Satu Penjelasan, Putrajaya : Penerbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Mujaini Tarimin dan S. Salahudin Suyurno (2005), ”Islam Hadhari : Konsep dan Cabaran”, Dlm. Pembangunan Masyarakat Islam Hadhari, Shah Alam : Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU) UiTM
Ismail Ibrahim (2005), ”Islam Hadhari dan Pembangunan Islam di Malaysia”, Dlm. Pembangunan Masyarakat Islam Hadhari.
Nik Mohd Rosdi Nik Ahmad (2006), Konsep Islam Hadhari, Kertas Kerja Dalam Bengkel Pemantapan Pengajaran CTU 101, Anjuran Pusat Pemikiran dan kefahaman Islam, UiTM pada 14 – 15 Jun 2006.
Al-Maraghi, Ahmad Mustaffa (T.th.), Tafsir al-Maraghi, Jil.5, T.tpt : Dar al-Fikr.
Abdullah Mohamad Said (1999), Pengurusan Sumber dan Alam Sekitar, Shah Alam : Biroteks ITM.
Abdul Rahman Nawas dll (1995), Tamadun Islam, Kuala Lumpur: Pustaka Abdul Majid.
Asiah Ali, 2005. Tamadun Islam dan Tamadun Barat : Satu Analisa, Kertas Kerja Dalam Prosiding Seminar Pemantapan Kurikulum TITAS dan Hubungan Etnik Peringkat Kebangsaan 2005, Anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dan Pusat Pemikiran dan kefahaman Islam, UiTM pada 9 -11 Jun 2005.
Abul Hasan Ali al-Hasany An-Nadwy, (terj.) Bey Arifin, 1984, Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam, Singapura, Pustaka Nasional.
Muhammad Yusuf Ibrahim. 1991. Aspek dan Perkebangan Falsafah Sejarah Dunia Barat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka .
Sulaiman Nordin. 1993. Sains Falsafah dan Islam: Kuala Lumpur: Pusat Pengajian Umum UKM.
Hamka. 1994. Sejarah Umat Islam: Singapura: Pustaka Nasional.
Mahmood Zuhdi, Jihad Dari Perspektif Islam, Kertas Seminar Kebangsaan Jihad Dari Perspektif Islam, 12 Julai 2003,Anjuran Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris
Mohamad Kamil Abdul Majid, 2001, “Pertembungan Tamadun Islam Dengan Kolonialisme Barat”,dalam Tamadun Islam Dan Tamadun Asia: Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
salam. tumpang tanya.. dari mana awak rujuk untuk bahagian serangan sosial?
BalasPadammaaf tulisan susah nak baca..tp info yang berguna
BalasPadamSalam, saya mohon kongsi maklumat ini. Sekian terima kasih,
BalasPadam